Salafiah, Asya’irah dan Ahlis Sunnah Wal Jamaah | Pergas Blog

newest article

salafiah-asyairah-dan-aswj-1

Salafiah, Asya’irah dan Ahlis Sunnah Wal Jamaah

15 November 2018 9:07 am // Written by Mustazah Bin Bahari;

Berbeza pendapat adalah lumrah kehidupan dan tidak dapat dielakkan. Secara fitrah, manusia memang berbeza antara satu dengan yang lain. Namun ia tidak bererti manusia harus bersengketa dan berbalah sehingga bermusuhan dan mencetuskan huru hara dalam kehidupan. Lebih buruk lagi apabila ada pihak menuduh pihak yang lain sebagai berdosa, sesat, malah kafir.

Isu akidah yang diperselisihkan berlaku dari dahulu hinggalah sekarang, baik di Timur Tengah mahupun di Nusantara. Malahan di seluruh dunia hari ini, umat Islam masih berselisih mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan sifat-sifat Allah taala. Dalam kelompok Ahlis Sunnah Wal Jamaah pun tidak terlepas dari perselisihan ini. Bahkan, ada yang mendakwa bahawa merekalah golongan Ahlis Sunnah yang sebenar.

Jika jurang ini dibiarkan tanpa ada usaha untuk menghuraikan  perselisihan ini, umat Islam akan terus bersengketa dan boleh mencetuskan sekali lagi peperangan sesama mereka dalam masalah agama. Pada hal, Islam mengajar umatnya agar bersatu dan mengelak dari permusuhan dan persengketaan.

Siapakah Asya`irah?

Asya`irah merupakan satu mazhab dalam bidang ilmu akidah. Pengasasnya ialah Abu Hasan Al-Asy`ari yang dilahirkan di Basrah pada tahun 260 Hijrah. Beliau pernah berpegang pada mazhab Muktazilah dan berguru dengan ayah tirinya Abu Ali Al-Jubba’i. Selepas berusia 40 tahun, beliau berfikiran matang dan tekun mengkaji secara mendalam.Pada suatu hari, beliau berdebat dengan ayah tirinya mengenai kehidupan selepas mati. Selepas itu, Abu Hasan Al-Asy`ari bangun berucap di Masjid Basrah dan mengisytiharkan dirinya keluar dari mazhab Muktazilah untuk berpegang pada mazhab Ahlis Sunnah Wal Jamaah.

Abu Hasan Al-Asy`ari membuat pembaharuan dalam Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik serta teks-teks Al-Quran dan Hadis yang ada. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut. Begitu berpengaruh aliran Asya`irah hingga hampir-hampir golongan Ahlis Sunnah Wal Jamaah dianggap sinonim dengannya.

Mazhab ini juga didokong oleh ulama dari kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafi`i dan Hanbali yang antara mereka ialah imam Al-Isfarayni, Al-Qaffal, al-Ghazali, al-Juwaini dan Al-Jurjani. Pembaharuan yang dibawa oleh Abu Hasan Al-Asy`ari membawa kekuatan kepada Ahlis Sunnah Wal Jamaah bagi menghadapi hujah golongan Muktazilah yang pesat berkembang dan mendapat sokongan daripada pemerintah-pemerintah kerajaan Abbasiah.

Akhirnya, golongan Muktazilah dapat dibendung dengan hujah dan pemerintahan Abbasiah pula memberi dokongan politik pula bagi mazhab Asya`irah untuk berkembang. Imam Abu Hasan Al-Asy`ari juga meninggalkan beberapa buku yang dikarangnya dan masih ada pada zaman sekarang antaranya ialah Al-Ibanah `An Usul Al-Diyanah. Dalam buku ini, beliau dengan tegas menyokong Imam Ahmad bin Hanbal yang dipenjara dan didera oleh kerajaan Abbasiah yang menyokong Muktazilah pada zamannya.

Dalam buku Al-Luma` Fi Al-Rad `Ala Ahl Al-Zaigh Wa Al–Bid`i pula beliau mengemukakan hujah logik dan nas untuk menghurai isu-isu akidah. Buku Maqalat Al–Islamiyin mendedahkan fahaman-fahaman yang timbul dalam ilmu Kalam dan menjadi rujukan penting dalam mengkaji pelbagai mazhab dalam akidah. Buku Istihsan Al-Khaudh Fi `Ilm Al-Kalam pula adalah risalah kecil bagi menolak hujah mereka yang mengharamkan ilmu Kalam.

Walaupun ada di kalangan sarjana Islam terutamanya di kalangan mazhab Hanbali yang menyanggah beberapa hujah dan kaedah yang dibawa oleh Abu Hasan Al-Asy`ari, ia tidak harus menafikan jasanya mempertahankan fahaman Ahlis Sunnah Wal Jamaah. Fahaman beliau berjaya mematikan hujah-hujah Muktazilah yang terpesong jauh seperti Al-Quran sebagai makhluk, tidak boleh melihat Allah di hari Kiamat dan lain-lain.

Imam Abu Hasan Al-Asy`ari meninggal dunia pada tahun 324 Hijrah dengan meninggalkan buku-buku sebagai pusaka ilmu yang berharga serta murid-murid yang meneruskan perjuangannya. Dia telah mewariskan satu mazhab akidah yang dianuti oleh sebahagian besar umat Islam hari ini bagi menghadapi cabaran-cabaran baru yang tidak ada pada zamannya.

Siapakah Salafiah?

Golongan ini adalah para pengikut aliran generasi awal dari kurun pertama Islam hingga ketiga, iaitu dari zaman Nabi Muhammad s.a.w, zaman sahabat dan tabi`in.

Imam Al-Ajiri (wafat 360 H) yang merupakan salah seorang ulama mazhab Syafi`i berkata ketika menyebut nama imam-imam yang patut diikuti dalam akidah, khususnya imam Ahmad dan pengikutnya, “Tanda bagi sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya ialah dengan mengambil jalan ini: iaitu jalan yang berlandaskan Kitabullah, Sunnah Rasul s.a.w, Sunnah para sahabatnya dan sesiapa yang mengikuti mereka dengan baik. Semoga Allah merahmati mereka, serta para imam dan ulama yang berada di atas landasan itu di setiap negeri seperti Al-Auza`i, Sufyan Al-Thauri, Malik bin Anas, Al-Syafi`i, Ahmad bin Hanbal, Al-Qasim bin Sallam dan sesiapa sahaja yang bersama mereka serta menjauhi semua mazhab yang tidak diikuti oleh mereka.”

Imam Ibn Rajab pula berkata, “Di zaman kami, apabila dicatit secara khusus mengenai kata-kata Salaf yang diikuti, ia kembali kepada zaman Al-Syafi`i, Ahmad, Ishaq, dan Abu `Ubaid dan manusia hendaklah berwaspada dengan apa yang timbul selepas mereka kerana sesungguhnya telah berlaku banyak perkara baru selepas mereka..”

Berdasarkan kededua pendapat ini, Salaf adalah;

  • golongan yang terawal di kalangan para sahabat dan tabi`in, dan
  • golongan yang menurut panduan Al-Quran, Sunnah Nabi s.a.w, Sunnah para sahabat dan tabi`in sepanjang zaman

Kesimpulan yang sama dinyatakan oleh Syeikh Mahmud Ahmad Khafaji berkata di dalam kitab Al-Wajiiz Fi ‘Aqidah Al-Salaf Al-Salih, “Barangsiapa yang pendapatnya sesuai dengan Al-Quran dan Sunnah mengenai akidah, hukum dan suluknya menurut pemahaman Salaf, maka ia disebut Salafi, meskipun tempatnya jauh dan berbeza masanya….Sebaliknya barangsiapa pendapatnya menyalahi Al-Qur’an dan Sunnah, maka ia bukan seorang Salafi meskipun ia hidup pada zaman sahabat, tabi`in dan tabi` tabi`in.”

Siapakah Ahlis Sunnah Wal Jamaah?

Fakta sejarah memberitahu bahawa istilah Ahlis Sunnah Wal Jamaah tidak dikenali di zaman Nabi s.a.w. Terdapat beberapa pendapat yang berbeza mengenai kemunculan istilah ini.

Ada yang mengatakan ia timbul di zaman pemerintahan Abbasiah apabila berlaku perselisihan antara Ahlis Sunnah dan Syi`ah. Ada yang mengatakan ia timbul ketika pergolakan antara Ahlis Sunnah yang beraliran Salaf dan Jahmiah. Ada pula yang berpendapat ia bermula ketika perdebatan antara Ahlis Sunnah dan Muktazilah.

Imam Al-Lalaka’i, Al-Baghawi dan Ibn Kathir membawa satu riwayat bahawa Ibn Abbas berkata ketika menafsirkan ayat 106 dari surah Al-Baqarah yang bermaksud, “(Pada) hari di mana wajah-wajah akan menjadi putih dan (ada juga) wajah-wajah yang hitam…. Mereka yang putih wajahnya adalah Ahlis Sunnah Wal Jamaah serta golongan ilmuan. Manakala mereka yang hitam wajahnya adalah ahli bid`ah dan sesat.”

Al-Fudhail bin `Iyadh (wafat 187) berkata, “Golongan Murji’ah berkata: iman adalah perkataan tanpa amal, Jahmiah pula berkata: iman itu adalah pengetahuan tanpa perkataan dan amal, Ahlis Sunnah berkata: iman itu adalah pengetahuan, perkataan dan amal.”

Imam Ibn Jarir Al-Tabari (wafat 310H) berkata, “Apa yang benar dalam perkara melihat Allah bagi orang beriman di hari kiamat merupakan [pegangan] agama kami yang Allah telah tetapkan dan kami telah mendapatinya sebagai pegangan Ahlis Sunnah Wal Jamaah, iaitu ahli syurga akan dapat melihatNya menurut khabar yang sahih daripada Rasulullah s.a.w.”

Jika dilihat dari nukilan kata-kata ulama silam seperti di atas, ia mula disebut seawal pertengahan kurun pertama hijrah, iaitu zaman generasi awal Islam yang dikenali sebagai Salaf seperti yang dinukilkan daripada Ibn Abbas r.a.

Selanjutnya para ulama terus mendukung aliran itu sehingga kepada imam Abu Hasan Al-Asy`ari yang meneruskan usaha membasmi fahaman Muktazilah sehingga terbentuk satu gerakan dan kesatuan umat Islam, berpandukan Al-Quran dan Sunnah yang dikenali juga sebagai Ahlis Sunnah Wal Jamaah.

Hakikat ini memberitahu bahawa Ahlis Sunnah wujud sebelum kemunculan mazhab Asya`irah dan Ahlis Sunnah pada awalnya diisi oleh generasi Salaf dahulu lalu meliputi golongan Asya`irah kemudiannya. Sebab itulah Asya`irah dikenali juga dengan mazhab khalaf (generasi yang datang kemudian setelah Salaf).

Menghuraikan Pertikaian

Dalam menghuraikan pertikaian, pendekatan berpegang pada sudut yang disepakati adalah satu keperluan. Al-Quran sebagai panduan manusia telah menunjukkan kaedah ini menerusi firman Allah taala, “Katakanlah wahai Ahli Kitab mari bersama kepada satu kalimat yang sama antara kami dan kamu (untuk) tidak menyembah melainkan kepada Allah dan tidak mensyirikkan-Nya….” (Ali Imran: 64). Jika Ahli Kitab diajak untuk berpegang pada satu hakikat kebenaran yang tidak boleh dinafikan iaitu mentauhidkan Allah, maka umat Islam sendiri perlu mencari titik persamaan agar perbalahan dan persengketaan dapat dielakkan.

Sebenarnya yang menjadi bahan perselisihan antara pengikut mazhab Salaf dan Asy`irah adalah isu-isu cabang yang tidak menjadikan seseorang yang tersilap itu terkeluar dari Islam contohnya pengertian ayat-ayat mutasyabihat dan isu bertawasul dengan yang telah mati.

Dalam isu seperti ini telah ada prinsip panduannya, iaitu seorang alim yang mempunyai kemampuan berijtihad, apabila berusaha untuk mendapatkan keputusan yang terbaik, tetap mendapat pahala walaupun dia tersilap, sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “Jika seorang Hakim melakukan ijtihad lalu dia menepati kebenaran, maka dia dapat dua pahala. Jika dia salah, dia dapat satu pahala.” (Riwayat Al-Bukhari)

Golongan yang mendakwa menuruti aliran Salaf, tidak layak, malah tidak ada kuasa untuk menjatuhkan hukum syirik atau terkeluar dari Islam ke atas saudara-saudaranya yang tidak sealiran dengan mereka seperti Asya`irah. Menghukum seseorang sebagai kafir atau musyrik secara tidak benar adalah satu dosa yang besar.

Begitu juga dengan tuduhan ahli bid`ah. Syeikh Hatim Al-`Auni, seorang ahli hadis kontemporari di Mekah berkata, “Asya`irah adalah seperti sebuah istana bagi Ahlis Sunnah” Begitu juga pendakwah terkenal di Timur Tengah, Syeikh Muhammad Hassan mengatakan bahawa Asya`irah adalah termasuk dalam golongan Ahlis Sunnah.

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi juga mempertahankan Asya`irah sebagai salah satu dari kumpulan Ahlis Sunnah Wal Jamaah. Ulama terdahulu juga telah menjelaskan kedudukan Asya`irah sebagai Ahlis Sunnah. Imam Al-Zahabi di dalam kitabnya Siyar Al-A`lam berkata, “Abu Musa Al-Asy’ari berada di atas pegangan akidah Ahlis Sunnah Wal Jamaah.”

Demikian juga pendapat ulama lain seperti Qadhi `Iyadh di dalam kitab Tartib Al-Madarik, Imam Ibn `Asakir dan Al-Subki. Mereka bahkan berpendapat imam Abu Hasan Al-Asy`ari termasuk dari kalangan Salaf dan imam Ahli Hadis. Golongan yang selesa dengan aliran Asya’irah pula tidak boleh menolak aliran Salaf sebagai Ahlis Sunnah kerana mereka juga mengamalkan Islam berpandukan nas Al-Quran, Hadis dan fahaman para sahabat Nabi s.a.w. yang memang diakui semua sebagai sumber agama.

Imam Ibn Al-Jauzi, seorang tokoh ulama beraliran Asya`irah menyebut di dalam kitabnya Talbis Iblis bahawa yang dinamakan sebagai Ahlis Sunnah itu adalah mereka yang mengikuti kebenaran dan ahli bid`ah pula yang mengikuti kesesatan. Selanjutnya beliau menukil kata-kata Ali Al-Madini yang mengakui golongan Ahli Hadis sebagai Ahlis Sunnah.

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, sebagai contoh, seorang yang mendukung dan berpegang dengan mazhab Asya`irah juga mengakui mazhab Salaf sebagai Ahlis Sunnah dan berpegang bahawa pendapat mereka dalam soal ayat-ayat mutasyabihat lebih selamat. Seorang ulama Al-Azhar kontemporari bernama Muhammad bin Abdul Malik Al-Zughbi turut menjelaskan bahawa tiada masalah atau pertikaian antara umat Islam terdahulu di kurun-kurun yang pertama Islam mengenai sifat-sifat Allah.

Tercetusnya masalah dalam lingkungan Ahli Sunnah pada awal kurun ketiga Hijrah dan ia berkisar hanya pada perkara-perkara ijtihad dalam pentakwilan sifat-sifat Allah. Kesimpulan dasarnya di sisi semua ulama mengenai pegangan Ahlis Sunnah ialah fahaman yang kembali kepada sumber asal iaitu Al-Quran dan Sunnah serta amalan para sahabat dan tabi`in dan mereka juga tidak berselisih mengenai fakta bahawa akidah yang dipegang dan diamalkan umat Islam pada kurun pertama Islam adalah benar kerana bersumber pada Al-Quran dan Sunnah.

Walaupun istilah Ahlis Sunnah belum digunapakai pada ketika itu, tetapi tiada khilaf dari kalangan ulama yang datang kemudian untuk menerima pendapat yang dipegang oleh mereka di zaman itu mengenai tidak mentakwil sifat-sifat Allah sebagai pendapat yang sah Ahlis Sunnah. Bahkan pendapat ini mendahului pendapat golongan Asya`irah dalam Ahlis Sunnah seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Aliran-aliran kefahaman atau mazhab boleh dianggap seperti madrasah atau sekolah. Masing-masing mempunyai kekuatan kurikulum yang tersendiri. Pasti juga ada sudut-sudut kelemahan yang perlu diperbaiki. Matlamat utama bagi semua adalah melahirkan anak-anak murid yang baik akhlaknya, cerdas pemikirannya dan bersikap profesional dalam menguruskan diri dan sekitaran apabila melangkah ke medan kehidupan. Adalah satu perkara yang biasa bagi pelajar-pelajar dari setiap institusi pengajian untuk merasa bangga dengan tempat pengajiannya, tetapi bukanlah satu kewajaran, malah ia satu keaiban untuk menuduh institusi lain dengan tuduhan kesat dan sesat.

Para ulama Salaf dan Asya`irah dari dahulu hingga sekarang telah bersepakat mengenai tanzih (mensucikan Allah dari segala persamaan dengan makhluk dan segala sifat-sifat kekurangan).  Malah terdapat banyak persamaan dalam persoalan akidah antara aliran Salaf dan Asya’irah, iaitu;

  • kededua pihak jelas mensucikan Allah taala daripada menyerupai makhluk.
  • kededua pihak meyakini bahawa maksud sebenar ayat mutasyabihat bukanlah maksud zahirnya yang menyerupai makhluk.
  • kedua-dua pihak mengetahui lafaz yang digunakan dalam ayat-ayat itu adalah lafaz yang difahami oleh manusia dan dapat dirasai oleh pancaindera. Walaupun bahasa Arab luas, tetapi ia tidak merangkumi semua hakikat ilmu. Hakikat Allah s.w.t tidak mampu diterangkan oleh keterbatasan bahasa itu. Bahasa adalah sesuatu yang terhad kerana ia difahami dari sudut makna lafaz sahaja. Menentukan makna hanya dari sudut lafaz sahaja tidak memberi erti yang tepat.
  • Kededua sepakat pada keharusan takwil. Perselisihan hanya pada keperluan menentukan makna takwil yang diperlukan bagi menjaga akidah masyarakat umum daripada menyamakan Allah taala dengan makhluk.

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata, “Perselisihan seperti itu tidak perlu dirumitkan dan diperbesarkan.” Dalam isu menghuraikan maksud sifat Allah yang tertentu, ada yang membiarkannya tanpa takwilan apa-apa, iaitu menyerahkan maksudnya secara total kepada Allah. Mereka itulah golongan yang menuruti aliran Salaf.

Ada pula yang mentakwil untuk memberi kefahaman betul kepada masyarakat awam tentang sifat Allah yang tidak sama dengan makhluk. Imam Ibn Kathir merupakan contoh terbaik dalam hal ini. Adakalanya beliau menggunakan kaedah takwil dan adakalanya tidak. Sebagai contoh, ketika mentafsirkan ayat istiwa’, beliau berkata, “Manusia mempunyai pelbagai pandangan tentang perkara ini. Saya (Ibn Kathir) mengikut pandangan Salaf dalam ayat ini, antaranya seperti Imam Malik, Al-Auza`i, Al-Thauri, Al-Laith bin Sa`ad, Al-Syafi`i, Ahmad, Ishak bin Rahawaih dan yang lain dari kalangan para imam dahulu dan sekarang. Mereka mengambil pandangan bagi membiarkan nas itu sebagaimana zahir tanpa disebut bagaimana dan tidak menyerupakan dengan sifat makhluk, serta tidak menafikan nas-nas itu.”

Tetapi pada ayat-ayat sifat yang lain, beliau mengambil kaedah pentakwilan pada ayat-ayat mengenai sifat tangan. Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata bahawa kaedah takwil juga digunakan oleh golongan Salaf jikalau takwilan itu hampir kepada nas Al-Quran dan tidak terkeluar jauh dari maksud yang sebenar. Ini dilakukan oleh imam Ibn Kathir seperti contoh di atas dan juga imam Al-Baihaqi, Al-Nawawi, Ibn Hajar dan ramai lagi. Syeikh Muhammad Al-Hasan Al-Syinqiti, seorang alim dari Mauritania berkata, “Harus berlaku kesilapan pada golongan Asya`irah, Maturidiah, Hanbali, Salafiah.. dan mereka semua tidak boleh dikafirkan oleh kesilapan-kesilapan tersebut.”

Dalam konteks dunia Nusantara, Dr Abdol Rauh Yacob, seorang pensyarah di Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei dan juga ahli sejarah Islam dan Tanah Melayu berkata, “Dunia Melayu tidak terlepas dari jaringan ummah antarabangsa. Walau apa pun, pelbagai bentuk tasawwur yang wujud di dunia Melayu seperti akidah Asya’irah ataupun sufi Imam al-Ghazali, ijtihad Ibn Taimiyah, Salafi Wahabi ataupun dinamika Afghani, Salafi Abduh, Haraki al-Banna, namun sikap kita tidaklah harus sangsi atas kepelbagaian tasawwur dan ittijah di atas. Ini kerana tokoh-tokoh ini ialah tokoh yang berkaliber mampu menggarap persoalan umat Islam dan menyediakan formula bagi mengembalikan semula kemurniaan dan keaslian agama Islam sekaligus mengangkat kemuliaan dan keagungan Islam berdasarkan kepada sumber al-Quran dan al-Sunnah.  

Maka adalah tidak tepat sekiranya kita cuba membezakan antara gerakan di atas apatah lagi meminggir dan menafikan peranan mereka. (Islam di Tanah Melayu Abad ke 19, 2007). Habib Ahmad Zein Alkaff, seorang tokoh ulama di Jawa Timur pula berkata, “Wahabi sama-sama Ahli Sunnah. Kalau Wahabi, kitab rujukannya sama, rukun Iman dan Islamnya sama.”

Kesimpulan

Jika dinilai dengan hati yang bersih dan minda yang jelas, isu perbezaan ini sebenarnya tidak mengeluarkan mana-mana pihak pun dari lingkaran Islam. Ia hanya berkisar tentang isu cabang.

Jika itulah hakikat keadaannya, maka amat tidak berbaloi bagi umat Islam saling berbalah sehingga ada yang memberi gelaran tertentu yang negatif terhadap pihak lain dan ada pula sampai menjatuhkan hukum kafir atau bid’ah terhadap temannya sedangkan mereka solat bersama, puasa di bulan yang sama, pergi haji ke tempat yang sama dan banyak melakukan perkara-perkara lain bersama-sama. Mengapakah tidak mengambil jalan yang adil lagi berhikmah dalam mengendalikan isu agama dengan hubungan sesama insan?

Umat Islam sering diingatkan dengan firman Allah taala, “Dan berpeganglah kamu semua pada tali Allah dan jangan berpecah belah..” (Ali Imran: 16). Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w juga pernah mengingatkan umatnya dengan sabdanya, “Telah menular dikalangan kamu penyakit umat terdahulu iaitu penyakit hasad dan benci sesama kamu, dan ia adalah pemotong. Aku tidak bermaksud memotong rambut tetapi memotong agama. Dan demi jiwaku di dalam genggamanNya, kamu semua tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu aku tunjukkan (cara) mengukuhkan sifat itu dalam diri kamu? Sebarkanlah salam sesama kamu.” (Riwayat Al-Tirmizi, Ahmad, Al-Baihaqi & Al-Bukhari di dalam Adab Al-Mufrad).

Marilah sama-sama rapatkan perhubungan sesama insan sepertimana rapatnya saf di dalam solat berjemaah. Renggangnya saf di dalam solat akan menyebabkan syaitan mencelah, begitu jugalah boleh terjadi di luar solat, jika renggang hubungan maka mudahlah syaitan mencelah untuk menyuntik semangat permusuhan. Perbuatan melontar tuduhan terhadap saudara sesama Islam oleh golongan Salafi dan Asya`irah hendaklah dihentikan oleh kededua pihak dan kembali kepada tradisi ulama silam yang berbincang secara ilmiyah, lapang dada dan matang.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.


Rujukan:
  1. Yusuf Al-Qaradhawi. Merungkai pertelingkahan isu akidah antara salaf dan khalaf. Batu Caves (Selangor): PTS Islamika Sdn. Bhd., 2014.
  2. Muhammad Ba Karim Muhammad Ba Abdullah. Wasatiyyah Ahl Al-Sunnah Bayn Al-Firaq. Riyadh: Dar Al-Rayah, 1994. 
  3. Hibat Allah bin Al-Hasan Al-Tabari Al-Lalakaa’i. Syarh Usul I`tiqad Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama`ah. Iskandariyyah, Misr: Maktabah Dar Al-Basirah, 2001. 
  4. Abu Fida’ Ibn Kathir Al-Dimasyqi. Tabaqat Fuqaha’ Al-Syafi`iyyin. Misr:  Maktabah Al-Thaqafah Al-`Ilmiyah, 1993. 
  5. ‘Ilmiy Husain Muhammad Al-Misri. Taudhih Al-Tauhid. Maktabah Al-Jami`ah Al-Azhariah, 1972. 
  6. Sayid Sabiq. Terj. M. Abdai Rathomy. Akidah Islam: Pola Hidup Manusia Beriman. Singapura: Pustaka Nasional, 1991. 
  7. Ibn Al-Jauzi. Talbis Iblis. Bay: Dar Al-Qalam, 1403H.  
  8. Farid Mat Zain (peny.)  Islam di Tanah Melayu Abad ke 19. Shah Alam: Karisma Publications,  2007.

ISU SEMASA KEHIDUPAN MUSLIM MASYARAKAT ISLAM DAN IDEOLOGI AKIDAH FAHAMAN PERBANDINGAN


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

Comments:

  • Ahmad Ridhwan Anuar commented on Salafiah, Asya’irah dan Ahlis Sunnah Wal Jamaah: Alhamdulillah, setiap kali terjumpa penulisan mahupun ceramah yang berlaku adil, memang tidak boleh lari juga dari penyampainya mengajak berdamai. Kerana apabila mereka berlaku adil, ternyata kedua pihak atau lebih (yang tidak melampaui batas) termasuk di dalam Ahli Sunnah wal Jama'ah. Maka wajiblah untuk dinasihati secara baik & diperkatakan secara adil. Barakallahufiik. Semoga Allah SWT menganugerahkan penulis Jannatul Firdaus.

  • MUHAMMAD NUR BIN MD NASIR commented on Salafiah, Asya’irah dan Ahlis Sunnah Wal Jamaah: Penulis artikel ini menyatakan: Kesimpulan yang sama dinyatakan oleh Syeikh Mahmud Ahmad Khafaji berkata di dalam kitab Al-Wajiiz Fi ‘Aqidah Al-Salaf Al-Salih, “Barangsiapa yang pendapatnya sesuai dengan Al-Quran dan Sunnah mengenai akidah, hukum dan suluknya menurut pemahaman Salaf, maka ia disebut Salafi, meskipun tempatnya jauh dan berbeza masanya….Sebaliknya barangsiapa pendapatnya menyalahi Al-Qur’an dan Sunnah, maka ia bukan seorang Salafi meskipun ia hidup pada zaman sahabat, tabi`in dan tabi` tabi`in.” Kemungkinan yang dimaksudkan penulis artikel ini adalah kitab Fi al-'Aqidah al-Islamiyyah baina as-Salafiyyah wa al-Mu'tazilah: Tahlil wa Naqd yang ditulis oleh Syeikh Dr. Mahmud Ahmad Khafaji. Manakala kitab al-Wajiz fi 'Aqidah as-Salaf ash-Shalih ditulis oleh Syeikh ‘Abdullah ibn ‘Abdil Hamid al-Atsari. Wa-Allahu A'lam.

related articles