Skim Pengiktirafan Asatizah | Pergas Blog

newest article

skim-pengiktirafan-asatizah-1

Skim Pengiktirafan Asatizah

16 November 2018 3:52 am // Written by Mohamad Hasbi Bin Hassan;

Penduduk Islam di Singapura merupakan kaum minoriti seramai 15% dan pengamalan Islam sentiasa mendapat perhatian yang unik daripada pihak Pemerintah lebih-lebih lagi ekoran peristiwa 9/11 dan kemunculan ISIS. Antara usaha ketara untuk mengekang fahaman ISIS atau ideologi yang melampau daripada mempengaruhi minda anak watan Singapura adalah penubuhan Kumpulan Pemulihan Agama RRG (Religious Rehabilitation Group) pada tahun 2003,  untuk memastikan fahaman masyarakat selari dengan tuntutan ajaran Islam. RRG yang terdiri daripada golongan asatizah ini telah menghasilkan beberapa manual untuk membantu sebarang salah fahaman terhadap teks-teks agama.

Peranan Asatizah & Pergas

Melihatkan kesedaran agama yang semakin meningkat, asatizah dan cendekiawan agama berusaha keras untuk memastikan agar masyarakat terhindar daripada pengaruh-pengaruh yang boleh memecahbelahkan masyarakat. Peranan asatizah kini bukan sahaja di masjid dan madrasah, malah ramai dalam kalangan mereka kini menceburi  bidang pekerjaan awam (civil servant/public servant), perniagaan, hartanah dan agensi pelancongan, haji dan umrah. Ini penting bagi memastikan agar masyarakat sentiasa mempunyai rujukan dan panduan apabila berhadapan dengan isu-isu tertentu. Melihatkan desakan ini, asatizah kini perlu giat berinteraksi dengan masyarakat serta memperluas pemahaman mereka dengan mempelajari dan mengkaji konteks kehidupan masyarakat setempat sebagai tambahan kepada pendidikan tradisional yang telah dilalui.

Dalam hal ini, Pergas dan badan-badan agama utama yang lain memainkan peranan penting dalam memastikan asatizah dilengkapi dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang secukupnya. Pelbagai kursus peningkatan diri disediakan bagi para asatizah untuk kekal relevan di mata masyarakat,  termasuk kursus-kursus bagi memantapkan ilmu agama, kursus kaunseling dan sebagainya.

Di peringkat masyarakat pula, Pergas sering menjadi sumber rujukan untuk memberikan respon serta panduan keagamaan yang sesuai terhadap isu-isu yang dibangkitkan, antaranya; isu hijab, LGBT, pembunuhan nekad dan lain-lain. Dalam usaha menjana kemurnian agama juga, Pergas telah mengadakan kursus-kursus pengajian di bawah Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP). Antara usaha IPIP adalah mengembangkan kerjasama di dalam negeri juga di negara jiran, iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam program peringkat Sarjana Muda dan Sarjana. Program Sarjana Muda ini telah bermula sejak tahun 2005 dan  Program Sarjana pula pada tahun ini. Pengajian-pengajian ini bertujuan membimbing masyarakat awam, khususnya orang dewasa dalam memahami kesederhanaan dalam beragama khususnya dalam konteks masyarakat Muslim minoriti di Singapura. Ini membuktikan bahawa Pergas telah memainkan peranan yang penting dalam menyokong masyarakat Islam dan Pemerintah.

Cetusan Idea Skim Pengiktirafan Asatizah

Para asatizah merupakan aset penting dalam usaha membimbing kehidupan keagamaan masyarakat Muslim dalam konteks negara sekular dan berbilang kaum di Singapura. Bagi memastikan tidak akan timbul kekeliruan dan salah tanggapan tentang agama dalam kalangan masyarakat Islam Singapura, adalah amat penting untuk mendapatkan pendidikan agama daripada asatizah yang berkelayakan, berwibawa dan bertauliah. Dalam hal seperti ini, dengan hasrat pembangunan asatizah dapat dijalankan dengan lebih berstruktur dan pengajaran agama dapat disampaikan sejajar dengan konteks Singapura, Skim Pengiktirafan Asatizah (Asatizah Recognition Scheme (ARS)) diperkenalkan.

Idea bagi Skim Pengiktirafan Asatizah dicetuskan pada tahun 1994 oleh Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hashim yang ketika itu merupakan Presiden Pergas. Cadangan ini kemudian di ajukan kepada pihak Muis. Usaha ini mengambil masa yang panjang dan secara berperingkat-peringkat sehingga bulan Januari 2017.  Ia dikuatkuasakan melalui peruntukan dari segi undang-undang. Pembentukan bermula melalui satu komiti/ahli Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB). Pergas sebagai sekretariat turut membantu dalam proses penilaian guru-guru agama yang mendaftar untuk mendapatkan skim pengiktirafan ini.

Melalui skim ini, masyarakat boleh mengenal pasti guru-guru agama yang berkelayakan dan bertauliah serta dalam masa yang sama dapat memastikan bahawa orang  yang tidak berkelayakan dalam bidang agama / ajaran Islam tidak dibenarkan menyampaikan ilmu. Masyarakat juga boleh membuat aduan tentang pengajaran guru agama yang tiada kelayakan rasmi. Skim ini juga dapat meyakinkan ibu bapa bahawa anak-anak mereka yang belajar agama, dibimbing oleh asatizah yang berkelayakan dan  diiktiraf dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Pada tahun 2001 masyarakat dikejutkan dengan kewujudan kumpulan Jemaah Islamiah (JI) yang ingin menubuhkan sebuah negara Islam di Singapura. Berikutan dengan insiden ini, idea Pergas untuk mengadakan pangkalan data para asatizah dibangkitkan semula dan disambut baik oleh Muis serta mendapat sokongan daripada pemerintah.

Siri taklimat ARS telah dijalankan untuk semua asatizah pada tahun 2004 dan mula dilancarkan dan dibuka untuk pendaftaran pada tahun 2005. Skim ini bermula secara sukarela untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap asatizah setempat sebagai sumber rujukan yang boleh dipercayai. Kesemua asatizah diseru agar menyokong usaha ini. Asatizah yang ingin diiktiraf sebagai guru agama (Ustaz atau Ustazah) perlu menjalani beberapa ujian yang meliputi fardu ain, fiqh dan pemahaman bahasa Arab.

Apabila Muis mengeluarkan peraturan bahawa hanya asatizah yang diiktiraf di bawah skim ARS sahaja dibenarkan untuk menyampaikan agama di madrasah, masjid dan lain-lain, semakin ramai asatizah tempatan terdorong dan bersedia untuk diiktiraf. ARS disemak dan dinilai pelaksanaannya dari tahun 2010 hingga 2014. Pada setiap tiga tahun, asatizah yang diiktiraf perlu memperbaharui pengiktirafan ini. Mereka dikehendaki memenuhi syarat minimum 10 jam latihan setahun selama tiga tahun sebagai sebahagian daripada CPE (Continuous Professional Education). Ini termasuk latihan melalui kursus, seminar atau ceramah kendalian Akademi Muis dan beberapa badan yang lain yang diberikan pengakuan melaksanakan program-program peningkatan bagi para asatizah ini. Asatizah diberi fleksibiliti untuk mengumpulkan mata kredit latihan selama tiga tahun. Antara latihan yang dijalankan termasuklah aplikasi pengetahuan agama dalam persekitaran kontemporari. Kalendar untuk mengetahui jadual latihan skim ARS juga tertera di laman web Muis untuk memudahkan asatizah memilih tarikh bagi menghadiri sesuatu latihan atau kursus yang disediakan.

Mandatori ARS

Pada bulan September 2016, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim mengumumkan bahawa ARS akan menjadi mandatori mulai 1 Januari 2017. Idea menjadikan ARS mandatori timbul daripada asatizah mapan / ahli jawatankuasa ARB. Muis akan bekerjasama dengan Pergas serta ARB bagi menguatkan skim ARS dan meluaskannya kepada semua asatizah. Kepentingan ini diusahakan untuk mengelakkan penyelewengan dalam pengajaran agama Islam. Hasrat ARB untuk mewajibkan skim ARS ini juga mendapat sokongan Pemerintah demi memastikan keharmonian masyarakat dan tidak menggugat keselamatan negara. Justeru itu, skim ini dinaik taraf daripada skim berdasarkan sukarela kepada skim pengiktirafan asatizah yang wajib.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyokong dan mengalu-alukan usaha mewajibkan skim pengiktirafan Asatizah ini. Semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos 2017, beliau mengumumkan bahawa asatizah perlu memahami isu-isu semasa dan konteks yang diamalkan di Singapura. Program-program pembangunan profesional asatizah perlu diterapkan di bawah skim ARS untuk memberi jaminan kepada masyarakat bahawa kesemua guru agama di sini dapat mengajar / mengamalkan Islam mengikut konteks masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Singapura amat beruntung kerana semua kaum dan kumpulan agama bersependapat dalam usaha untuk menolak dan membanteras pengganasan.

ARS akan diluaskan untuk meliputi semua asatizah tempatan. Ia bertujuan untuk lebih meyakinkan masyarakat bahawa golongan asatizah sebagai  pembimbing agama, mempunyai kelayakan dan latihan yang sempurna. Skim tersebut memberikan pengiktirafan kepada asatizah tempatan yang memenuhi kelayakan minimum untuk mengajar ilmu agama Islam di pelbagai institusi keagamaan awam dan swasta.

Respon Asatizah berkenaan Mandatori ARS

Jumlah asatizah yang memohon serta ingin mendapatkan maklumat mengenai Skim Pengiktirafan Asatizah ini meningkat sejak mandatori ARS diumumkan pada tahun lalu. Sekitar 80% asatizah, iaitu seramai 1805 orang telah pun terdaftar di bawah skim ARS sejak Ogos 2016. Kini jumlah keseluruhan asatizah yang berada di dalam direktori ARS meningkat sehingga mencapai 2800 orang  termasuk guru al-Quran. Ini menunjukkan satu perkembangan yang positif dan dijangkakan jumlah ini akan terus meningkat kerana banyak lagi permohonan sedang dalam proses penilaian. Dengan adanya skim mandatori ini, institusi asatizah dapat diperkukuh serta memberi peluang kepada asatizah untuk mempertingkatkan diri melalui latihan, dan menyertai perbincangan tentang isu-isu kontemporari.

Beberapa pusat dan institusi pendidikan Islam swasta seperti Institut Pengajian Islam Pergas, Institut Al-Zuhri, Pusat Pendidikan Andalus, Safinah Institut, Simply Islam dan lain-lain amat menitikberatkan mutu dalam pendidikan Islam dan akan memastikan kesemua asatizah  pembimbingnya mempunyai tauliah di bawah skim ARS.

Kesemua asatizah diberikan tempoh peralihan selama setahun untuk mendaftar di bawah skim wajib ini. Antara kelayakan minimum yang perlu diperoleh ialah Pengajian Diploma Islam daripada institusi yang diiktiraf oleh ARB. Bagi asatizah yang tidak mempunyai kelayakan, beberapa program dan latihan dikendalikan dan mereka diberi tempoh selama tiga tahun untuk meningkatkan diri. Ini bagi memastikan mereka memenuhi kriteria agar mampu menjadi pembimbing agama bertauliah.

Cabaran Mandatori ARS

Pada tahun 2016, sebanyak enam sesi taklimat diadakan bersama asatizah sebelum ARS diwajibkan. Skim Pengiktirafan Asatizah menjadi skim mandatori bagi semua asatizah pada awal 2017. Tiada lagi skim Pengiktirafan Guru al-Quran (QTRS) dan semua guru di bawah skim ini telah dimasukkan ke dalam skim ARS. Sekitar 600 asatizah dimasukkan ke dalam ARS di bawah peringkat guru Al-Quran (QT1, QT2 dan QT3). Asatizah setempat diwajibkan memenuhi syarat untuk mengumpulkan 30 jam kredit Continuous Professional Education (CPE) manakala guru al-Quran hanya perlu mengumpulkan 10 jam kredit CPE. Kewujudan Skim mandatori ARS bukan bertujuan untuk menghalang asatizah daripada mengajar agama tetapi untuk kebaikan semua pihak supaya tidak menjejaskan keharmonian masyarakat dan menggugat keamanan negara.

Mufti Negara Singapura, Dr Ustaz Fatris Bakaram, menyatakan bahawa terdapat juga sesetengah golongan masyarakat yang tidak dapat melihat skim ARS ini sebagai satu keperluan yang penting. Malahan mereka membuat keputusan sendiri dengan meminta kenalan yang berpengetahuan agama untuk mengajar dan membimbing mereka di rumah-rumah. Mutu dan kemampuan asatizah menyampaikan ilmu dengan baik mengikut kemahiran dan konteks negara ini amatlah penting bagi kesemua asatizah walaupun yang berkelayakan tinggi. Dengan perkembangan yang semakin pesat di dunia, pelbagai cabaran terus dihadapi oleh masyarakat. Asatizah yang perlu berada di barisan hadapan jika timbul isu-isu berkaitan dengan agama serta mampu memberikan panduan bagi cabaran baharu yang dihadapi masyarakat.

Kod Etika ARS

Skim Pengiktirafan Asatizah juga mempunyai kod etika yang harus dipatuhi oleh semua asatizah di bawah skim ARS. Kod etika ini bertujuan memberikan garis panduan kepada asatizah agar mereka dapat melaksanakan tugas dan amanah dengan lebih berwibawa dan berdedikasi. Asatizah perlu memainkan peranan sebagai penyatu serta contoh kepada masyarakat. Muis  dengan kerjasama semua pihak memastikan skim yang dimandatorikan ini akan dipatuhi oleh semua asatizah dan menjadikan skim ini satu sistem yang kukuh dan memberi jaminan kepada keperluan masyarakat yang inginkan bimbingan agama. Tambahan pula, kini terdapat ramai asatizah yang mempunyai kepelbagaian latar belakang dan fahaman yang berbeza. Namun asatizah harus saling menghormati fahaman masing-masing agar tidak menimbulkan perpecahan ummah.

Antara kod etika ini, asatizah tidak harus menyampaikan kandungan yang bercanggahan dan bertentangan dengan agama serta menjaga keharmonian negara terutama dalam kalangan umat Islam sendiri atau yang bukan Islam. Jalinan persaudaraan, mengamalkan sikap toleransi dalam pergaulan antara umat beragama dan hormat-menghormati amat digalakkan dalam Islam. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t di dalam surah Mumtahanah, ayat 8;

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.

Penutup

Dalam dunia moden ini, Asatizah memainkan peranan penting membantu membentuk perspektif masyarakat ke arah pemahaman kehidupan beragama yang lebih progresif.

Bagi memastikan Asatizah dilatih dan melengkapi kemahiran-kemahiran yang diperlukan, semua asatizah setempat harus mendaftarkan diri di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Ini juga termasuk semua pusat pendidikan Islam swasta bagi memastikan semua asatizah dan guru agama mereka diiktiraf ARS. Semua asatizah yang mengikuti skim ini pula perlu mengikut:

  1. kod etika
  2. latihan yang disediakan dari Muis Akademi dan badan-badan yang diiktiraf oleh Muis
  3. CPE yang telah ditetapkan

ARB dan Muis akan terus mengambil langkah untuk membantu guru agama yang belum berdaftar agar mereka berjaya mendapatkan kelayakan yang diperlukan. Bagi mereka yang sengaja tidak mahu menyertai skim tersebut, selepas mereka digalakkan, dibantu dan disokong, barulah akan dipertimbangkan langkah-langkah penalti kepada mereka sebagai tindakan terakhir.

Dalam menangani penyelewengan ajaran agama, RRG sememangnya memainkan peranan penting untuk mengatasinya. Pemerintah Singapura telah menyediakan ruang dan tempat serta memberikan kursus kepada para asatizah  untuk melakukan kaunseling dengan lebih berkesan. Ahli RRG telah menyertai seminar tentang pengganasan di dalam dan di luar negara bagi mempersiapkan diri mereka menghadapi pengaruh ISIS dan golongan yang menjadi radikal dengan cara sendiri atau ‘self-radical’. RRG telah menghasilkan beberapa garis pandu untuk membantu salah fahaman ini dengan mengetengahkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan hadis, dengan kemahiran dalam bidang “maqasid al-syariah” bagi menerangkan hikmah di sebalik satu-satu hukum.

Penilaian/Saranan

Peraturan ARS mandatori mewujudkan sistem pengawalan, pemantauan, kelulusan dan pembatalan bagi mana-mana kelas agama/Al-Quran dan guru agama/al-Quran. Mutu pengajaran Islam dan guru yang menyampaikannya terkawal. Dengan ini kemurnian pendidikan agama Islam dapat dijaga daripada dicemari oleh individu-individu yang berselindung di sebalik gelaran ‘guru agama’.

Memandangkan pelaksanaan Mandatori ARS ini baru sahaja berkuatkuasa pada awal tahun ini, maklum balas daripada para asatizah dan masyarakat umum tentang hal ini sukar diperoleh. Maklum balas hanya diperoleh daripada Lembaga Pengiktirafan Asatizah dan ahli Majlis yang dipengerusikan oleh Presiden Muis. Usaha yang baik ini dilaksanakan demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Oleh kerana peraturan ARS Mandatori ini hanyalah peraturan yang dibangunkan dalam rangka AMLA (Administration of Muslim Law Act, 1968), dan bukan undang-undang AMLA itu sendiri, pengubahan dan perubahan peraturan itu lebih mudah dibuat. Kita hanya boleh mengharapkan jika ada penggubahan peraturan tersebut, masa yang lebih panjang akan diperuntukan untuk mengumpul maklum balas.

Artikel ini merupakan sedutan dari kertaskerja yang dibentangkan di Seminar 26 Julai 2017.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.


Rujukan:
  1. “ARS tidak harus membebankan asatizah,” Berita Harian, 14 Oktober 2016, hal 7.
  2. “ARS tiers and levels of teaching,” Majlis Ugama Islam Singapura, http://www.muis.gov.sg/ARS/Asatizah-Recognition-Scheme/ARS-tiers-and-levels-of-teaching.html
  3. “Guru agama, mengaji Quran belum berdaftar akan terus dibantu,” Berita Harian, 7 Januari 2017, hal 14.
  4. “Kod Etika ARS diperlukan dalam usaha terus satukan masyarakat,” Berita Harian, 7 Januari 2017, hal 14.
  5. “Mufti perjelas proses daftar bagi asatizah yang belum,” Berita Harian, 1 Oktober 2016
  6. “Pergas sambut baik ARS jadi mandatori,” Berita Harian, 23 Ogos 2016, hal 4.
  7. “Skim pelengkap keupayaan asatizah hadapi cabaran masa kini,” Berita Harian, Jan 2016.
  8. “Skim Pengiktirafan Asatizah akan diubah, meliputi semua asatizah,” Berita Harian , 1 Ogos 2016.
  9. “Skim Pengiktirafan Asatizah Mandatori, Satu Analisa,” Wasat Online, https://wasatonline.wordpress.com/…/skim-pengiktirafan-asatizah- (Akses terakhir 7 Januari 2018)
  10. “Skim Pengiktirafan Asatizah Mandatori: Satu Analisa,” Wasat, No. 14/April 2017
  11. “Sokong keperluan ARS wajib, kini ikhtiar penuhi keperluan, sambil menanti penjelasan lanjut,” Berita Harian, Oktober 2016.
  12. “Tiada lagi Skim Pengiktirafan Guru al-Quran,” Berita Harian, 24  Januari 2017, hal. 8
  13. “Usul jadikan ARS skim mandatori dapat sokongan,” Berita Harian, 21 Ogos 2016, hal 1
  14. berita.mediacorp.sg/…skim-pengiktirafan-asatizah…/3122914.html (Akses terakhir ……)
  15. Kalthom Md Isa, “Suasana dan cabaran umat Islam di Singapura, peranan membanteras salah faham agama”. Kertaskerja yang dibentangkan di Muzakarah Ulama, 29 April 2017, Kuala Lumpur anjuran Majlis Ugama Islam Selangor.
  16. www.beritaharian.sg/…/skim-pengiktirafan-asatizah-akan-diluas (Akses terakhir
  17. www.beritaharian.sg/…/skim-pengiktirafan-asatizah-dapat-respons-

MASYARAKAT ASATIZAH SINGAPURA KITAB ARS


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles