Buku Tarbiyat Al-Awlad Fi Al-Islam: Sumber Tarbiyah Untuk Para Pembaca, Pelajar dan Pendakwah | Wasat No. 46 / Disember 2022

wasat

Wasat 46-1

Buku Tarbiyat Al-Awlad Fi Al-Islam: Sumber Tarbiyah Untuk Para Pembaca, Pelajar dan Pendakwah

01 December 2022 12:01 am // Written by Mohd Hafiz Bin Kusairi

Di zaman yang mana terdapat kesedaran meluas di kalangan ibu bapa tentang kepentingan membentuk keperibadian anak-anak bermula dari rumah, rujukan kepada sumber ilmiah yang menyentuh perihal keibu-bapaan dan pembesaran anak-anak menjadi suatu prioriti pembacaan yang semakin tinggi. Di kalangan masyarakat Islam pula, rujukan yang paling ketara ialah bahan-bahan yang bersandarkan nilai-nilai keIslaman. Antara karya yang paling mendapat tempat di hati para pembaca ialah karya Dr. Abdullah Nasih Ulwan yang bertajuk Tarbiyat Al-Awlad Fi Al-Islam (Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam).

Selain daripada kitab Dr. Abdullah ini, kitab yang berteraskan tarbiyah ataupun pendidikan yang popular di kalangan masyarakat Islam kontemporari ialah karya Dr. Abdul Fattah Abu Ghuddah iaitu Al-Rasul Al-Mu`allim kerana ia mengetengahkan pelbagai pendekatan yang diambil oleh Rasulullah untuk mendidik umat Baginda di samping memberikan kebebasan untuk para pembaca untuk mengaplikasinya menurut realiti yang sedang dihadapi.

Berbeza sedikit dari kitab tulisan Dr. Abdul Fattah ini, karya Dr. Abdullah ini sangat terkenal bukan sahaja kerana rujukannya yang kuat kepada Al-Qur’an dan Hadith, ia juga memuatkan pendapat para ulama dan juga dapatan kajian kontemporari yang kelihatan sangat peka dengan realiti zaman moden. Atas sebab itu, kitab ini bukan sahaja menjadi bahan bacaan, namun menjadi bahan kuliah, ceramah dan seminar.

Oleh kerana itu, artikel ini difokuskan kepada karya Dr. Abdullah dengan mengaitkannya kepada tiga golongan yang berinteraksi secara langsung dengan ilmu: pembaca, penuntut dan penyampai ilmu.

Beberapa nota untuk renungan

Di dalam membaca, mempelajari ataupun menyampaikan apa jua buku, bersifat kritikal di dalam menanggapi isi kandungannya adalah satu keperluan. Sebagai contoh, di dalam bab Tanggungjawab Pendidikan Iman, Dr. Abdullah memberi beberapa gambaran di mana sikap ibu bapa yang mengambil mudah akan menjerumuskan anak tersebut kepada beberapa permasalahan, termasuk kerosakan iman. Antara senario yang digambarkan beliau ialah:

“Seorang bapa menghantar anaknya ke sekolah berasaskan agama selain Islam yang mempunyai misi menyebarkan agamanya. Anak yang bersekolah di sekolah seperti ini sudah pasti terbawa-bawa dengan kesesatan dan kekufuran, bahkan perasaan benci terhadap Islam meresap dalam hatinya.”

“Seorang bapa yang menyerahkan tugas mendidik anak kepada guru yang tidak percaya kepada Tuhan. Mereka menyampaikan ajaran-ajaran kufur dan menanamkan benih-benih kekufuran dalam hati anak. Sudah pasti anak yang dididik oleh guru seperti ini terpengaruh dengan pendidikan ateis dan sekular.”

“Seorang bapa yang membenarkan anaknya membaca semua jenis buku termasuk buku karangan ateis dan materialis, bahkan membiarkan mereka membaca cercaan para mubaligh dan penjajah kepada Islam. Hari demi hari, akibat dimomokkan dengan bacaan sebegini, lama-kelamaan pegangan anak itu menipis, dan akhirnya mencerca prinsip-prinsip Islam.”

Di sini, pembaca perlu berusaha memahami konteks di sekitar penulisan kitab tersebut. Kitab-kitab agama yang menjadi bahan rujukan kita seringkali disisipkan dengan fakta tentang latar belakang penulis dan zamannya, keperibadiannya, guru-gurunya, murid-muridnya, hasil-hasil karyanya dan kesudahan hidupnya. Ia bukanlah sekadar untuk kita kagumi, tetapi untuk menjadi inspirasi buat diri kita untuk mencontohi dan menyambung kebaikan yang telah dimulakan sang penulis. Ia juga memupuk kesedaran di dalam diri tentang realiti di dalam zamannya yang menjadi pencetus kepada karya yang sedang kita tatapi.

Oleh itu, walaupun kesimpulan-kesimpulan yang dibuat oleh Dr. Abdullah bersifat absolut dan simplistik melalui lensa masa kini, ia perlu difahami bahawa penulis hidup di dalam suasana kolonial dan pasca Perang Dunia Kedua. Kemahuan pihak British untuk mengubah infrastruktur politik, ekonomi dan sosial bumi Mesir sejak dari hari pertama penjajahan mereka telah menimbulkan penentangan dari pihak nasionalis, agamawan dan rakyat jelata sendiri. Malah, gerakan modenisasi atau pembaratan (westernization) yang dibawa oleh pihak British sering disamakan dengan agenda Kristianisasi disebabkan kepercayaan bahawa motif kolonialisme itu bercabang tiga: God-Glory-Gold. Apatah lagi pula gerakan kolonialisme dilihat sebagai menghakis identiti keIslaman disebabkan nilai-nilai Barat yang dianggap bertentangan dengan Islam.

Keadaan ini menjadi semakin meruncing di fasa terakhir Perang Dingin (Cold War) di antara Amerika Syarikat dan Soviet di mana keadaan Soviet yang semakin lemah diiringi pula dengan kebangkitan beberapa entiti di atas nama Islam seperti Revolusi Islam di bawah pimpinan Ayatollah Khomeini di Iran pada tahun 1979, kumpulan-kumpulan Mujahidin ketika peperangan menentang Soviet di Afghanistan pada tahun yang sama dan gerakan Ikhwanul Muslimin di Timur Tengah terutama di Mesir, Syria dan Jordan.

Kemahuan Amerika Syarikat untuk meletakkan dirinya sebagai kuasa nombor satu dunia dan bermulanya pertentangan oleh entiti-entiti yang kemudiannya dianggap sebagai mewakili sentimen Islam keseluruhannya seringkali digambarkan sebagai manifestasi Clash of Civilizations yang ditulis oleh Samuel Huntington.

Oleh itu, menyedari hakikat realiti ini mengajak kita untuk memahami dan menghargai pola pemikiran Dr Abdullah. Beliau sendiri merupakan aktivis Ikhwanul Muslimin yang lantang menentang sebarang pemikiran yang dianggapnya asing kepada identiti seorang Muslim. Maka dapat disimpulkan bahawa pendapat-pendapat beliau seperti yang disebutkan di atas lahir daripada  keprihatinan terhadap perkembangan sosio-politikal yang berlaku di negara-negara Arab ketika itu.

Ini tidak bermakna bahawa pendapat yang diketengahkan itu tidak boleh dipersoalkan. Walaupun kebimbangan yang diutarakan oleh Dr. Abdullah itu mempunyai dasar yang perlu dihargai, ia tidak boleh dijadikan sebagai kebimbangan yang bersifat universal.

Sebagai contoh, tidak benar tanggapan bahawa seorang bapa yang menghantarkan anaknya ke sekolah yang tidak berasaskan Islam sudah pasti akan menjerumuskan anak tersebut kepada kancah kesesatan dan kekufuran. Begitu juga pendapat yang guru-guru yang tidak percaya kepada Tuhan akan menanamkan benih kekufuran di dalam hati anak-anak. Juga, “sekolah yang tidak berasaskan Islam” dianggap sebagai sekolah yang tidak mengajar ilmu-ilmu dasar Islam seperti akidah, fikih, akhlak, muamalah dan sebagainya.

Dalam hal ini, pemikiran Profesor Syed Hussein Alatas yang menitikberatkan juga persoalan nilai keIslaman walaupun pada wadah yang secara luarnya tidak kelihatan ‘Islamik’ boleh diberi pertimbangan. Beliau mengatakan,

“Suatu dasar Islam yang penting lagi adalah bahawa semua kebaikan itu datangnya daripada Tuhan. Tiap-tiap tindakan yang baik bersifat tindakan keIslaman, walaupun yang melakukannya bukan seorang Islam. Di sini kita perlu menyedari dua pembahagian fikiran iaitu agama Islam dan nilai-nilai Islam. Agama Islam hanya diikuti oleh orang Islam. Lain halnya dengan nilai-nilai Islam. Yang bukan Islam pun dapat menghidupkan nilai-nilai Islam, sebagai halnya di Singapura.”

Bahkan perkongsian ilmu yang mencakupi pengetahuan tentang ilmu alam, ketamadunan dan kemasyarakatan akan mencetus minat di dalam hati seorang pelajar untuk menjadi insan yang aktif meneroka keajaiban alam, mengkaji tentang jatuh bangun sesuatu peradaban sebagai pengajaran buat umat hari ini dan menelusuri permasalahan-permasalahan yang dihadapi warga masyarakat agar dapat diselesaikan.

Jika seorang Muslim sekadar membataskan bacaannya dan anak-anaknya berdasarkan latar belakang pengarang tertentu semata dan menolak pengarang yang lain hanya kerana penulis seorang ateis dan materialis, dia sebenarnya sedang menafikan potensi pemikiran dirinya kerana tidak dinafikan bahawa terdapat bahan tulisan yang memperkasa minda dan jiwa untuk lebih dalam berfikir dan merenung ke arah kebaikan walaupun yang menulisnya seorang yang sering kita anggap di dalam ‘kamus’ kita sebagai fasik, ateis dan materialis.

Yang perlu diterapkan ialah kebijaksanaan membaca: untuk menyaring maklumat yang bermanfaat dan meninggalkan perkara-perkara yang merosakkan nilai agama dan kemanusiaan.

Profesor Syed Hussein Alatas menambah,

“Sebaliknya juga jika ada sesuatu karya yang dikarang oleh seorang yang bukan Islam, tetapi dalamnya terdapat dibesarkannya nilai-nilai Islam, maka karya ini dapat kita anggap sebagai karya Islam dalam erti karya yang didasarkan atas nilai-nilai Islam yang meliputi seluruh kemanusiaan dan kejadian alam serta makhluk-makhluk dalamnya.”

Langkah lanjut 

1. Luaskan bacaan dan pembelajaran

Muslim perlu menyedari tentang kepentingan meluaskan bacaan agar dia tidak sekadar menghadam sesuatu maklumat dan menjadikannya sesuatu yang muktamad buat dirinya.

Muslim hendaklah membiasakan diri untuk menerima penambahan pada ilmu dan mengakui akan hakikat bahawa ilmu yang dia miliki boleh sahaja digantikan oleh ilmu yang lebih baik. Ini tentu sekali memerlukan keterbukaan minda dan dada di samping niat yang ikhlas untuk mendapat ilmu yang bermanfaat.

Meluaskan pembacaan juga termasuk memberikan perhatian terhadap genre yang seringkali dianggap ‘kurang beragama’. Sebagai contohnya, pembaca Muslim perlu juga luangkan masa untuk mengkaji latar belakang sejarah tempat kelahiran atau pengambilan ilmunya, apakah realiti geopolitik yang sedang berlaku yang mungkin membentuk fikrah dan pemikiran penulis di dalam menghargai realiti penulis sesuatu karya buku atau penulisan.

Begitu juga di dalam mempelajari ilmu. Seorang penuntut ilmu perlu meningkatkan dirinya kepada keadaan yang lebih daripada sekadar mendengar dan menelan sesuatu perkongsian. Perlu ada proses pemikiran yang turut mengambil kira bagaimana sesuatu yang dipelajari dapat direalisasikan di dalam konteks kehidupannya tersendiri melalui langkah-langkah yang konkrit.

Kebiasaan pemikiran yang demikian akan mendidik minda untuk menjadi pemikir yang aktif kerana mengambil kira isi, konteks dan cara aplikasi yang terbaik.

2. Kenali konteks tempatan

Antara perkara yang sering dilepas pandang oleh seorang pembaca, penuntut ilmu dan pengajar ialah realiti di tempat mereka berada.

Apa yang sering berlaku ialah sesuatu pemikiran yang didorong oleh sesuatu konteks yang berasingan akan sering diperkenalkan kepada minda tempatan tanpa memikirkan keserasiannya. Sedangkan sebahagian daripada proses pemikiran yang perlu dilalui oleh seorang pembaca, penuntut dan penyampaian ilmu ialah penghargaan terhadap realiti tempatan mereka juga, iaitu mengambil kira sistem-sistem yang mendasari sesuatu lokasi seperti sistem pendidikan dan memahami pemikiran dan kebiasaan tempatan.

Ertinya, sesuatu ilmu yang diperolehi dan ingin diaplikasikan kepada realiti tempatan akan mengambil kira sama ada ia berpotensi memperkasa, atau memudaratkan, atau tidak relevan untuk diaplikasikan samasekali. Proses ini akan membina kepekaan dan empati terhadap realiti tempatan.

Penulis artikel ini teringat ketika membuat persiapan untuk menyampaikan kuliah yang menyentuh tentang persediaan Ramadan daripada kitab Risalatul Muawwanah karangan Al-Imam Abdullah Bin Alawi Al-Haddad. Antara perkara yang dipesankan di dalam kitab tersebut ialah,

“Hendaklah anda tidak menarik diri pada bulan yang mulia ini kepada selain dari amalan-amalan akhirat semata, dan jalan masuk ke dalam kerja-kerja dunia kecuali yang perlu saja. Kemudian jadikanlah semua urusan kerjamu pada bulan-bulan yang lain saja supaya anda mendapat kelapangan yang penuh pada bulan Ramadan ini untuk kerja ibadat saja.”

Apabila menyampaikan kuliah, di samping menekankan kepentingan meningkatkan prestasi amal ibadah kita di dalam bulan Ramadan, penulis juga memberi ruang untuk menerangkan tentang bagaimana seorang Muslim di Singapura dapat memaksimakan Ramadan mereka juga,  walaupun berhadapan dengan konteks yang tidak memungkinkan perlaksanaan sepenuhnya apa yang disarankan oleh Imam Abdullah Al-Haddad.

Ini tidak bermakna bahawa dasar yang ditekankan beliau iaitu memanfaatkan Ramadan sepenuhnya tidak boleh dicapai dan diabaikan terus. Maka, di sinilah pembacaan dan pembelajaran yang meluas di samping kesedaran tentang realiti tempatan sangat membantu untuk  menjadikan pengalaman Ramadan itu sangat inklusif buat setiap orang beriman di manapun mereka berada.

Maka, penulis turut menyentuh serba sedikit tentang realiti Ramadan di Singapura melalui artikel yang diterbitkan pada keluaran Wasat, no. 27 dengan tajuk, The Ramadhan-Bazaar Conundrum: A Way Forward.

3. Menghasilkan lebih karya tempatan, untuk masyarakat tempatan

Apa yang dinyatakan di atas, menunjuk kepada keperluan pada penghasilan karya-karya yang bersandarkan realiti tempatan agar menjadi manfaat dan panduan praktikal buat masyarakat di Singapura.

Juga, supaya menjadi sebab untuk mengenalkan masyarakat Islam di negara-negara lain tentang realiti-realiti yang mempengaruhi pendekatan kita terhadap beberapa pengamalan agama di dalam negara, sesuai dengan suruhan kita untuk saling mengenali dan menghargai.

Adalah penting untuk seseorang untuk tidak merasakan dirinya tersisih daripada kelebihan-kelebihan yang disediakan agama untuk mereka hanya kerana disebabkan perbezaan konteks dirinya sendiri dengan yang penulis sesebuah kitab ataupun makalah.

Kesimpulan

Kesimpulannya, karya hebat Dr. Abdullah Nasih Ulwan ini mendidik untuk sentiasa menghargai konteks tempatan dan sentiasa menghasilkan suatu usaha untuk memperbaiki ataupun memperkasa realiti yang sedang dihadapi. Di dalam menghadapi realiti yang berbeza, proses pengambilan maklumat perlulah disertai dengan pemikiran yang mendalam dan tidak tertutup mahupun terbatas.

Semoga dengan ini, akan tercetuslah lebih banyak usaha, sama ada dalam bentuk penulisan mahupun projek-projek yang memperkasa pengalaman hidup beragama masyarakat tempatan yang dengannya membuka ruang luas untuk masyarakat Islam yang berada di konteks yang lain untuk turut berkongsi dan menimba pengajaran.

Karya Tarbiyat Al-Awlad Fi Al-Islam sepatutnya menjadi pencetus di dalam diri setiap pembaca, pelajar dan pengajar materialnya, suatu kemahuan untuk menghasilkan sesuatu yang didasari keprihatinan mendalam Dr. Abdullah Nasih Ulwan, untuk masyarakat mereka sendiri.


 

Rujukan 

  1. Abdullah Nasih Ulwan (1992). Tarbiya Al-Awlad Fi Al-Islam. Diterjemahkan oleh Mohd Ikhwan Abdullah. Selangor: PTS Publications & Distributors.
  1. Hatem Bazian (2018). Islamophobia, “Clash of Civilizations’, and Forging a Post-Cold War Order!. Basel: DPI. 
  1. Michael E. Salla (1997). Political Islam and the West: A New Cold War or Convergence?. London:Taylor & Francis. 
  1. Noman Sattar (1995). “Al Ikhwan Al Muslimin” (Society of Muslim Brotherhood) Aims and Ideology, Role and Impact. Pakistan: Pakistan Horizon.
  1. Mahmudah (1997). Bab III: Biografi `Abd Allah Nasih `Ulwan. http:repository.radenintan.ac.id/1803/6/Bab_III.pdf . Diakses pada 7 November 2022.
  1. Syed Hussein Alattas (2015). Karya Terpilih Syed Hussein Alatas – Kita Dengan Islam: Tumbuh tidak Berbuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  1. Al-Imam Abdullah Bin Alawi Al-Haddad (1999). Petunjuk Thariqat Ke Jalan Akhirat. Diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait. Singapura: Pustaka Nasional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles