Ilmu `Ilal Al-Hadith: Ketelitian dan Kesungguhan Ulama Memelihara Kesucian Agama | Wasat No. 45 / September 2022

wasat

Wasat 45-2

Ilmu `Ilal Al-Hadith: Ketelitian dan Kesungguhan Ulama Memelihara Kesucian Agama

01 September 2022 12:02 am // Written by Mustazah Bin Bahari

Syariat Islam adalah milik Tuhan yang Mencipta alam yang Maha Berkuasa untuk menetapkan segala hukum dan perintah yang sesuai untuk alam yang diciptakan. Segala hukum dan perintah telah disampaikan kepada para Nabi dan Rasul sebagai panduan untuk manusia mencapai kesejahteraan dan kejayaan di dunia dan akhirat.

Namun panduan yang diberi perlu diteliti dengan bersungguh-sungguh sebelum diamalkan bagi mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat. Sejak dari dahulu lagi, terdapat segolongan dari umat Islam yang benar-benar ikhlas dan mengharapkan keredaan Allah telah berusaha melakukan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.

Para sahabat Nabi s.a.w merupakan contoh terbaik di dalam usaha tersebut. Apa sahaja yang mereka terima daripada Nabi s.a.w, akan dicermati sebelum dilaksanakan bersungguh-sungguh. Jika ada yang melakukan kesilapan, akan segera ditegur dan diperbetulkan. Segala yang dilakukan adalah untuk memastikan agar agama yang suci tidak dicemari dengan salah laku dan perbuatan yang sia-sia. Para sahabat memandang jauh ke hadapan demi memastikan umat terkemudian dapat mengamalkan Islam dengan panduan yang jelas dan tepat. Panduan yang seiring dengan ajaran Nabi s.a.w yang sentiasa memastikan yang hak dapat diamalkan, dan yang batil terhapus.

Setelah itu, para ulama telah meneruskan tugas yang diwarisi oleh Nabi s.a.w dan para sahabatnya. Dalam pelbagai bidang ilmu yang ada hari ini, seperti ilmu tafsir, hadis, usul fiqh dan sebagainya, para ulama memberi penumpuan kepada keabsahan sesuatu hukum dan amalannya. Masing-masing berusaha dalam bidang tersendiri untuk memastikan agar hukum dan amalan Islam benar-benar berpandukan kepada kehendak syariat itu sendiri.

Salah satu bidang ilmu yang berfungsi sebagai alat untuk memastikan keabsahan sesuatu hukum dan amalan adalah ilmu `Ilal Al-Hadith.

Pengertian Ilmu `Ilal Al-Hadith

Dari segi bahasa, `ilal (kata jamak bagi `illah) bermaksud penyakit atau cacat. Dari sudut istilah pula, menurut ahli hadis, ilmu `Ilal Al-Hadith adalah satu ilmu yang menganalisa kecacatan yang ada pada hadis Nabi s.a.w yang pada zahirnya tidak kelihatan.

Ilmu ini mencari dan menghuraikan sebab-sebab yang tersembunyi pada hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjadikannya bermasalah.

Imam Al-Naisaburi berkata, “Ilmu `ilal adalah ilmu yang tersendiri. Ia bukanlah setakat mensahihkan atau menolak sesebuah hadis, bukan pula mengenai kritikan kepada perawi dalam Al-Jarh Wa Al-Ta`dil, tetapi ia adalah ilmu yang menjejaki kecacatan hadis melebihi sekadar melihat kepada latarbelakang perawi kerana hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang tidak diterima periwayatannya akan terus tertolak dengan jelasnya. Manakala, ilmu `ilal ini sering pula dikaitkan dengan para perawi yang thiqah (dipercayai) tetapi disampaikan dengan cara yang ramai tidak tahu atau tidak dapat mengesan kecacatan pada hadis itu…”[1]

Jelas dari ungkapan Al-Naisaburi ini menunjukkan bahawa ilmu `Ilal Al-Hadith amat mencabar kerana ia berlegar di sisi para perawi yang thiqah (dipercayai). Jika para perawi yang dikenali sebagai lemah atau mempunyai latarbelakang yang mencurigakan, kecacatan pada hadis yang diriwayatkan lebih mudah dijejaki.

Imam Ibn Salah berkata, “Mengetahui `ilal pada hadis merupakan ilmu yang paling tinggi nilainya dan mulia kedudukannya serta mendalam ilmunya. Ia hanya diuruskan oleh ahli hadis yang menghafalnya, yang berpengalaman luas dan mempunyai kefahaman yang sangat mendalam.”[2]

Contoh `illah pada hadis

Terdapat banyak contoh-contoh hadis yang ber`illah yang dikeluarkan oleh para ulama hadis. Ada yang yang terkait dengan `illah dari sudut sanad, ada pula dari sudut matn hadis dan ada juga dari kedua-duanya.

Contoh hadis yang terdapat `illah pada sanad dan matn ialah hadis mengenai sebutan ‘Amin’ di akhir surah Al-Fatihah, adakah ia dikuatkan atau direndahkan suara padanya.

Menurut Imam Al-Turmuzi, hadis mengenai bacaan “Amin” di akhir surah Al-Fatihah mempunyai dua jalur periwayatan. Jalur yang pertama dari periwayatan Syu`bah bin Al-Hajjaj. Rangkaian perawi Syu`bah adalah; daripada Salamah bin Kuhail, dari Hajar Abi Al-`Anbas, dari ‘Alqamah bin Wa’il, bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w membaca “ghairil maghdubi `alaihim wa la al-dhallin”, lalu menyebut, “Amin”, sambi merendahkan suaranya.”[3]

Jalur kedua pula dari Sufyan Al-Thauri dari Salamah bin Kuhail, dari Hajar bin `Anbas, dari Wa’il bahawa Nabi s.a.w membaca “.. wa la al-dhallin”, lalu menyebut “Amin” sambil memanjangkan suaranya.”

Jika dirujuk kepada latarbelakang kedua-dua perawi, iaitu Syu`bah dan Sufyan, mereka berdua adalah thiqah (dipercayai). Namun apabila dikaji semula, terdapat beberapa sudut yang perlu diberi perhatian. Imam Al-Turmuzi berkata, “Hadis dari periwayatan Sufyan adalah lebih sahih dari hadis Syu`bah dalam hal ini kerana Syu`bah telah tersilap di beberapa sudut, iaitu, (i) beliau mengatakan riwayat dari Hajar Abi Al-`Anbas sedangkan yang betul adalah Hajar bin `Anbas yang dikenali juga sebagai Abu Al-Sakan, (ii) kemudian disebutkan pula dari `Alqamah bin Wa’il sedangkan yang tepat adalah dari Hajar bin `Anbas dari Wa’il bin Hajar.

Seterusnya dalam riwayat Sufyan menyebutkan bahawa Nabi s.a.w memanjangkan suaranya ketika menyebut “Amin”. Imam Al-Turmuzi selanjutnya berkata, “Aku bertanya kepada Abu Zur`ah mengenai hadis ini dan dia berkata bahawa hadis Sufyan di dalam masalah ini (sebutan “Amin”) lebih sahih dari hadis Syu`bah.”[4]

Inilah contoh dalam memahami dan menghurai isu hadis yang ber`illah. Ia memang bersifat teknikal dan memerlukan penelitian yang kritis. Bagi mereka yang biasa dengan nama-nama perawi hadis yang thiqah, tidak akan menyangka terdapat `illah pada periwayatan Syu`bah bin Al-Hajjaj kerana sanadnya bersambung dengan para perawi yang thiqah dan beliau juga merupakan di kalangan ahli hadis yang begitu tegas dalam periwayatan hadis Nabi s.a.w. Walaupun demikian, `illah pada periwayatannya dapat dikesan melalui pengumpulan jalur-jalur periwayatan yang lain serta penelitian yang mendalam pada sanad dan matn hadis yang diriwayatkan.

Sebab-sebab berlaku `illah dan petandanya

Para ulama hadis menjelaskan beberapa sebab yang menyebabkan sesebuah hadis menjadi ber`illah serta kaedah menjejakinya, iaitu:

1. Sebab yang umum, dari segi sifat semula jadi manusia yang mengalami kelupaan, kesilapan, kecuaian dalam menukil, mendengar dan mencatat.

Imam Muslim berkata, “Tidaklah seorang yang menukil atau membawa khabar di kalangan salaf dahulu hinggalah ke hari ini, walaupun dia seorang yang kuat hafalannya dan teliti dalam periwayatannya melainkan dia terdedah kepada kesilapan dan kealpaan dalam penghafalan dan nukilannya.”[5]

2. Kejituan yang rendah dan terlalu banyak kesilapan yang berulang.

Kejituan yang lemah boleh berlaku apabila seorang yang kuat hafalannya mula lemah ingatan ketika lanjut usia, atau mereka yang mengumpul hadis melalui catatan dan tulisan tetapi hilang buku dan nota catatan sehingga tidak mampu untuk merujuk semula kepada apa yang telah dikumpulkan.

3. Bercampur aduk maklumat atau khabar yang diperolehi sehingga tidak mampu untuk membezakan apa dan masa hadis yang diriwayatkan. Ini terjadi pada usia lanjut bagi sebahagian ulama hadis.

4. Hubungan dengan guru dalam jangka waktu yang singkat sehingga ada yang menyangka bahawa perawi hadis itu telah mengumpulkan segala yang disampaikan oleh gurunya, sedangkan dia hanya mengambil beberapa hadis sahaja.

5. Meriwayatkan hadis secara makna atau ringkas sehingga ketepatan hadis menurut sumber yang asal sukar dikenal pasti.

6. Sikap tadlis sebahagian perawi yang thiqah sehingga menutup maklumat-maklumat tertentu tentang hadis sehingga orang menyangka bahawa apa yang disampaikan semuanya benar belaka.

7. Perawi yang bersendirian.

Ini bukan bermaksud bahawa perawi yang bersendirian (taffarud) dalam periwayatan hadis menunjukkan sesebuah hadis mempunyai `illah, tetapi ia boleh menjadi isyarat dan pencetus keraguan yang membuatkan para ulama hadis akan meneliti hadis-hadis demikian.  

Kesimpulan

Ilmu `Ilal Al-Hadith ini adalah di antara bidang ilmu Islam yang amat mencabar. Ia sulit dan kajiannya mendalam. Jika dilihat kepada contoh-contoh hadis yang dinilai sebagai ber`illah, ia menunjukkan ketajaman pemerhatian para ahlinya dalam merungkai isu yang terdapat pada hadis-hadis tersebut. Ia bukan usaha yang mudah. Ia seperti tukang emas yang berpengalaman yang dapat mengetahui keaslian emas dan nilainya.

Syeikh Dr. Hatim Al-`Auni, seorang professor hadis di Universiti Umm al-Qura di Mekah pernah ditanya oleh para pelajar hadis mengenai kemungkinan adanya pakar dalam `ilal al-hadith di zaman ini. Beliau menjawab bahawa ilmu ini amat mencabar bagi ulama hadis di zaman dahulu sehingga yang mampu melakukannya hanyalah di kalangan mereka yang telah menghafal ratusan ribu hadis dan kuat kritikan mereka terhadap hadis. Untuk mewujudkan golongan seperti itu hari ini agak mustahil tetapi boleh berlaku jika ada individu yang benar-benar mempunyai kemampuan yang luar biasa untuk menguasainya.[6]

Walaupun ilmu ini hadis ini sukar dikuasai oleh para pengkaji hadis zaman ini, ia tidak bemakna usaha seperti itu dihentikan dan dibiarkan begitu sahaja. Terdapat banyak kajian-kajian terkini yang dilakukan oleh para sarjana di dalam bidang hadis untuk mengetengahkan contoh-contoh hadis yang ber`illah sebagai panduan bagi umat Islam hari ini, khususnya di kalangan para pelajar hadis dan ahli-ahli bidang hadis.

Dapatan dan perkongsian seperti itu dapat mengembangkan lagi maklumat dan ilmu mengenai peranan ilmu hadis dalam mempertahankan kebenaran Islam dan keabsahan hukum hakamnya. Ia juga membuktikan bahawa ilmu-ilmu Islam saling memperkukuh dengan yang lain demi memelihara kemuliaan Islam.

Jika usaha sedemikian tidak dilakukan, sudah pasti akan bertambah penyelewengan terhadap agama seperti kes-kes ajaran sesat dan menyimpang dalam Islam yang sukar dibendung. Namun, berkat usaha yang dilakukan sejak dari dahulu lagi oleh para ulama, ajaran islam yang benar terus disebarkan dengan baik di atas landasan betul.

Tujuan artikel ini adalah untuk menunjukkan usaha keras para ulama untuk memastikan ketepatan maklumat yang diberi. Ia juga menunjukkan ketelitian yang halus yang dimiliki oleh para ulama silam. Walaupun mungkin pada pandangan orang ramai perkara seperti itu remeh dan tiada kepentingan, tetapi sebenarnya ia memberi kesan dan impak yang besar untuk jangka masa panjang. Jika dianggap remeh dan diabaikan sahaja, kerosakan pada agama pasti lebih menyerlah dan sukar untuk diperbaiki pada masa hadapan.

 


 

Rujukan:

[1] Al-Hakim Al-Naisaburi (1937), Ma`rifat Ulum Al-Hadith, Cairo: Dar Al-Kutub Al-Misriyah, ms. 112.

[2] Ibn Salah (1326H), Muqaddimat Ibn Salah, ms. 34.

[3] Riwayat Al-Turmuzi, hadis no. 248.

[4] Al-Turmuzi (2007), Sunan Al-Turmuzi, Beirut: Dar Ibn Kathir, jld. 1, ms. 249.

[5] Muslim bin Al-Hajjaj (1402H), Al-Tamyiz, Riyad: Sharikat Al-Tiba`ah Al-`Arabiyah Al-Sa`udiyah Al-Mahdudah, ms. 124.

[6] Hatim Al-`Auni (1431H), Al-Madkhal Ila Fahm `Ilm Al-`Ilal, Tiada tempat: Tiada penerbit, lihat di www.saaid.net/book/13/5464.doc (10 Ogos 2022).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles