Mengapa Insan Diuji? | Pergas Blog

newest article

muslims-reading-from-quran (1) Cropped (1)

Mengapa Insan Diuji?

04 December 2023 5:33 pm // Written by Nurfarahin Binte Mohamed Amin;

Tahun ini, manusia di serata dunia diuji dengan pandemik COVID-19.

Ekoran penutupan sempadan antarabangsa, ekonomi sejagat terjejas dengan teruk.

Di tahap individu, ramai manusia bergelut dengan isu-isu seperti kehilangan pekerjaan, perpisahan dengan orang-orang yang terdekat, dan perubahan rutin secara mendadak.

Di Singapura, nikmat melancong dan berkumpul secara beramai-ramai dengan ahli keluarga dan sahabat handai terpaksa ‘dihadang’. Demi mencegah penularan wabak, maka rutin  baharu iaitu memakai pelitup muka dan menjaga jarak terus diamalkan dengan tegas.

Sedang dunia menantikan vaksin mujarab untuk membentengi diri daripada virus ini, timbul persoalan yang bersifat kerohanian dan falsafah – mengapa bencana ini berlaku? Persoalan sedemikian telah mendorong warga di sesetengah negara untuk protes atau tidak peduli dengan melanggar langkah pencegahan sehingga mengakibatkan lebih ramai terkorban selepas mengidap wabak ini.

Islam sebagai agama dan cara hidup yang menyeluruh atau holistik telah lama memberikan panduan dalam menghadapi ujian atau musibah.

Makalah ringkas ini akan menerangkan hikmah di sebalik ujian, dengan harapan kefahaman yang betul dapat membantu kita menjalani hidup dengan lebih bermakna.

Ujian Menurut Quran

Allah berfirman di dalam Al-Qur’an:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

“Dialah (Allah SWT) yang telah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya.” (QS Al-Mulk: 2)

Al-Quran membezakan bala dan ujian (musibah). Bala ialah akibat yang diturunkan Allah ke atas umat yang masih degil sehingga perlu dihapuskan kerana sudah didatangi para nabi dan rasul seperti yang terjadi pada umat Nabi Nuh (banjir besar), umat Nabi Syuaib (gempa) dan sebagainya.

Hakikatnya, ujian datang setiap detik. Misalnya, setiap hari kita diuji agar solat pada waktunya di sebalik kesibukan bekerja dan sebagainya. Kita diuji untuk hidup sihat agar dapat belajar, bekerja dan bermian. Antara sebab yang menjadi ujian kepada manusia dan jin ialah untuk beribadah (mengabdi) kepada Allah SWT (maksud SQ Adz Dzariyat: 56).

Kita diuji agar mengenali kesungguhan kita mengejar keredaan-Nya. Selagi kita masih bernafas dalam jiwa hamba, selagi itulah kita diuji.

Jika kita mempunyai penetapan permikiran (mindset) tentang kepentingan bersabar ketika diuji, kita dapat menjadi insan bercita cemerlang. Namun, jika kita enggan bersikap terbuka ketika diuji, apa pun ujian yang menimpa akan terasa lebih berat dan lebih perit lagi.

APAKAH HIKMAH UJIAN?

Sudah pasti, terdapat hikmah di sebalik setiap ujian. Musibah sebenarnya menghapuskan dosa-dosa. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Tiada musibah yang menimpa seorang Muslim kecuali Allah menghapuskan sebahagian dari dosa-dosanya, walaupun musibah itu hanyalah sebuah duri yang mencucuknya.” [1]

Kejayaan mengharungi ujian akan menaikkan darjat kita di sisi Tuhan, seperti sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya,  “Jika Allah menghendaki kebaikan untuk seseorang, Allah mendatangkan ujian untuknya.” [2]

Insan yang paling tinggi ujian ialah para nabi (124,000 orang). Ujian merupakan peluang keemasan untuk kita mendekatkan diri kepada Tuhan.

Ketika diuji, insan beriman yang berjaya menyelesaikan masalah diri, keluarga dan masyarakatnya akan lebih dekat kepada Allah. Untuk menghadapi ujian,  sabar merupakan kuncinya. Erti sabar bukan sekadar ‘menahan’ diri tetapi berusaha membawa perubahan ke arah kebaikan.  “Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.” (QS Ali Imran: 146)

Ujian bak pensuci jiwa atau rohani yang mendatangkan rasa rendah diri kita sebagai hamba kepada Maha Pencipta.

Ujian membuat kita berasa rendah hati kepada sesama manusia kerana kita lebih prihatin terhadap situasi orang-orang di sekeliling kita, sekaligus meningkatkan lagi sifat tinggan rasa atau empati kita terhadap orang lain.

Sejak berlaku wabak ini, bekerja di rumah iaitu dalam talian telah dijadikan suatu rutin. Akibatnya, banyak pekerja diberhentikan demi mengurangi kos. Banyak pejabat, kilang dan gedung beli belah pula dikosongkan.

Namun, cabaran wabak COVID-19 turut menunjukkan peri pentingnya khidmat pekerja baris hadapan seperti doktor, jururawat sehingga pekerja kiriman makanan. Tanpa mereka bersikap siap siaga, wabak akan lebih cepat menular. Mereka tidak boleh digantikan dengan bekerja secara dalam talian (online).

Oleh itu, resam hidup yang berubah ke arah teknologi maklumat, tidak bermakna pekerjaan di barisan hadapan akan berubah. Dalam pada itu, peralihan kepada dunia digital pula tidak bermakna kita meminggirkan golongan warga tua yang rentan atau anak-anak kecil yang perlukan sentuhan dan komunikasi secara langsung.

BAGAIMANA MENANGANI UJIAN?

Sikap utama umat Islam ialah jangan sekali-kali mencurigai kebaikan Allah. Inilah erti ikhlas dalam cara hidup Islam. Kita menerima apa jua yang datang dengan rasa syukur untuk menghargai kebesaran-Nya.

Nyahkan pelbagai sangkaan bahawa kononnya Allah sedang menghukum sebahagian manusia dengan menghantar wabak ini sebagai balasan maksiat dan dosa mereka. Hakikatnya, memang terdapat hukum alam atau sunatullah. Kini dunia, menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres, sedang mengalami krisis kerosakan iklim alam. Akibatnya, banyak hutan terbakar, taufan menjadi-jadi, suhu meningkat dan kawasan tandus meluas. Kerosakan alam adalah akibat tangan-tangan manusia sendiri (Surah Ar-Rum, ayat 41).

Penetapan permikiran negatif atau hanya ingin mencari siapa yang boleh dipersalahkan sebenarnya tidak membantu situasi semasa – kerana ujian diberi kepada setiap yang bergelar insan, tidak kira amalan mereka.[3]

Sebaliknya, mengalihkan fokus kita kepada penyelesaian masalah merupakan langkah penting demi mengatasi apa pun situasi – termasuklah penularan wabak virus ini. Kita akan mula bergerak ke arah mencari jalan keluar dan mengusahakan apa saja di dalam kemampuan kita untuk menangani rintangan-rintangan kehidupan.

Di samping itu, kita haruslah mengimbas kembali janji Tuhan mengenai kemampuan kita menanggung ujian masing-masing. Ini boleh memberi kita kekuatan mental dan rohani. Firman-Nya:

لَا يُكَلَّفُ اللُه نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (QS Al-Baqarah: 286)

Umat Islam diasuh untuk mengucapkan, “Innalillahi wa inna ilaihi roji’un (sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali)” setiap kali ditimpa musibah. Jika kita benar-benar menghayati ucapan ini, kita mampu menangani ujian kehidupan dengan lebih baik lagi, kerana kita faham bahawa tiada yang kekal, termasuklah ujian kita, dan semuanya akan kembali juga kepada Sang Pencipta.

PENUTUP

COVID-19 pasti berlaku. Kehidupan mesti diteruskan sehingga datangnya akhirat kelak. Ujian wabak ini mungkin berakhir kelak, lebih-lebih lagi jika vaksin sudah berjaya dicipta, tetapi realiti kehidupan di alam yang fana’ ini ialah: ujian akan terus datang bertamu. Tiada seorang pun yang bebas dari kesusahan. Namun dengan penetapan minda yang betul, dan dengan izin Tuhan, kita mampu melalui apa jua ujian, tanpa hilang jati diri kita sebagai hamba Tuhan.


Rumusan :

[1] Al-Imam Al-Bukhari, Sahih Al-Bukhari, Buku 75, Hadith 1, https://sunnah.com/bukhari/75/1(Akses pada 21 Nov 2020). 

[2] Al-Imam Al-Bukhari, Sahih Al-Bukhari, Buku 75, Hadith 5, https://sunnah.com/bukhari/75/5 (Akses pada 21 Nov 2020).

[3] Muhammad Fahmi Rosli, “Al-Kafi #1705: Bolehkah Menyifatkan COVID-19 Sebagai Satu Azab daripada Allah S.W.T.?”, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, April 20, 2020, https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4454-al-kafi-1705-bolehkah-menyifatkan-covid-19-sebagai-satu-azab-daripada-allah-s-w-t (Akses pada 24 Nov 2020).

MUSLIM LIFE KEHIDUPAN MUSLIM MASYARAKAT PERSPEKTIF ISLAM MUSLIM WORLD RELIGION ISLAM AND CONTEMPORARY THINKING


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles