Dari Meja Penyunting - Edisi 26 | Pergas Blog

wasat

meja-penyunting

Dari Meja Penyunting – Edisi 26

01 April 2019 1:00 am // Written by

Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.

Alhamdulillah, sekali lagi Wasat dapat berada di pangkuan para pembaca dengan terbitnya edisi terbaru no. 26/April 2019.

Kehadiran bulan April ini bersamaan pula dengan kehadiran bulan Syaaban yang menjadi petanda akan hampirnya bulan Ramadan yang mulia.

Bersamalah kita berdoa agar Allah memberi kekuatan kepada kita semua untuk membanyakkan ibadah sebagai persiapan bagi menghadapi Ramadan dan memanjangkan usia untuk bertemu Ramadan sekali lagi pada tahun ini.

Wasat kali ini menerbitkan empat artikel bagi para pembaca. Menjadi harapan pihak penerbit agar artikel-artikel ini bermanfaat dalam menambah ilmu dan meluaskan ufuk pemikiran para pembaca hingga dapat menjalani hidup sebagai Muslim di Singapura atas prinsip wasatiyah.

Artikel pertama ialah sumbangan Ustaz Muhammad Haniff Hassan yang bertajuk Islam dan Penuaan: Pemikiran Asas (Bahagian 1). Artikel ini menyentuh tentang perspektif Islam mengenai usia tua dengan tujuan meletakkan asas bagi menangani isu-isu penuaan di kalangan masyarakat Muslim Singapura yang merupakan satu isu kritikal yang bakal dihadapi di masa akan datang yang memerlukan persiapan yang rapi pada hari ini. Hal ini pula memerlukan penggembelingan tenaga badan-badan Islam. Namun untuk badan-badan ini mampu melaksanakan usaha ini dengan baik sesuai dengan garis pandu agama, mereka perlu diberi penjelasan akan perspektif Islam tentang isu ini. Moga artikel ini dapat menyumbang kepadanya. Artikel ini disambung dengan artikel kedua yang diterbitkan sebagai artikel keempat dalam Wasat kali ini.

Artikel kedua bertajuk Kesederhanaan Dalam Seni dan Hiburan, oleh Ustaz Muhammad Husin bin Masnin. Artikel ini membicarakan akan sikap saksama Islam mengenai seni dan hiburan, iaitu ia pada dasarnya bukan sesuatu yang haram. Islam hanya meletakkan syarat-syarat tertentu bagi membataskan keinginan manusia yang sering kali cenderung pada nafsu, jika dibiarkan tanpa batasan. Namun apa yang harus pula, tidaklah wajar dikecapi secara berlebihan kerana ia menyalahi prinsip wasatiyah Islam.

Artikel ketiga bertajuk Hukum Masjid Bertempoh Dalam Konteks Singapura, oleh Ustaz Dr. Muhammad Adib Termizi. Artikel ini berusaha untuk mengkontektualisasikan pemikiran yang dominan di dalam fiqh mengenai sifat masjid, iaitu ia haruslah sebuah tanah dan bangunan yang berstatus wakaf selama-lamanya. Pemikiran ini bercanggah dengan hakikat banyak masjid-masjid baru di Singapura yang dibina atas tanah yang mempunyai tempoh pajakan tertentu, bukan wakaf selama-lamanya. Ini pula mempunyai kesan pada hukum solat Tahiyat Masjid, beriktikaf dan solat Jumaat. Dengan menggali khazanah ilmu ulama fikih, penulis mengemukakan cara mengharmonikan pemikiran tradsional yang dominan yang dinyatakan dengan realiti Singapura.

Artikel keempat ialan sambungan bagi artikel pertama yang bertajuk Islam dan Penuaan: Perancangan dan Pengurusan (Bahagian 2), oleh Ustaz Muhammad Haniff Hassan. Sebagai sambungan dari artikel pertama pertama, artikel ini memberi fokus pada kepentingan sikap pro-aktif bagi individu dan masyarakat Muslim Singapura dalam menghadapi hari tua dan masyarakat yang akan semakin menua di tahun-tahun akan datang. Penulis menegaskan merancang dan mengambil langkah-langkah pencegahan akan risiko yang datang bersama usia tua adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Maka Muslim tidak seharusnya bersikap pasrah dan berserah sahaja pada keadaan. Penulis juga berhujah bahawa badan-badan Islam memikul tanggungjawab untuk menangani isu penuaan (menjaga kebajikan warga tua) bagi memenuhi fardu kifayah (kewajiban kolektif) masyarakat Islam, sebagai tambahan ke atas tanggungjawab individu warga tua sendiri, keluarganya dan. Penulis juga aspek-aspek yang perlu diberi perhatian dalam penjagaan warga tua, iaitu kerohanian, kesihatan dan ekonomi warga tua.

Selamat membaca.. Bacalah dengan nama Tuhanmu..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles