Kesederhanaan Dalam Seni dan Hiburan | Pergas Blog

wasat

seni-dan-hiburan

Kesederhanaan Dalam Seni dan Hiburan

01 April 2019 1:00 am // Written by Muhammad Husin bin Masnin

Perkataan seni bukan suatu yang asing dalam kehidupan kita. Seni bina, seni lukis, seni kata, seni lakon, seni tari, dan pelbagai lagi seni yang muncul dan berkembang dari masa ke semasa.

Seni merupakan hasilan kreatif yang indah dizahirkan dari naluri seseorang yang berbakat. Melalui seni seseorang boleh menyampaikan mesej dan tujuan yang terpendam dalam jiwa. Justeru, karya yang terhasil mempunyai maksud tertentu seperti kedamaian, keadilan, kecintaan, kemanusiaan dan sebagainya.

Terdapat aneka karya dalam penghasilan seni kreatif. Ada yang mudah difahami maksudnya ada pula yang sukar seperti seni yang bersifat abstrak. Kita akan menemui pelbagai karya yang berbeza antara individu dengan individu yang lain. Ada pula individu yang menghasilkan karya yang berbeza-beza. Hal ini kerana karya seni itu mempunyai ruang yang luas bagi menghasilkan karya.

Namun, keluasan ini tidak bermakna ianya bebas tanpa sebarang sempadan dan batasan, baik di sisi agama atau di sisi budaya dan logik. Contohnya tarian yang menggiurkan, lukisan tatu, seni kata yang mempunyai maksud negatif, ini semua perkara yang terlarang dalam agama dan tidak diterima juga di sisi budaya tertentu, walaupun ada yang mendakwa bahawa ia termasuk dalam kebebasan berseni. Alasan ini tidak boleh diterima di sisi syarak. Justeru kebebasan untuk berkarya tidak bermaksud semuanya dibenarkan dalam agama, tetapi perlulah berpandukan syariat Islam agar tidak terjerumus ke kancah kemungkaran.

Seni hiburan telah memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita, sama ada berbentuk nyanyian, lakonan, lawak jenaka dan bermacam lagi. Ianya wujud di mana jua seperti di tv, radio, akhbar, laman sesawang dan di tempat awam.

Lumrah kehidupan manusia memerlukan hiburan agar dapat menghilangkan kebosanan dan membangkitkan keceriaan di kala sedih. Namun, adakah dengan terlalu banyak berhibur ini dapat mencapai misi sebagai khalifah yang mengimarahkan muka bumi ini?

Syeikh Yusuf Al-Qardhawi telah mengarang buku bertajuk Al-Islam Wa Al-Fan bermaksud Islam dan seni. Buku ini cukup menarik untuk dibaca kerana ia membincangkan batasan-batasan dalam berhibur yang menjadi lumrah kehidupan manusia. Beliau juga menulis buku Fiqh Al-Lahw Wa Al-Tarwih (Fiqh Hiburan dan Rekreasi). Kedua-dua buku ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu. Kededua buku ini bagus dibaca agar orang ramai dapat mencedok manfaat di dalamnya berkaitan hiburan yang sesuai di sisi agama.

Dalam Islam, hiburan bukanlah matlamat utama untuk dicapai oleh manusia. Matlamat utama adalah memakmurkan dunia dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, supaya ia sejajar dengan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Hiburan bukan suatu perkara yang asalnya terlarang. Hanya, manusia hendaklah tidak terlalu asyik dengannya hingga leka untuk mencapai matlamat utamanya. Maka perlulah membezakan matlamat utama untuk dikecapi, yang mana didahulukan dan yang mana dikemudiankan.

Usaha untuk memajukan seni hiburan perlu diolah agar ia membawa erti dan matlamat yang berguna untuk masyarakat. Ia boleh diolah untuk menjadi satu usaha untuk memajukan seni hiburan ‘berbentuk pendidikan dan pengetahuan’. Jika hanya menerapkan hiburan tanpa sebarang unsur pendidikan dan pengetahuan, atau dengan perkataan mudahnya hanya berhibur suka-suka sahaja, ia bakal melekakan masyarakat untuk terus membangun. Kita tidak ingin melihat budaya hedonisme menapak di dalam masyarakat kita. Sebaliknya kita ingin melihat masyarakat yang berilmu dan berfikiran kritis sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Prof. Syed Hussein Alatas dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun.

Seni hiburan yang tidak menyumbang kepada pembangunan dan pemikiran masyarakat perlu dikurangkan kerana, hari ini, sudah terlalu banyak hiburan yang yang tersebar di sekeliling kita, baik hasil tempatan atau Barat. Banyak di antaranya yang mempunyai unsur-unsur negatif yang boleh merosakkan pemikiran masyarakat terutamanya golongan muda seperti seni profane yang dinyatakan Prof. Shahnon Ahmad sebagai seni berbudaya picisan. Di dalam bukunya Setitis Embun Semarak Api, beliau berkata;

“Seni bertaraf profane ini lebih berbahaya kerana kewujudan dan pengembangannya tersirat dalam kehalusan dan keindahan yang palsu. Pementasan-pementasan, tarian-tarian, lukisan-lukisan, penulisan-penulisan serta berbagai-bagai jenis kesenian telah mencemarkan martabat ketinggian budidaya insan seterusnya menurunkan maruah insan ke tahap paling bawah.”

Maka sudah tiba masanya untuk mengorak langkah maju ke hadapan dalam memajukan seni hiburan berbentuk pendidikan dan pengetahuan.

Dokumentari seperti Jalan yang disiarkan di saluran tv Suria dan dipengacarakan oleh Ibrahim Sawifi adalah satu contoh baik bagi seni yang dapat mendidik masyarakat, dan secara tidak langsung ia menambahkan lagi pengetahuan tentang sejarah Singapura.

Manakala rancangan Bicara yang diwawancarakan oleh Daud Yusof juga satu penghasilan seni yang patut dipuji. Rancangan ini menampilkan individu-individu yang ternama seperti mufti, ahli akademik, sasterawan, peniaga, pelakon, penyanyi dan lain-lain lagi. Ia membantu penonton menyelami pemikiran individu itu dan secara tidak langsung mendorong masyarakat untuk berfikir secara kritis.

Saluran seperti Discovery Science, National Geographic, Animal Planet juga diperlukan bagi menyumbang dalam menjana ilmu pengetahuan masyarakat. Rancangan-rancangan seperti inilah yang patut diperkayakan dan dimajukan lagi supaya ia dapat membina masyarakat berpengetahuan dan berilmu.

Hiburan berbentuk penulisan juga perlu diberi perhatian sebagai wadah dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Justeru, memajukan dan memperkayakan bahan bacaan berbentuk ilmiah dan pengetahuan amat diperlukan. Sudah banyak majalah-majalah hiburan sama ada mengenai artis, fesyen atau sukan. Malangnya kita kekurangan majalah berbentuk ilmu pengetahuan.

Apabila disebut ‘novel’, akan terlintas dalam fikiran seseorang itu unsur-unsur cinta dan romantis. Sebaliknya novel juga turut mendorong pembaca untuk berfikir secara kritis dan bukan hanya sekadar hiburan berbentuk percintaan sahaja. Inilah yang dilakukan sasterawan di dalam karya-karya mereka agar hasil yang dilakukan tidak kontang dari elemen-elemen nasihat, teladan atau pengajaran. Contohnya sasterawan negara Suratman Markasan, beliau menerapkan unsur menegakkan keadilan seperti di dalam novelnya Tiga Lelaki, Di Bumi Mana dan Dunia Bukan Kita Punya. Manakala pemikir terkenal nusantara Hamka turut menegur secara halus mengenai ketaksuban terhadap bangsa, adat dan pangkat darjat. Ini diluahkan di dalam novelnya Merantau Ke Deli dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Seni juga boleh mengingatkan manusia akan Tuhannya. Ini memerlukan daya kreatif seseorang itu untuk menghasilkan karya yang bermanfaat untuk masyarakat. Tidak mustahil karya itu boleh mendorong yang lain untuk menghasilkan karya yang lebih baik lagi. Secara tidak langsung masyarakat akan bergelumang dengan hiburan yang mendidik jiwa dan bermanfaat.

Seharusnya seni dan hiburan itu tidaklah gersang dari pengertian yang bermanfaat kepada masyarakat. Ia juga tidaklah menyerlahkan kebebasan sehingga keluar dari kerangka syariah. Justeru kita ingin melihat hasil seni hiburan yang bukan sekadar hebat dan kreatif, tetapi juga mempunyai unsur-unsur dan elemen-elemen yang mendidik masyarakat ke arah pembangunan. Seeloknya modal dan wang yang ada dibelanjakan untuk karya berbentuk pengajaran dan pendidikan. Kita inginkan ramai golongan cendekiawan dan intelektual di dalam masyarakat kita. Maka dengan hiburan yang mendidik jiwa, akan menyumbang kepada membentuk insan yang berguna di dunia dan akhirat.

Akhir sekali, perhatikan apa yang dikatakan oleh Prof. Hussein Alatas di dalam bukunya Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berubah;

“Yang dapat diterima masyarakat ialah penyataan perasaan seniman yang menggalakkan unsur-unsur moral dan yang memajukan penghidupan manusia. Oleh kerana demikian hakikatnya seni dan masyarakat, maka bagi umat Islam sudahlah jelas bahwa seni itu mesti dipandu oleh ajaran Islam.”

Artikel ini diterbitkan pertama kali dengan tajuk Bukan Sekadar Seni dan Hiburan di majalah Ar-Risalah, no. 15, Mei-Ogos 2014 dan diterbitkan buat kali kedua dengan tajuk Seni, hiburan yang didik jiwa boleh bentuk insan berguna di Berita Harian, 20 Mei 2016. Ia telah disunting dengan sedikit penambahan dan pengubahsuaian Wasat.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles