wasat

Konsep Wasatiyah Dari Sudut Pandangan Prof. Kamal Hassan
01 February 2015 5:22 pm // Written by Muhammad Haniff Hassan, Dr.
Era pasca Serangan 9/11 telah menyaksikan isu kesederhanaan dalam Islam menjadi salah satu topik kajian yang penting. Dua objketif utama yang mendorong minat pada isu ini, 1) untuk membaiki imej Islam yang telah tercemar disebabkan fenomena pelampauan yang muncul setelah serangan itu, dan 2) untuk mengatasi masalah pelampauan di kalangan Muslim di serata dunia yang menyebabkan serangan sedemikian dan juga pelbagai perkembangan setelah serangan itu.
Terdapat banyak inisiatif di pelbagai negara untuk mengkaji dan menyebarkan konsep wasatiyah Islam.
Di antara inisiatif-inisiatif ini ialah:
- penerbitan buku bertajuk Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura (2004) oleh Pergas bagi menjelaskan makna kesederhanaan dalam Islam dan membimbing masyarakat Muslim ke arahnya sebagai respon kepada Serangan 9/11, penangkapan beramai-ramai anasir-anasir JI di Singapura dan reaksi golongan bukan Muslim terhadap kededua insiden berkenaan;
- penubuhan Pusat Islam Al-Qaradhawi Bagi Wasatiyah dan Pembaharuan (2008) di bawah Fakulti Pengajian Islam Qatar dengan tujuan membuat kajian dan menyebarkan kesederhanaan dan pembaharuan Islam bagi mengatasi masalah pelampauan dan menggalakkan dialog antara agama/budaya;
- penubuhan Pusat Wasatiyah Antarabangsa Kuwait, sebuah institusi pemerintah di bawah Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam bagi tujuan kajian dan latihan untuk menyebarkan kesederhanaan dan melawan pelampauan;
- penubuhan Perhimpunan Wasatiyah Bagi Pemikiran dan Budaya di bawah naungan Raja Jordan dan Akademi Diraja Jordan hasil dari persidangan yang dianjurkan pada tahun 2004 dan 2006;
- penubuhan Institut Wasatiyah di Malaysia (2005) dan Global Movement of Moderates (2010) oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohamad Najib Abdul Razak bagi menggalakkan kesederhanaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Selain konsep dan idea tentang kesederhanaan, segala inisiatif yang dinyatakan turut menjadi perhatian dan tarikan pihak-pihak yang berminat mengkaji isu ini.
Salah satu soalan penting yang sering ditanya dalam kajian tentang kesederhanaan ialah; Apakah makna kesederhanaan / wasatiyah dalam Islam?
Sebagaimana idea dan konsep yang lain, para ulama dan sarjana Muslim memberi jawapan yang pelbagai bagi soalan yang dinyatakan. Namun, ia tidak seharusnya menjadi sebab untuk tidak terus berusaha untuk mewujudkan satu konsep yang kukuh yang akan berguna sekali bagi membimbing penghayatan dan amalan masyarakat umum.
Kajian Prof. Kamal Hassan Tentang Wasatiyah
Prof. Kamal Hassan, seorang sarjana Muslim yang mapan. Beliau juga mantan rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Bidang pengkhususan beliau ialah dalam bidang pemikiran Islam kontemporari terutama yang berkaitan dengan rantau Asia Tenggara.
Kajian beliau dalam isu wasatiyah amat berguna kerana ia membentangkan konsep yang sempurna bagi pengertiannya.
Pada tahun 2013, beliau membentangkan konsep ini dalam Persidangan Antarabangsa Kedua Bagi Pemulihan Pengganas dan Daya Tahan Masyarakat di Singapura (26-27 Mac 2013).
Dengan menggunakan grafik (lihat grafik 1), dia membentangkan satu konsep yang mempunyai erti yang mendalam tapi mudah untuk difahami, berbeza dengan karya-karya akademik lain yang rumit dan panjang lebar.
Perkara yang paling penting dan utama sekali, menurut Prof. Kamal, ialah mengasaskan konsep wasatiyah di atas dua sumber utama Islam; Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.
Berdasarkan kededua sumber ini, Prof. Kamal kemudiannya membina konsep wasatiyah di atas tiga nilai utama Islam; 1) iman, 2) ilmu, dan 3) takwa (tunduk dan patuh pada shariah Tuhan).
Walaupun Prof. Kamal tidak menjelaskan secara terperinci tentang ketiga-tiga nilai ini, namun tidak sukar untuk menyimpulkan bahawa yang dimaksudkan oleh beliau dengan iman ialah percara bahawa Allah taala sebagai satu-satunya Tuhan (tauhid) dan nabi Muhammad s.a.w sebagai RasulNya. Inilah erti iman yang baku di sisi semua Muslim. Tiada alasan untuk diandaikan bahawa beliau mempunyai fahaman yang berbeza dalam hal ini.
Tidak begitu sukar juga untuk memahami mengapa beliau meletakkan “ilmu” sebagai asas bagi wasatiyah. Kepentingan ilmu dalam Islam dan, oleh itu juga, kedudukannya sebagai tunggak bagi konsep yang penting dalam Islam – wasatiyah – boleh disimpulkan dengan mudah dari hakikat bahawa wahyu pertama diturunkan menggandingkan ilmu dan iman (lihat Al-Quran, 96:1-5). Tambahan pula, ilmu mendahului segala perkara dalam Islam. Tiada seorang Muslim dapat beriman kepada Tuhan yang sebenar tanpa ilmu, apatah lagi menghayati wasatiyah.
Berkaitan dengan takwa pula, kepentingannya dalam Islam adalah sesuatu yang tidak dipertikaikan oleh sesiapa pun di kalangan para ulama dan sarjana Islam. Maka ketiadaan penjelasan mengenainya dapat difahami juga.
Apa yang lebih penting dari grafik 1 yang dikemukakan oleh Prof. Kamal ialah konsep bahawa wasatiyah bukannya satu-satu konsep yang dibina di atasnya segala ajaran Islam, walaupun tidak dinafikan kepentingan, dan ini mempunyai implikasi berikut:
- menjadi sederhana atau mengamalkan wasatiyah itu penting tapi ia tidak boleh sampai menjejas asas-asas Islam yang lain yang lebih atau sama penting;
- kefahaman dan amalan agama seorang Muslim hendaklah dicorakkan oleh kefahaman yang betul akan wasatiyah. Namun, fahaman wasatiyah itu sendiri tidak boleh terpisah dari asas-asas Islam yang lain;
- usaha mencapai wasatiyah/kesederhanaan tidak boleh dicapai “at all cost” atau ditafsirkan tanpa melihat kaitannya dengan asas-asas Islam yang lain.
Oleh kerana wasatiyah disebut hendaklah didasarkan pada apa yang terkandung dalam kededua sumber utama Islam dan bukan hanya berdasarkan rasional/falsafah atau apa yang difahami oleh Muslim dalam masyarakat, ayat Al-Quran, “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), ummatan wasatan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. …” (Al-Baqarah, 2:143) menjadi rujukan utama.
Hal ini kerana di dalamnya terdapat kata kunci ummatan wasatan yang darinya timbul konsep wasatiyah yang menjadi rujukan semua para ulama dan sarjana Muslim. Kata kunci ini dan istilah wasatiyah yang muncul darinya pula, pada kebiasaannya, diterjemahkan sebagai umat yang sederhana atau kesederhanaan.
Namun, Prof. Kamal tidak condong untuk mengguna perkataan sederhana atau moderation bagi wasatiyah. Beliau juga tidak cenderung untuk memaknakan wasatiyah dengan erti tidak ganas (non-violent) atau tidak radikal atau tidak militan, yang banyak digunapakai oleh para pemimpin Barat dan di sesetengah negara Muslim. Bagi beliau, erti wasatiyah lebih dari hanya sederhana, tidak ganas, tidak radikal dan tidak militan.
Berdasarkan kajiannya terhadap Al-Quran, Sunnah Nabi s.a.w dan karya para ulama silam dan masa kini, Prof. Kamal berpendapat konsep wasatiyah mestilah merangkumi tiga sifat utama sebagai inti baginya. Ketiga-tiga sifat utama ini ialah, 1) adil, 2) cemerlang, dan 3) seimbang/saksama.
Dalil yang dikemukakan oleh Prof. Kamal bahawa adil adalah sifat utama wasatiyah ialah hadis dari Abu Sa`id Al-Khudari yang diriwayatkan oleh Ahmad bahawa Nabi s.a.w telah menafsirkan perkataan wasat dalam ayat 2:143 dengan erti “adil”. Walau pun “adil” juga memberi makna “seimbang”, “saksama” atau “sederhana” yang sama dengan sifat ketiga di atas, namun dapat dirumuskan bahawa kededua sifat “adil” dan “seimbang” mempunyai pengertian yang membezakan yang satu dari yang lain. Oleh itu, kededuanya diwujudkan dalam dua sifat yang terpisah. Adil memerlukan minda yang objektif yang tidak boleh dipengaruhi oleh emosi atau prejudis hingga menjadi berat sebelah kepada mana-mana pihak apabila membuat hukum, keputusan atau menghuraikan pertikaian. Hakikat ini disokong oleh makna dari satu perkataan yang terdapat dalam Al-Quran yang datang dari kata dasar yang sama dengan wasat, “Berkatalah seorang yang paling awsat pikirannya di antara mereka…”. Perkataan awsat dalam ayat ini, mengikut Prof. Kamal, telah ditafsirkan oleh ulama tafsir dengan makna, “yang paling adil [a`adal] di antara mereka”.
Dalil bagi sifat cemerlang bagi makna wasatiyah pula ialah penggunaannya dalam Bahasa Arab dan sunnah Nabi s.a.w. Prof. Kamal menyebut hakikat bahawa orang-orang Arab memahami perkataan wasat, yang darinya muncul istilah wasatiyah, dengan erti “yang terbaik” atau “cemerlang” juga. Hal ini boleh disokong dari istilah Awsat Al-`Arab sebagai gelaran bagi kabilah Quraisy yang darinya lahir Nabi s.a.w. Gelaran ini, di sisi kaum Arab di masa itu, memberi makna kabilah Arab yang terhormat. Makna yang sama juga boleh ditemukan dalam hadis Nabi s.a.w yang menceritakan bahawa beliau s.a.w adalah yang paling wasat dari kalangan kaumnya yang mana para ulama mentafsirkannya dengan erti seorang yang mempunyai salasilah keluarga yang paling terhormat di kalangan kaumnya.
Adapun kaitan sifat ketiga (seimbang/ sederhana) dengan konsep wasatiyah pula bukanlah satu isu yang dipertikaikan kerana, umumnya, ia memang sifat yang sering dikaitkan dengannya dan memang diguna oleh orang-orang Arab dari dahulu hingga sekarang. Apa yang menjadi isu ialah meluasnya penggunaan perkataan seimbang/sederhana bagi konsep wasatiyah telah mengelabui dua sifat penting yang lain hingga berpotensi pula untuk mengelabui kefahaman sebenar terhadap konsep wasatiyah.
Bahkan, Prof. Kamal berpendapat, rata-rata, sifat adil dan dan cemerlang telah diabaikan, dipinggirkan atau dilupakan kerana fokus yang melampau kepada sifat seimbang / sederhana sahaja. Beliau juga mendapati terdapat fahaman yang silap mengenai kesederhanaan yang tidak sesuai dengan erti sebenar wasatiyah yang merangkumi ketiga-tiga sifat di atas yang memerlukan pembetulan pula. Satu kesilapan yang beliau bangkitkan dan masyhur dalam fahaman golongan elita politik ialah wasatiyah sebagai justifikasi untuk bersikap bermudah-mudah terhadap atau melakukan pengabaian pada tuntutan agama. Dengan erti lain, fahaman ini tidak mewajibkan Muslim menunaikan kewajiban agama semata-mata untuk menjadi seorang yang dianggap sederhana.
Bagi Prof. Kamal, kesederhanaan bukan satu tunggak Islam yang berdiri sendiri. Tiada kesederhanaan jika tiada keadilan and tidak akan ada keadilan yang sebenar jika ada padanya pelanggaran kewajiban yang jelas dari Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Jika tidak, “kesederhanaan” boleh difahami sebagai lessen atau izin untuk mengamalkan agama secara longgar, sebagaimana yang dimahukan oleh sesetengah pihak.
Wasatiyah juga bukan mesti bermakna berada di tengah-tengah semua perkara hingga membenarkan sikap “ala kadar” (mediocrity) sebagaimana yang difahami oleh ramai kalangan awam Muslim. Prof. Kamal menegaskan Islam amat menganjurkan nilai kecemerlangan dan kerja keras dan menjadikannya inti ajarannya. Oleh itu, sikap “ala kadar” dan berpuas hati dengan pencapaian “biasa-biasa sahaja” adalah bertentangan dengan Islam. Oleh itu juga, ia bukan wasatiyah yang sebenar. Yang dimaksudkan wasatiyah dalam erti kata pertengahan antara dua perkara ialah pertengahan di antara sikap pelampauan, iaitu ifrat (berlebih-lebihan / excessiveness) dan tafrit (longgar / laxity). Pertengahan dalam bentuk ini yang dikatakan sebagai sesuatu yang adil, cemerlang dan seimbang, bukan pertengahan antara dua perkara yang baik atau pertengahan antara dua perkara yang buruk. Dalam konteks sini, wasatiyah memberi makna berusaha untuk melakukan segala yang diperintahkan oleh Islam dalam bentuk yang paling cemerlang (ihsan).
Prof. Kamal menegaskan bahawa Al-Quran, 2:143 mengaitkan wasatiyah dengan konsep “menjadi saksi atas (perbuatan) manusia”. Pernyataan ini merupakan perintah Tuhan ke atas semua Muslim agar menjadi contoh terbaik dan penanda aras (benchmark) bagi tamadun manusia sebagai manifestasi bagi konsep rahmatan lil `alamin (rahmat untuk sekalian alam) yang disebutkan dalam Al-Quran, 21:107 dan konsep khair ummah (umat terbaik) dalam ayat yang akan disebutkan dalam para di bawah nanti. Ertinya, Muslim hendaklah berusaha mencapai tahap kecemerlangan yang komprehensif dalam perkara agama dan sains keduniaan sesuai dengan semangat tauhid, amanah dan ubudiyah, bagi memenuhi peranan “saksi bagi semua manusia” dan misi memimpin mereka.
Satu aspek penting dalam konsep wasatiyah Prof. Kamal ialah kaitannya dengan konsep khair ummah (umat yang terbaik) dalam ayat, “Kamu adalah khair ummah (umat yang terbaik) yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Al-Quran, 3:110)
Kededuanya adalah dua perkara yang tidak boleh terpisah (lihat grafik 2). Konsep khair ummah menegaskan sifat cemerlang wasatiyah dan, sebagai tambahan, juga menetapkan satu peranan penting bagi Muslim – menganjurkan kebaikan dan mencegah kemunkaran.
Di sisi Prof. Kamal, tiada wasatiyah atau “saksi bagi semua manusia” jika Muslim tidak memainkan peranan ini. Bahkan beliau mengingatkan amaran Nabi s.a.w akan kesan buruk jika Muslim mengabaikan kewajiban ini.
Akhir sekali, wasatiyah di sisi Prof Kamal hendaklah dimanifestasikan dalam bentuk;
- mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemunkaran
- memiliki kuasa dan kekuatan kerana keadilan tidak mungkin tercapai tanpa kededuanya
- toleransi dan kewujudan bersama secara aman dengan agama dan budaya lain
- bermaruah sebagai hasil dari ketiga-tiga sifat wasatiyah yang telah dijelaskan di atas.
Dengan memenuhi segala yang di atas, Muslim boleh mencapai al-falah (kejayaan sempurna) yang membolehkan mereka mendapat barakah (keberkatan), ridha (keredaan) dan taufiq (pencapaian yang dikehendaki).
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.