Mimpi adalah apa yang dilihat oleh seseorang dalam tidurnya dan setiap manusia pernah mengalaminya. Islam telah memperkatakan soal mimpi, membahagikannya kepada beberapa jenis, mengajar doa untuk mendapatkan mimpi yang baik serta sunnah-sunnah ketika mengalaminya.
Dalam kertas kerja ini penulis akan membahaskan pandangan para ulama dalam menjadikan mimpi sebagai sumber hukum atau sandaran dalam menjawab persoalan bersangkutan dengan syariat.
Makna mimpi
Mimpi atau dalam bahasa Arab disebut dengan “al-ru`ya” adalah sesuatu yang dilihat seseorang dalam tidurnya. Sebahagian masyarakat Arab menyebutnya dengan “al-ruya”, tanpa hamzah manakala ada yang menyebutnya dengan “al-ruyya”. “Al-Ru’yah” pula adalah penglihatan dengan mata. Namun, Ibnu Arabi berpendapat ia digunakan untuk penglihatan mata kepala dan juga hati. Menurut Al-Zubaidi, perkataan ini boleh digunakan untuk: penglihatan mata, khayalan dan melihat perkara ghaib.
Mimpi dari sudut bahasa disebut juga dengan kata “al-hulm” tetapi syarak membezakan di antara keduanya dengan menggunakan “al-ru’yah” untuk mimpi yang baik dan “al-hulm” untuk mimpi yang tidak baik atau yang berasal dari syaitan. Dalam hal ini, Nabi s.a.w ada bersabda, “Al-Ru’ya” adalah dari Allah dan “al-hulm” itu adalah dari syaitan . . .” (Riwayat Al-Bukhari).
Nilai mimpi dalam agama-agama
Mimpi mempunyai pengertian, nilai dan makna tersendiri bagi sesetengah agama dan sering dipandang sebagai cara Tuhan memberi tuntunan kepada manusia. Sebagai contoh, kaum Yahudi mempercayai mimpi adalah saluran dan sarana yang digunakan Tuhan untuk berkomunikasi dengan manusia dan menyampaikan kehendakNya.
Sehingga beberapa mimpi yang khusus dimuatkan dalam kitab Taurat.
Penganut agama Kristian tidak kurang kepercayaan mereka terhadap mimpi sebagai perkhabaran batin, sehingga terdapat beberapa kes seseorang itu menganut agama Kristian dengan alasan bermimpi Nabi Isa. Ia juga sebagai penghibur dan daya tahan untuk menghadapi masa sulit dan kesusahan. Kitab Injil pula menyebutkan beberapa mimpi tokoh-tokoh mereka seperti mimpi Yusuf tukang kayu supaya mengambil Siti Maryam sebagai isterinya dan mengkhabarkan bahawa anak dalam kandungan Siti Maryam adalah dari tiupan ruh kudus. Salah satu mimpi besar yang diyakini oleh umat Kristian adalah mimpi Nabi Danial yang meramalkan perjalanan sejarah untuk masa berabad-abad kemudian.
Agama Buddha pula berpendapat kehidupan ini adalah sebuah mimpi. Manusia itu hidup dari mimpi ke mimpi yang lain sehingga apabila datang kematian maka dia akan terjaga dari mimpi dan memulai kehidupan yang sebenar dan abadi. Menurut pandangan yang lain, seseorang itu dapat melihat masa hadapan melalui mimpi sehingga dia boleh mempercepatkan masa kebahagian dan melambatkan masa kesulitan. Mereka juga berpendapat, seseorang itu mampu meningkatkan kebenaran mimpinya dengan latihan meditasi secara rutin.
Agama Islam menilai mimpi itu sebagai sesuatu yang mulia dan memandang tinggi kedudukannya sehingga pendahuluan kepada wahyu adalah mimpi yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w seperti yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari. Imam Al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa Baginda juga menjanjikan azab bagi mereka yang mengatakan bahawa dirinya bermimpi sesuatu sedangkan dia tidak bermimpi pekara tersebut dan menganggapnya dusta yang besar.
Islam juga membahagikan mimpi itu kepada tiga bahagian:
1. Mimpi dari Allah berupa berita kegembiraan yang hendak disampaikan.
2. Dari syaitan berupa mimpi yang batil, untuk menyedihkan manusia dan menakutkan mereka.
3. Permainan tidur berpunca dari kehendak orang yang tidur itu atau apa yang dilaziminya sewaktu berjaga.
Ahli psikologi Islam menambah satu jenis mimpi yang dinamakan, mimpi jasmani yang mewajibkan mandi hadas berpunca dari keadaan fisikal seseorang.
Kesimpulan dari perbahasan di atas menunjukkan bahawa mimpi itu dipercayai dalam agama-agama dan ia adalah berita kegembiraan dari Tuhan dan perkhabaran terhadap apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Hanya agama Islam sahaja yang membataskan kepercayaan terhadap mimpi-mimpi seseorang.
Mimpi dalam Al-Quran
Al-Quran telah menceritakan sebanyak tujuh mimpi pada enam tempat:
1. Mimpi Nabi Ibrahim untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail. Ia disebutkan dalam Surah Al-Shaafat: 102.
2. Mimpi Nabi Yusuf mengenai sujudnya matahari, bulan dan sebelas bintang kepadanya dalam Surah Yusuf: 4-5.
3. Mimpi lelaki yang dipenjarakan bersama Nabi Yusuf, yang melihat dirinya memerah anggur dan seorang lagi membawa roti di atas kepala, kemudian roti itu dimakan oleh burung. Kisah ini diceritakan Allah dalam Surah Yusuf: 36-41.
4. Mimpi raja Mesir yang melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk dimakan oleh tujuh sapi betina yang kurus dan beliau melihat juga tujuh batang gandum yang hijau dan tujuh batang gandum yang kering dalam surah Yusuf: 43-49.
5. Mimpi Nabi Muhammad s.a.w ketika peperangan Badar. Baginda melihat kaum Quraisy jumlahnya lebih sedikit dari kaum Muslimin. Ia disebutkan dalam surah Al-Anfal: 43. Menurut para ulama tujuan mimpi ini adalah untuk menetapkan hati dan menguatkan semangat kaum Muslimin.
6. Mimpi Nabi Muhammad yang melihat kaum Muslimin akan memasuki Mekah dalam keadaan aman dan dapat melaksanakan manasik mereka dengan sempurna tanpa ketakutan. Mimpi ini dikisahkan dalam Surah Al-Fath: 27.
Dari kisah mimpi-mimpi dalam Al-Quran ini dapat disimpulkan bahawa mimpi itu terkadang sebagai perkhabaran untuk peristiwa yang akan berlaku, atau sebagai satu pekara majazi yang perlu kepada takwil. Kemudian mimpi-mimpi dalam Al-Quran hanyalah sekadar membawa perkhabaran menggembirakan dan peringatan. Tidak terdapat satu mimpi yang membawa makna pensyariatan kecuali mimpi Nabi Ibrahim mengikut sesetengah ulama tafsir, tetapi ia adalah mimpi para Nabi-nabi yang dikira sebagai sebahagian daripada wahyu.
Mimpi dalam hadis
Terdapat ratusan hadis Nabi yang menceritakan tentang mimpi. Ia dapat digolongkan dalam beberapa bahagian mengikut makna yang terkandung dalam mimpi itu.
1. Mimpi yang membawa makna petunjuk kepada perkara ghaib. Contohnya, sabda Nabi s.a.w, “Dan ketika mana aku sedang tidur diberikan kepadaku kunci khazanah bumi, lalu diletakkannya dalam tanganku.” (Riwayat Muslim).
2. Mimpi yang membawa makna berita kegembiraan, seperti sabda Nabi s.a.w, “Aku bermimpi pada satu malam seakan berada dalam rumahnya Uqbah bin Rafi’, lalu didatangkan buah rutab miliknya ibnu Tab, aku mentakwilkan bahawa bagi kami ketinggian di dunia, kemuliaan di akhirat dan Agama kami telah menjadi baik. (Riwayat Muslim).
3. Mimpi yang membawa makna, menggalakkan berbuat kebajikan, seperti riwayat Abdullah bin Abi Aufa yang berkata bahawa Nabi s.a.w mendatangi para sahabatnya dan berkata, “Aku bermimpi melihat kediaman-kediaman kamu dalam syurga dan dekatnya ia antara satu dengan lain . . . kemudian Baginda mendatangi Abdul Rahman bin Auf dan bersabda, “Sesungguhnya kamulah yang paling lewat di antara sahabatku sehingga aku takut kamu akan hancur, dan aku sangat berpeluh. Aku bertanya kepada mu, “Apa yang melambatkan mu? Kamu menjawap, “Wahai Rasulallah, kerana banyaknya hartaku, sehingga aku tetap berdiri dihisab, ditanya mengenai hartaku dari mana aku dapatkannya dan ke mana aku nafkahkannya.” Abdul Rahman lantas menangis dan berkata, “Wahai Rasulullah, seratus muatan unta yang dari hasil perniagaan aku di Mesir yang tiba semalam adalah untuk golongan fakir dan anak yatim di Madinah. Semoga Allah meringankan hisabku.” (Riwayat Al-Bazzar).
4. Mimpi sebagai peringatan. Contohnya, Nabi s.a.w bersabda, “Ketika mana aku tidur aku melihat sekumpulan manusia sehingga ketika aku mengenali mereka, datanglah seorang lelaki di antaraku dan mereka seraya berkata, “Marilah!” Aku bertanya, “Ke mana? Lelaki itu menjawab, “Ke neraka.” Aku bertanya, “Kenapakah mereka?” Dia berkata, “Sesungguhnya mereka telah murtad setelah kamu.” (Hadis riwayat Al Bukhari).
5. Mimpi sebagai penguat terhadap sesuatu. Contohnya, mimpi Saidina Umar r.a. berkenaan azan, yang mana mimpi beliau adalah untuk menguatkan mimpi Saidina Abdullah bin Zaid yang terlebih dahulu melihat perkara yang sama dalam tidurnya. (Riwayat Al-Termizi).
6. Mimpi bertujuan memperlihatkan kemuliaan seseorang, seperti Nabi s.a.w bermimpi Waraqah memakai baju putih dan mentakwilkannya dengan beliau termasuk dari ahli syurga. (Riwayat Al-Termizi).
Para sahabat juga mendapat petanda mengenai dekatnya ajal mereka melalui mimpi, sepertimana Saidina Umar r.a. bermimpi beliau dipatuk ayam sebanyak tiga kali (Riwayat Muslim) dan Saidina Hasan bin Ali bermimpi di antara matanya tertulis ayat pertama dari surah Al-Ikhlas (Riwayat Al-Hakim).
Dari senarai di atas tidak terdapat sebuah hadis yang menunjukkan bahawa mimpi itu membawa pensyariatan atau hukum.
Mimpi sebagai sumber hukum
Jumhur ulama berpendapat bahawa dalil terbahagi kepada dua bahagian, iaitu yang disepakati seperti Al-Quran, hadis, qiyas dan ijmak, dan yang diperselisihkannya. Sumber hukum yang diperselisihkan terlalu banyak sehingga ada menghitungnya hampir lima puluh perkara. Namun hampir semua ulama tidak menyenaraikan mimpi di antaranya. Ini menunjukkan bahawa mimpi bukanlah sebahagian dari sumber hukum yang diakui ulama Usul.
Walaupun demikian, terdapat sebilangan kecil yang membahaskannya bersama perkara yang hampir dengannya, iaitu ilham, kerana mimpi dianggap sebagai cabang darinya.
Teradapat 4 pendapat berkenaan mimpi.
Mazhab pertama
Mimpi tidak boleh sama sekali dijadikan sumber hukum syarak walau seseorang itu mengakui beliau bermimpi Nabi Muhammad s.a.w menyuruhnya melakukan sesuatu kecuali jika ia bertepatan dengan dalil yang diakui.
Antara hujah mazhab ini, ialah:
1. Orang yang bermimpi tersebut bukan Tidak dapat diketahui periwayatan mimpinya itu terlepas dari kesilapan, kelupaan dan kesalahan dan juga tidak dapat diketahui kebenaran mimpi tersebut. Tambahan pula orang yang tidur tidak layak mempunyai kelayakan untuk tahammul, iaitu menerima sesebuah ilmu atau perkhabaran, kerana dia sedang tidur.
2. Allah telah mewafatkan NabiNya dalam keadaan syariat ini telah disempurnakan sehingga tidak perlu untuk Baginda menyampaikan apa-apa melalui mimpi seseorang.
3. Kebanyakkan mimpi itu memerlukan takwil, kerana mimpi yang zahir yang tidak perlu ditakwilkan terlalu sedikit sehingga ada yang membataskan jenis mimpi ini hanya untuk para anbiya’ kerana ia adalah darjat mimpi yang tertinggi. Manakala takwilan seseorang tidak dapat dipastikan kebenarannya secara mutlak. Seperti sabda Nabi kepada Saidina Abu Bakar ketika beliau mentakwilkan mimpi seorang lelaki, “Benar sebahagian takwilan kamu dan kamu tersilap pada sebahagian yang lain.” (Riwayat Al-Bukhari).
Bagi mazhab ini, mimpi hanya terbatas pada tujuan berita yang menggembirakan sahaja dan tidak lebih dari itu. Jika sesuatu permasalahan berlaku dan ia belum tersebut dalam Al-Quran atau hadis kemudian datang sebuah mimpi yang menerangkan kedudukan pekara itu, hendaklah para ulama berijtihad dan tidak menurut mimpi yang ada.
Kitab Al-Muwafaqat ada menyebutkan bahawa setiap perkara yang diberikan kepada umat ini berupa kurniaan, karamah, kasyaf, pertolongan dan selain dari itu mestilah mempunyai asal dari kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Jika tidak, perkara demikian tertolak. Termasuk di dalamnya mimpi yang baik. Jika ia bertepatan dengan syarak atau kaedah umum yang telah ditetapkan, ia boleh digunapakai. Jika sebaliknya atau tiada asal dari syarak, hendaklah ditinggalkan.
Contoh yang didatangkan ialah seperti seorang hakim bermimpi Nabi Muhammad s.a.w dan dalam mimpi tersebut dikatakan kepadanya, saksi dalam masalah yang sedang dihakiminya itu adalah fasik. Sedangkan bukti menunjukkan saksi tersebut adalah seorang yang adil. Hakim tidak boleh beramal dengan mimpinya. Ia adalah sebagai petunjuk kepada yang tersembunyi sahaja. Jika dapat dibuktikan saksi itu adalah seorang fasik, barulah hakim itu menjatuhkan hukum mengikut bukti yang didatangkan. Jika tidak dapat dibuktikan kefasikan saksi, hendaklah dijatuhkan hukuman mengikut bukti yang dibentangkan.
Perkara yang hampir dengan mimpi yang disebutkan Imam Al-Syathibi secara jelas ialah firasat. Jika ia bertepatan dengan syarak, harus beramal dengannya. Ini disebabkan Nabi s.a.w dan para sahabat pernah beramal dengan firasat seperti keengganan Nabi memberikan urusan amanah kepada Abu Zar dan suruhan Abu Bakar Al-Siddiq r.a. untuk membahagikan harta warisannya kepada warisnya dengan mengambil kira bayi dalam kandungan isterinya adalah bayi lelaki.
Mazhab kedua
Menurut Ustaz Abu Ishaq, satu hukum boleh disabitkan dengan sumber mimpi. Namun, beliau mengatakan mazhab pertama lebih tepat. Al-Syasi Al-Maliki dan Iyas bin Muawiyah berpendapat bahawa firasat itu adalah sumber hukum. Golongan Sufi juga berpendapat bahawa ilham itu menjadi hukum bagi yang mendapatkannya, jika dia tergolong dari kalangan mereka yang bersih hati dan batinnya.
Dinukilkan dari Imam Al-Razi, bahawa mereka mengambil kira petunjuk dari ilham, jika yang mendapatkannya adalah seorang yang bertakwa dan hatinya selalu menginginkan kebaikan dan mencari kecintaan Allah s.w.t. serta menjauhi larangannya dan ilham itu tidak bertentangan dengan syariat dan tiada dalil lebih kuat yang menjelaskan sebuah permasalahan. Ketika itu, beramal dengan ilham adalah lebih baik dari hadis dan qiyas yang lemah.
Mazhab ini berpegang dengan beberapa dalil, antaranya:
1. Bermimpikan Nabi s.a.w itu adalah benar kerana sabda beliau, “Barangsiapa yang melihatku dalam mimpinya maka dia telah melihatku dengan benar kerana syaitan tiada dapat menyerupai aku.” (Riwayat Al-Bukhari).
2. Jika bermimpikan Nabi s.a.w itu benar dan sama seperti melihat Nabi s.a.w dalam keadaan jaga, maka begitu juga apa-apa yang disuruh dan dilarang Nabi s.a.w dalam mimpi tersebut sama seperti suruhan dan larangan yang datang semasa hayat Baginda.
3. Nabi s.a.w telah menunjukkan contoh bahawa beramal dengan mimpi yang baik itu diperbolehkan, seperti kisah pensyariatan azan yang mana ia berasal dari mimpi Saidina Abdullah bin Zaid dan Saidina Umar Al Khattab. Hadis azan ini menunjukkan boleh beramal dengan mimpi seseorang yang tidak maksum selagi mana dia dikenali dengan kebaikan dan ketakwaan.
4. Terdapat hadis yang menyebu bahawa mimpi yang baik itu adalah salah satu bahagian dari empat puluh enam bahagian kenabian (Riwayat Al-Bukhari). Iaitu bagi para anbiya empat puluh tujuh jalan untuk mendapatkan ilmu dan hukum, kesemuanya telah diangkat kecuali satu dan ia adalah mimpi.
5. Sabda Nabi, “Takutlah kamu terhadap firast orang mukmin kerana dia berbicara dengan cahaya dari Allah.” (Riwayat Al-Termizi).
Penganut mazhab ini kemudiannya berselisih apakah hukum mimpi itu hanya untuk yang bermimpi sahaja atau ianya menjadi hukum yang umum kepada semua orang Islam.
Mazhab ketiga
Ibn Daqiq Al-Eid pula memerincikan pekara ini dengan berkata, jika mimpi tersebut tidak bercanggah dengan suruhan syarak dan hukum yang dibawa mimpi itu bersifat baru atau harus, maka pada ketika itu disukai untuk mengamalkan mimpinya.
Pendapat ini berhujjah dengan riwayat Saidina Huzaimah bin Tsabit bahawa beliau bermimpi mencium Nabi s.a.w. Ketika mimpi ini dikisahkan kepada Nabi s.a.w, Baginda lalu menyuruhnya mencium dahinya sebagaimana yang beliau lihat dalam mimpi. (Riwayat Ahmad).
Riwayat ini menunjukkan jika mimpi seseorang tiada membawa apa-apa pengertian sudah pasti Nabi s.a.w tidak melakukan sesuatu mengikut petunjuk mimpi.
Mazhab keempat
Jika mimpi yang sama dilihat oleh banyak orang yang sampai pada peringkat mutawatir, ketika itu ia dapat dijadikan hujah bagi pembuatan hukum.
Pendapat ini berdalil dengan sebuah hadis Nabi s.a.w yang mana beberapa sahabat bermimpi bahawa malam Al-Qadar itu berlaku pada sepuluh akhir Ramadhan, lalu Nabi bersabda, “Aku melihat mimpi kamu semua bersamaan bahawa ia (malam Al-Qadar) pada tujuh malam terakhir. Barangsiapa yang ingin mencarinya, carilah ia pada tujuh malam terakhir.” (Riwayat Al-Bukhari).
Pendapat yang rajih
Penulis berpendapat bahawa pendapat jumhur adalah lebih tepat, disebabkan beberapa pekara:
1. Tidak ada nas dari syarak yang menyebutkan bahawa mimpi itu adalah sumber hukum.
2. Pada kebiasaannya sesebuah mimpi perlu kepada takwil sebagaimana firman Allah taala, “Ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan kepadaku kerajaan dan mengajarku sebahagian takwil mimpi” (Yusuf:101). Takwil yang dibuat pula tidak diketahui ketepatannya.
3. Adapun kisah mimpi yang digunakan bagi menunjukkan boleh berhujah dengannya bagi pembuatan hukum, kebanyakannya merupakan perkhabaran seperti mimpi sahabat yang mencium dahi Nabi, mimpi berkenaan malam Al-Qadar dan lain-lain lagi. Pensyariatan azan pula tidak bersandarkan kepada mimpi sahaja. Ia disyariatkan kerana terdapat pengakuan dan persetujuaan Nabi s.a.w. Kerana itu, Nabi s.a.w bersabda, “Ia adalah mimpi yang benar.” Berkemungkinan pula telah turun kepada Nabi wahyu yang mengandungi suruhan azan dan mimpi itu datang sebagai berita kegembiraan.
4. Terdapat hadis sahih yang membataskan peranan mimpi hanya sebagai berita kegembiraan dan tidak lebih dari itu. Nabi s.a.w bersabda, “Tidak tinggal dari kenabian kecuali berita kegembiraan. Sahabat bertanya: “Apakah berita kegembiraan tersebut? Nabi bersabada, “Mimpi yang baik.” (Riwayat Al-Bukhari).
5. Perkhabaran yang diterima itu hendaklah datang dari seorang yang dhabit (terpelihara) sedangkan orang yang tidur tidak seperti itu.
6. Mimpi itu bersifat syak atau tidak dapat ditentukan maksud sebenar darinya sehingga ada petunjuk yang lebih kuat yang membenarkannya atau membenarkan maksud yang dikehendaki darinya. Petunjuk itu haruslah datang dari Allah yang berupa wahyu, yang mana ia telah terputus, atau persetujuan Nabi s.a.w, yang telah pun wafat. Mereka yang memerhatikan lafaz “saddaqa” pada kedua ayat di bawah akan memahami sifat mimpi yang dinyatakan penulis:
a) “Sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya kenyataan” (Yusuf: 100) b) “Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada RasulNya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya.” (Al-Fath: 27).
Kedua ayat di atas menunjukkan tiada kepastian dalam sesebuah mimpi sehingga Allah taala menjadikannya benar atau membenarkannya. Hal yang sama terjadi pada mimpi pensyariatan azan dan malam Al-Qadr, apabila Nabi s.a.w membenarkannya dan mempersetujuinya. Bersebab sifat ini mimpi tidak boleh memansuhkan atau mengkhususkan apa-apa yang telah sabit dalam nas syarak kerana ia bersifat syak, sedangkan yang telah tsabit bersifat yakin dan kaedah ada menyebutkan, iaitu bahawasanya “apa yang yakin tidak akan terbatal oleh apa yang syak.”
Sebab itu, Ibn Hazm berpendapat mereka yang mengamalkan mimpinya setelah terjaga sedangkan belum mendapat kesahihan mimpi tersebut atau takwil yang benar, adalah seorang yang fasik dan gila kerana mimpi seorang kafir berkemungkinan benar tetapi ia tidak termasuk dari bahagian kenabian.
Batasan beramal dengan mimpi
Mimpi tidak boleh menjadi sandaran dalam mengeluarkan hukum syarak tetapi ia boleh dijadikan panduan dalam memilih pendapat-pendapat atau ijtihad yang sedia ada.
Imam Nawawi menyebutkan bahawa Muhammad bin Mansur Al-Maruzi bermimpi bahawa Nabi s.a.w berisyarat kepadanya, supaya mengikuti mazhab Imam Al-Syafi’ii dan mimpi ini adalah antara sebab utama mengapa beliau menukar kepada mazhab Imam Al-Syafi`ii. Mimpi ini tidak mengharamkan mengikuti mazhab Maliki dan Hanafi atau wajib mengikuti mazhab Imam Al-Syafi`ii, tetapi berkemungkinan dalam mengikuti mazhab Imam Al-Syafi`ii terdapat maslahat dalam kehidupan Imam Al-Maruzi.
Seperti juga mimpi seorang lelaki yang melihat Nabi s.a.w dalam tidurnya, lalu Baginda menunjukkan kepadanya harta rikaz (harta tersembunyi) dan berkata bahawa tidak wajib ke atasnya zakat dalam harta tersebut. Mimpi ini tidak memansuhkan wajibnya zakat dalam harta rikaz tetapi berkemungkinan Nabi memberi isyarat kepadanya supaya mengikuti pendapat Imam Al-Syafi’ii yang mengatakan zakat rikaz hanya wajib apabila harta tersebut dari jenis emas dan perak.
Rumusannya setiap mimpi yang mempunyai unsur pensyariatan mestilah ditakwilkan agar ia bertepatan dengan syariat yang zahir dan diketahui umum. Jika seorang bermimpi Nabi s.a.w bersabda kepadanya, “Janganlah kamu bernikah”. Ia tidak menunjukkan nikah itu makruh atau haram, tetapi mungkin seseorang itu akan terkena fitnah dengan sebab bernikah.
Terkadang sesebuah mimpi itu hanya dikhususkan untuk segolongan tertentu sahaja kerana sesebuah makna yang tersembunyi. Seperti seorang ulama di Mesir yang bermimpi bahawa Nabi s.a.w melarangnya daripada meminum kopi dan seorang di Yaman yang bermimpi Nabi s.a.w menyuruhnya untuk minum kopi. Ini kerana kopi dapat membantu orang tersebut dalam berjaga malam untuk beribadat, manakala yang satu lagi akan terkena mudarat dengan berlebihan meminum kopi. Ia bukan satu hukum yang meliputi semua umat Islam.
Perlu juga diperbetulkan bahawa panduan dari solat Istikharah bukanlah melalui mimpi seperti yang difahami masyarakat umum tetapi melalui ketenangan hati dan kelapangan dada terhadap sesebuah urusan. Tanggapan ini perlu diubah kerana pada umumnya mimpi yang membawa perpecahan berlaku setelah mengerjakan Istikharah sedangkan hadis dan pendapat ulama tidak mensyaratkan demikian, sehingga Imam Ibn Haj sangat mengingkari mereka yang berpendapat seperti ini.
Walaupun demikian penulis tidak mengingkari pendapat sebahagian ulama yang mengatakan mimpi setelah solat Istikharah merupakan panduan terhadap diri orang tersebut hanya sahaja yang membawa kepada perpecahan perlu dihindari seperti jika dia bermimpi bahawa fulan yang menyihirnya atau seumpama itu kerana ia bertentangan dengan keinginan syarak agar penganutnya bersatu.
Sebaiknya seseorang itu mengembalikan mimpinya kepada syariat zahir yang dapat dilihat semua orang dan tidak mengikut perkara ghaib yang tidak dapat dilihat oleh semua manusia. Masyarakat juga haruslah menyelidiki ajaran individu atau kumpulan tertentu yang bergantung kepada mimpi semata-mata. Sejarah telah membuktikan beberapa peristiwa yang buruk berlaku dan beberapa individu terjebak dalam ajaran sesat bersebab mimpi. Contohnya kisah khalifah Al-Ma’mun bermimpi Aristotle dan bertanya kepadanya apakah itu kebaikan. Aristotle menjawab, “Kabaikan itu apa yang dianggap baik oleh akal, kemudian syariat, kemudian jumhur.” Bersebab mimpi ini, Khalifah menitahkan supaya diterjemahkan falsafah orang Greek dan dipelajarinya di negara Islam. Perkara ini telah membawa kerosakan dan penyelewengan sebahagian syariat.
Demikian juga ketika Juhaiman Al-Otabi bermimpi bahawa Muhammad bin Abdullah Al-Qahtani adalah Imam Mahdi yang dinanti, beliau bersama beberapa pengikutnya menyerang Masjid Al-Haram dan menakluknya sehingga berlaku pertumpahan darah dalam Masjid Al-Haram. Sama halnya juga pada hari ini sebahagian ajaran sesat, pembunuhan yang berleluasa dan kerosakkan yang menimpa ummat bermula dengan mimpi-mimpi yang diperdagangkan.
Sikap seorang Muslim terhadap khabar mimpi
Walaupun mimpi bukanlah satu sumber dalam menetapkan hukum syariat, ia tidak boleh diremehkan, diperkecilkan atau dipermainkan kerana ia masih mengandungi nilai dan makna tersendiri dalam Islam. Tambahan pula para anbiya’, sahabat dan ulama telah beramal dengan mimpi dan mengikuti petunjuk darinya dalam masalah yang tidak bersangkutan dengan hukum, seperti mengenai kemuliaan seseorang, khabar gembira, peringatan, nasihat, ancaman dan sebagainya dan ada diantara mimpi itu berasal dari Allah seperti yang tersebut dalam hadis.
Para ulama menghormati mimpi seseorang dan tidak menjadikannya sebagai bahan ejekan, cemuhan, memperbodohkan dan menghina sesama sendiri. Para fuqaha mengatakan permulaan Ramadhan dan akhirnya tidak ditetapkan melalui mimpi seseorang walaupun yang dilihat dalam mimpi tersebut adalah Nabi, walau demikian mereka menghormati mimpi tersebut seperti kata Al-Nawawi, “Tidak diamalkan apa yang didengari oleh orang yang bermimpi pada hal yang bersangkutan dengan hukum kerana tiada terpelihara orang yang bermimpi itu bukan kerana syak terhadap mimpi.”
Begitu juga halnya dengan Izzuddin bin Abdul Salam apabila ditanyakan kepada beliau tentang mimpi seorang lelaki bahawa Nabi s.a.w menunjukkannya kepada harta rikaz dan memberitahunya bahawa beliau tidak diwajibkan mengeluarkan zakat harta tersebut. Izzuddin juga diberitahu bahawa beberapa ulama memberitahu orang yang bermimpi itu untuk mengikut mimpinya. Imam Izzuddin pula memfatwakan bahawa lelaki tersebut wajib mengeluarkan zakat rikaz kerana dalil yang mewajibkan datang dari khabar Mutawatir, sedangkan mimpinya tergolong dalam khabar Ahad. Kaedah hukum menetapkan bahawa khabar Mutawatir didahulukan dari khabar Ahad. Namun, beliau tidak membid`ahkan para ulama yang memfatwakan supaya lelaki itu mengikuti mimpinya.
Jabatan Mufti boleh membantu masyarakat Islam dalam memberi penilaian kepada kisah-kisah mimpi yang dihidangkan kepada mereka daripada para pendakwah tempatan atau luar negara. Begitu juga mereka boleh dibantu dengan penjelasan yang menyeluruh tentang beramal dengan mimpi seseorang, jika mimpi itu bersangkutan dengan hukum syarak.
Penulis berpendapat jika usaha sebegini terus dipertingkatkan masyarakat Islam dapat lebih memahami peranan mimpi, menghindari ajaran yang menyeleweng yang mana pada kebiasaannya dimulakan dengan mimpi-mimpi yang bertentangan dengan syarak.
Imam Al-Thufi menyebutkan bahawa menerima ilham dan yang bersamaan dengannya seperti mimpi, secara mutlak adalah satu kesilapan dan begitu juga menolaknya secara keseluruhan, adalah satu kesalahan.
Bibliografi
Al-Quran dan terjemahannya. T:t. Madinah: Kompleks pecetakkan Al-Quran Al-Karim.
Abu Hayyan, Muhammad bin Yusuf. 2010. Bahrul Muhitd. Beirut: Dar Ihya’ Al-Turath Al-`Arabi.