Kertas kerja ini akan mengupas ekonomi dari sudut perspektif Islam dan perbezaannya dengan takrifan ekonomi dari sudut pandangan sarjana Barat dan bagaimana Islam cuba menangani masalah ini.
Tulisan ini juga akan cuba menyentuh mengenai tuntutan ekonomi dalam pandangan Islam sebelum mengakhiri perbahasan dengan mengongsi sumbangan sarjana Islam terutamanya ulama silam dalam wacana ekonomi dan peranan ulama masakini dalam mengukuhkan ekonomi umat Islam menerusi pengalaman Singapura.
Konsep ekonomi dalam pandangan Islam
Bagi memahami ekonomi dalam pandangan Islam, terlebih dahulu perlu dibincangkan definisi ekonomi yang dikemukakan oleh sarjana Barat dan perbandingannya dengan definisi ekonomi di sisi sarjana Islam.
Menurut Lord Robbins, dalam bukunya An Essay on the Nature and Significance of Economic Science, di mana beliau telah mengupas perbahasan ekonomi menurut pandangan para sarjana pada masa itu, sebelum memberikan definisi mengenai ekonomi berdasarkan kacamatanya, iaitu satu bidang ilmu sosial yang menerangkan gelagat manusia dalam membuat keputusan penggunaan daripada sumber-sumber yang terhad, untuk mencapai tahap kepuasan yang maksimum.[i]
Berbeza dengan definisi ekonomi pihak Barat atau sekular, definisi ekonomi sarjana Islam seperti M.A. Mannan mengambil kira dasar-dasar Islam seperti keadilan dan lain-lain. Menurutnya, ekonomi Islam merupakan ilmu yang mengkaji permasalahan ekonomi yang berteraskan nilai-nilai keislaman.[ii]
Dengan ini, dapat dirumuskan bahawa ekonomi menurut sarjana Islam adalah satu ilmu dalam membuat pilihan bagi menangani tiga perkara, 1) sumber yang terbatas, 2) keputusan pilihan untuk kepentingan sendiri, dan 3) kemahuan yang tidak terbatas.
Menurut M.A Mannan perkara ini boleh dihuraikan melalui penerapan nilai-nilai Islam yang boleh disimpulkan melalui rajah di bawah:[iii]
Masalah
Huraian
Sumber yang terbatas
Nikmat Allah luas
Segala sumber adalah anugerah dan ciptaan Allah
Kemahuan yang tidak terbatas
Allah iktiraf naluri manusia
Pilihan
Untuk memenuhi keperluan, bukan untuk memenuhi ketamakan
Untuk persaudaraan dan perkongsian. bukan diri sendiri sahaja
Fahaman ini menolak definisi Barat yang dibina atas andaian keterbatasan sumber dan keperluan mengutamakan kemahuan diri dan pilihan sendiri terlebih dahulu kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam yang menolak sikap tamak dan pentingkan diri sendiri semata-mata dan anjuran semangat persaudaraan dan perkongsian termasuk dalam mencari kekayaan.
Namun, sikap Islam dalam mengatur etika dan hal ehwal ekonomi seharian amat mengambil kira naluri manusia yang sangat cintakan harta dan kebendaan sebagaimana dalam firman Allah taala,
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia; kesukaan kepada perkara-perkara yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia…” (Ali Imran: 14)
Dengan kata lain, sikap Islam terhadap hal ekonomi bertitik tolak dari pandangannya terhadap naluri manusia sebab ia adalah agama fitrah.[iv] Oleh itu, dalam hal-hal yang berkaitan muamalah atau ekonomi, Allah tidak melarang sepenuhnya manusia untuk membelanjakan sesuatu, asal sahaja berpada-pada serta tidak boros, membazir atau bakhil sebagaimana dalam firmanNya,
“Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebihan dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.” (Al-Furqan: 67)
Tuntutan ekonomi menurut Islam
Dalam Al-Quran, perbincangan mengenai ekonomi dapat dilihat dari sudut bagaimana Islam mendidik manusia dalam menguruskan ekonomi atau lebih lebih tepat mengurus harta atau wang.
Perkataan Mal atau harta itu sendiri diulang di dalam Al-Quran (dalam bentuk tunggal) sebanyak 25 kali, manakal Amwal yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai harta-harta dalam bentuk kata ganda diulang sebanyak 61 kali.
Menurut M. Quraish Shihab, harta dalam pandangan Al-Quran merupakan modal serta salah satu faktor pengeluaran yang penting dalam kehidupan, tetapi bukanlah yang paling terpenting.[v]
Beliau kemudiannya berkongsi beberapa ayat-ayat Al-Quran bersangkutan dengan perkara ekonomi. Antaranya firman Allah taala,
“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah.” (Al-Jumu`ah: 10)
Menurut beliau, ayat ini memerintah manusia mencari rezeki bukan sekadar mencukupi keperluan manusia semata-mata, tetapi untuk mencari apa yang diistilahkan sebagai fadhlul-Llah; iaitu kelebihan yang bersumber dari Allah taala. Diistilahkan sebagai kelebihan Allah agar yang memperolehinya dapat melakukan ibadah secara sempurna serta menghulurkan bantuan kepada pihak yang berhajat sebagai saham untuk kita beribadah dan bersedekah.[vi]
Ingatan Allah juga jelas dalam firmanNya,
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia, dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu, dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas: 77)
Melalui ayat ini pula, umat Islam digesa bersikap seimbang dalam membelanjakan harta, iaitu di samping mencari kebahagiaan di Akhirat, usah dilupa tanggungjawab di dunia seperti memberi nafkah bagi keluarga serta tidak melakukan kerosakan dengan harta yang diperolehi.
Pada masa yang sama, Islam bukan sahaja menganjurkan ekonomi dengan baik, tetapi juga diseru untuk mengembangkan harta kita sebagaimana dalam firman Allah taala,
“Jangan kamu berikan harta kamu kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu. Dan berilah mereka belanja dan pakaian daripada hartanya, dan berkatalan kepada mereka dengan perkataan yang baik.” (Al-Nisa’: 5)
Dengan ini, manusia berkewajipan untuk menguruskan ekonomi dengan baik agar ia terus produktif, di samping pemilik harta diperintahkan untuk mengembangkan hartanya dan membiayai keperluannya.[vii]
Sumbangan dan peranan ulama dalam pengukuhan ekonomi umat Islam
Ulama sebagai pewaris Nabi, bukan sahaja perlu meneruskan seruan Nabi dalam membimbing masyarakat dalam hal tingkah laku dan keperibadian, tetapi juga dalam hal pengukuhan ekonomi umat Islam.
Baginda s.a.w. digambarkan sebagai seorang pemimpin yang perlu dijadikan contoh kepimpinannya dalam pelbagai aspek.
Allah taala berfirman, “Dan sederhanakanlah (waqsid) kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keledai.” (Luqman: 19)
Dinyatakan bahawa ayat ini menggambarkan prinsip peranan kepimpinan yang baik oleh Nabi s.a.w. Kepimpinan ini bukan sekadar dari sudut keperibadian diri, tetapi juga dalam hal keagamaan dan hal-hal berkaitan masyarakat termasuk perkara ekonomi.
Waqsid dalam ayat ini merupakan rumpun kata yang sama dengan iqtisad serta sinonim dengan wasatiyah. Maksudnya di sini bukan sekadar seimbang, tapi aspirasi menjadi yang terbaik. Yakni keperibadian yang terbaik dari segenap sudut meliputi akhlak mahupun muamalah seharian yang merangkumi perkara ekonomi.[viii]
Dengan itu ulama sebagai pewaris para Nabi perlu mengambil peranan yang lebih proaktif dalam perkara ekonomi juga, iaitu sekurangnya-peranan dalam kepimpinan keagamaan seperti menyediakan garis pandu berlandaskan syariah dan dalam memberi nasihat sesuai dengan anjuran amr ma’ruf dan nahy munkar.
Hakikatnya, perbahasan atau wacana ekonomi bukan perkara baru dalam Islam. Ulama Islam silam sudah lama membincangkan tentang muamalat yang termasuknya perkara ekonomi. Perbincangan tentang cukai, monopoli, permintaan dan bekalan serta konsep keadilan dalam ekonomi antaranya telah menjadi dasar bagi konsep ekonomi moden pada masa ini.[ix]
Antara contoh para ulama silam yang pernah mengutarakan ijtihad dan pandangan mereka dalam bidang ekonomi yang disebutkan ini ialah:
1. Abu Hanifah (80 – 150 H)
– Mewajibkan zakat pada perhiasan emas dan perak.
– Tidak mewajibkan pembayaran zakat jika hutangnya melebihi harta yang dimiliki.
2. Abu Yusuf (113 – 182 H)
– Larangan penguasa menentukan harga sesuatu barang.
– Keadilan hanya terjadi jika barang ditentukan oleh permintaan dan penawaran pasaran sahaja.
3. Al-Ghazali (451 – 505 H)
– Kepentingan fungsi wang kurang keberkesanan pada sistem barter.
– Wang tidak boleh menjadi bahan pertukaran dengan wang, kecuali membelanjakan dengan barang.
4. Ibnu Khaldun (732 – 845 H)
– Fenomena harga berdasarkan dua perkara; keperluan dasar dan populasi.
– Bekalan yang melebihi keperluan menatijahkan harga murah.
Jelas, dasar ijtihad para ulama Islam membentuk kerangka ekonomi dengan meletakkan dasar-dasar yang merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah yang berasaskan kepada kesejahteraan dan keadilan sosial sejagat supaya segala urus niaga berdasarkan syariah sesuai dengan panduan yang digariskan agama.[x]
Peranan ulama dalam pengukuhan ekonomi umat Islam: Pengalaman Singapura
Pada bahagian segmen ini, akan dikongsi peranan ulama atau organisasi ulama seperti Pergas[xi] dan juga Muis[xii] dalam hal-hal ekonomi masyarakat Islam di Singapura yang meliputi perkara; memberikan panduan keagamaan dan juga dalam membangunkan keupayaan dan kepakaran asatizah, yang secara tidak langsung menyediakan sumber pekerjaan selain berdakwah dan membimbing masyarakat Islam.
Peranan dan inisiatif tersebut adalah seperti berikut:
1. Panduan agama buat masyarakat Islam
Sebagai organisasi yang mewakili ulama dan guru-guru agama, Pergas mempunyai tanggungjawab dalam memberikan kepimpinan agama kepada masyarakat Islam Singapura. Panduan ini bukan sahaja terhad buat umat Islam Singapura, tetapi juga sebagai menyuarakan keprihatinan Pergas kepada pemerintah Singapura dalam hal-hal yang bersangkutan dengan masyarakat Islam di Singapura.
Irsyad Pergas bagi resort bersepadu
Irsyad ini dikeluarkan pada tahun 2004 apabila pemerintah Singapura berura-ura ingin membina resort bersepadu di Marina Bay dan Sentosa yang meliputi operasi kasino bagi memajukan ekonomi negara.
Pergas menyatakan ketidaksetujuannya yang disampaikan secara tertutup kepada pemerintah, manakala irsyad atau panduan agama diberikan kepada masyarakat Islam yang ingin mengetahui hukum bekerja di IR sama ada di kasino ataupun yang bukan kasino.[xiii]
Irsyad Pergas bagi perjudian dalam talian
Irsyad ini dikeluarkan bagi menyuarakan keprihatinan Pergas mengenai rancangan pemerintah bagi memperkenalkan perjudian dalam talian bagi tujuan membasmi perjudian haram dalam talian yang berleluasa di kalangan sesetengah penduduk Singapura.[xiv]
2. Pembangunan keupayaan asatizah muda
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada perancangan pelan strategik empat tahun Pergas (2017-2020) bagi melahirkan sekurang-kurangnya lima asatizah muda yang dapat bergiat aktif di lapangan kerja setempat.[xv]
Bagi merealisasikan pelan ini, satu jaluran laluan program kepimpinan asatizah muda telah dilancarkan bagi pelajar madrasah bermula dari menengah empat sehinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi agama yang meliputi perkara-perkara berikut:
Bengkel pengisian ilmu
Bengkel kepimpinan
Bengkel persediaan kerja
Skim internship bagi graduan institusi pengajian tinggi agama.
3. Pembangunan asatizah pakar
Seperti program pembangunan asatizah muda, pembangunan asatizah pakar juga merupakan inisiatif perancangan pelan strategik empat tahun Pergas (2017-2020) bagi melahirkan sekurang-kurangnya lima asatizah yang pakar dalam bidang-bidang Pengajian Islam dan kaunseling dan pendamping (befriender) dakwah.
Bagi merealisasikan kededua pelan ini, terdapat dua jaluran laluan bagi asatizah pakar telah disediakan; iaitu jaluran laluan program asatizah profesional (asatizah pakar bagi Pengajian Islam) dan laluan program kaunseling bagi asatizah (asatizah pakar bagi pendamping).
Kededua jalur laluan program asatizah muda dan asatizah pakar ini juga bagi membangun keupayaan dan kepakaran asatizah dan secara tidak langsung menyediakan sumber pekerjaan selain berdakwah dan membimbing masyarakat Islam.
4. Pergas Investment Holdings (PIH)
Selain itu, Pergas turut memiliki syarikat Pergas Investment Holdings bagi membantu melakukan urusniaga dengan tujuan asal adalah bagi membantu menjalankan aktiviti dan projek yang akan menjana pendapatan bagi Pergas yang secara tidak langsung dapat membuka peluang pekerjaan kepada graduan lulusan pengajian agama.
PIH pada awalnya ditubuhkan pada tahun 2003 bagi menguruskan aset hartanah Pergas, kini berkembang urusniaganya kepada bidang-bidang berikut:
Pelaburan syarikat
Pelaburan aset hartanah
Perancangan estet
Konsultasi halal & syarikat korporat
Ibadah akikah dan korban
5. Pembangunan harta wakaf oleh Muis
Melalui peruntukan Akta Pentadbiran Undang-undang Muslim (AMLA), pemerintah Singapura mengiktiraf wakaf samada dalam bentuk hartanah atau wang tunai bagi kebajikan umum umat Islam.
Pada tahun laporan tahun 2017, dilaporkan terdapat sejumlah 156 aset hartanah wakaf masyarakat Islam yang ditaksirkan bernilai $769 juta. Sebahagian besarnya diuruskan oleh Muis dan sebahagian lagi oleh mutawalli atau pengamanah pewakaf. Sekitar 40% daripada harta wakaf yang berdaftar ini pula dibangunkan berdasarkan konsep wakaf tunai.[xvi]
Kedudukan wakaf tunai ini dilihat daripada segi perolehan hasil yang berlaku daripada pelaburan wang sama ada dalam bentuk deposit bank atau dividen.
Di Singapura, beberapa hartanah wakaf terpaksa bertukar ke bentuk wakaf tunai apabila hartanah tersebut diambil-alih oleh pemerintah dan kemudian diberi pampasan dalam bentuk tunai.
Wakaf tunai juga wujud dalam bentuk pelaburan hartanah, apabila hasil daripada sewaan ke atas aset harta wakaf menjadi perolehan tunai bagi menjana usaha wakaf yang lain seperti pengurusan masjid, kos pengebumian orang miskin, kebajikan anak yatim dan pembangunan sekolah-sekolah Islam.
Konsep wakaf tunai ini merupakan satu konsep baru yang tidak wujud pada masa lalu. Namun rata-rata negara di Nusantara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura telah mengeluarkan fatwa yang membolehkannya berdasarkan pendapat mazhab Shafi’i yang mengharuskan menunaikan wakaf tunai sekiranya ia bersifat kekal.[xvii]
Contoh pelaksanaan wakaf tunai di Singapura ini dapat difahami dengan lebih jelas melalui penerangan Dr. Daud Bakar, pakar perbankan dan ekonomi Islam. Beliau menjelaskan:
“Dan kita fokus kepada 2 projek di Orchard Road dan Bencoleen Road. Kalau kita pergi hari ini di tengah-tengah pusat membeli belah di Singapura ada masjid dan sekolah agama yang tersergam indah. Tetapi kita jadikan instrumen kewangan, iaitu dalam tanah itu dengan modal jualan tanah tersebut dalam 9 juta dollar Singapura dan kita perlukan $27 juta lagi untuk dibangunkan service apartment di bahagian belakang. Lengkap sebagai kompleks dan pihak Majlis Agama Islam Singapura menubuhkan anak syarikat Warees sebagai penganalisa kewangan membuat due diligence dalam hal undang-undang, percukaian dan pelabur dan keluarlah sukuk musyarakah yang berjumlah $27 juta dollar untuk bangunkan service apartment dan masjid. Selama 10 tahun bayar sukuk dan dah habis sukuk, aset tersebut akan menjadi milik wakaf sepenuhnya. Malah pulangan kepada harta wakaf tersebut lebih banyak daripada harta wakaf yang tidak dibangunkan. Hasil wakaf juga boleh diberikan biasiswa dan apa-apa yang diniatkan oleh pewakaf yang dikumpulkan atas dua keping tanah tersebut.”[xviii]
Contoh-Contoh Hartanah Wakaf Yang Dibangunkan Semula
Kesimpulan
Islam mempunyai kerangka ekonomi Islamnya yang tersendiri serta berbeza daripada konsep ekonomi yang diperkenalkan oleh para sarjana Barat. Ekonomi Islam adalah berteraskan nilai-nilai keislaman seperti keadilan dan memastikan ianya diselenggarakan berlandaskan syarak.
Melalui artikel ini juga dapat difahamkan bahawa sumbangan dan peranan ulama dalam ekonomi Islam bukanlah sesuatu perkara yang baru. Ia sudah dibahaskan oleh para ulama silam. Bahkan konsep yang diperkenalkan mereka ada antaranya menjadi teras kepada sistem ekonomi moden hari ini.
Islam tidak melarang umatnya dalam mengembangkan hartanya dan ekonomi mereka, asal sahaja ia dilakukan dengan penuh hemah dan tanggungjawab tanpa melupakan haknya kepada agama dan juga diri sendiri serta keluarga.
Pada masa yang sama, ulama juga berperanan dalam membangunkan keupayaan pelajar dan graduan agama agar dapat menyumbang kepada masyarakat selain menjadi sumber pendapatan sendiri dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.
Nota: Artikel ini disunting dari kertas kerja yang dibentangkan di persidangan Muzakarah Ulama Nusantara Mazhab Syafi’i bertemakan ”Ulama Peneraju Ummah” anjuran Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi`i, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), pada 13 April 2019.
Rujukan
[i] Lionel Robbins (2007), An Essay on the Nature and Significance of Economic Science, Alabama: The Mises Institute Auburn, ms. 15.
[ii] M.A. Mannan (1970), Islamic Economics: Theory and Practice, Lahore: First Impression, p. 3.
[iii] M.A. Mannan (1980), Scarcity and Opportunity Cost: Their Dimensions in Islamic Economics, Jeddah: King Abdulaziz University Press, ms. 29.
[viii] Mohammad Hashim Kamali (2010), The Middle Path of Moderation in Islam: The Qur’anic Principle of Wasatiyyah, Kuala Lumpur: International Institute of Advance Islamic Studies Malaysia, ms. 9.
[ix] Ahmad Maulidizen (2017), “Pemikiran Dan Kontribusi Tokoh Ekonomi Islam Klasik dan Kontemporer”, Deliberatif Jurnal Ilmian Hukum, jld. 1, no 1, ms. 44-8.
[xi] Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam (Singapura) atau Pergas ditubuhkan pada tahun 1957 dengan tujuan asalnnya adalah untuk menyediakan wadah bagi kebajikan guru agama pada masa itu. Objektifnya ini kemudiannya dikembangkan untuk membangunkan kapasiti asatizah, memberikan kepimpinan agama dan menyediakan pendidikan Islam kepada kepada masyarakat Islam. Untuk maklumat lebih lanjut, sila lungsuri https://www.pergas.org.sg/about-us.html (15 April 2019).
[xii] Majlis Ugama Islam Singapura merupakan badan berkanun yang ditubuhkan pada tahun 1968 di bawah Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) melalui Akta Pentadbiran orang-orang Islam (AMLA) dan bertanggungjawab bagi kemaslahatan masyarakat Islam Singapura dari penyediaan fatwa, pembangunan dan pengurusan masjid serta madrasah sepenuh masa, pengawasan zakat dan wakaf, pengurusan haji, pengeluaran sijil halal dan lain-lain. Untuk maklumat lebih lanjut, sila lungsuri https://www.muis.gov.sg/About-MUIS/ (15 April 2019).
[xiii] Muhammad Haniff Hassan dan Mustazah Bahari (2017), Operasi Kasino Di Singapura dan Implikasinya Terhadap Hukum Pekerjaan dan Muamalah di Singapura – Analisa Fiqh dan Pendekatan Wasatiyah, Singapura: Pustaka Nasional.
[xv] Merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Empat Tahun Pergas (2017-2020) dengan visi kepimpinan ulama dan asatizah yang berwibawa serta misinya untuk membentuk generasi asatizah pakar yang dapat membimbing masyarakat.
[xvii] Sila lihat perbahasan ini dengan lebih lanjut dalam tulisan Fathullah Al-Haq Muhammad Asni (2017), “Wakaf Tunai dan Aplikasinya dalam Undang Negara-Negara Asean”, Journal Shariah, jld. 25, no 2 (2017), ms. 227.