wasat

Tokoh Wasatiyah Tempatan – Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri & Pandangannya Tentang Pendidikan Madrasah Di Singapura (Bahagian 1)
01 December 2021 12:01 am // Written by Siti Rafidhah Mahmood Angullia Mohamed Qusairy Bin Taha
Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri merupakan seorang ulama yang masyhur di Singapura. Dikenali sebagai “pelopor pembangunan sistem pendidikan agama”[i] di sini, beliau sendiri merupakan ulama hasil pendidikan Madrasah Al-Junied Al Islamiah.
Sumbangan beliau terhadap penyebaran agama Islam di Singapura tidak terhitung. Namun, tulisan ini akan memberi fokus kepada sumbangan serta perspektif Ustaz Syed Abdillah tentang kepentingan pendidikan madrasah di Singapura. Ini akan dikaji dengan meneliti reaksinya selaku presiden Pergas ketika berhadapan dengan isu Pendidikan Wajib atau Compulsory Education yang mula dibincangkan oleh pemerintah Singapura semenjak tahun 1993 lagi. Isu ini dipilih kerana ia mencerminkan ketegasan serta sifat kepimpinan Ustaz Abdillah dalam memastikan sistem madrasah kekal relevan di Singapura.
Sebelum menganalisa isu ini, latar belakang Ustaz Syed Abdillah akan ditinjau melalui pelbagai sumber termasuk wawancara serta forum yang disertainya pada waktu itu. Pandangan anak murid Ustaz Syed Abdillah juga akan diambil kira untuk mendapatkan gambaran yang lebih komprehensif tentang perspektif Ustaz Syed Abdillah ketika menghadapi isu ini. Sejarah pendidikan madrasah di Singapura juga akan dikaji untuk lebih memahami konteks serta pandangan masyarakat terhadap pelajar madrasah pada waktu itu.
Pengenalan kepada Ustaz Syed Abdillah Ahmad Al-Jufri
Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri merupakan seorang tokoh Islam yang amat dihormati. Dilahirkan pada tanggal 2 Mac 1938, beliau merupakan anak bongsu dari tiga beradik dan bapanya berasal dari Hadramaut. Selepas kelahirannya, neneknya dipesan oleh Kadi Haji Abbas Taha (Ketua Kadi Kedua Singapura) untuk menjaganya dengan baik kerana beliau akan menjadi seorang alim ketika dewasa.[ii] Mengikut pesanan itu, nenek serta ibu Ustaz Abdillah tidak lekang mengingatkannya supaya sentiasa belajar bersungguh-sungguh.
Pendidikannya bermula di Madrasah Khairiyah bersama rakan serta jirannya Shaikh Syed Isa Semait (mantan Mufti Singapura). Beliau kemudian meneruskan pendidikannya di Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan merupakan di antara pelajar cemerlang yang diberi peluang untuk ke kelas khas setelah empat tahun di kelas menengah. Namun, beliau tidak berpeluang melanjutkan pelajarannya ke luar negara akibat kesempitan wang.
Ini tidak menjadi alasan baginya untuk tidak menimba ilmu. Malahan, beliau terus mendapatkan pengajian melalui kelas tadarus. Antara guru-gurunya termasuk Ustaz Syed Abdullah Balfaqih, Mufti Johor Habib Alwi bin Tahir Al-Haddad, Ustaz Syed Abu Bakar bin Taha Al-Sagoff, Haji Ali bin Ahmad Said (Ketua Kadi Ketiga Singapura serta Imam Besar Masjid Sultan), Ustaz Ahmad Sonhadji dan ramai lagi.[iii] Beliau dikenali sebagai seorang murid yang selalu menghormati guru-gurunya dan beramal dengan ilmu yang dipelajarinya seberapa yang boleh.
Ustaz Syed Abdillah merupakan seorang yang sangat aktif dan banyak berbakti kepada masyarakat Islam di Singapura dalam pelbagai bidang. Beliau turut terlibat dalam pengelolaan program radio ‘Tafsir Al-Quran’ setelah gurunya Ustaz Ahmad Sonhadji bertugas di Brunei dan menyuruhnya mengambil tempat beliau.[iv] Kronologi kehidupan Ustaz Syed Abdillah disingkap secara ringkas di dalam Jadual 1. Jadual ini bermula semenjak beliau dilahirkan sehingga tarikh kematiannya pada tahun 2003.
Jadual 1 – Kronologi Sejarah Kehidupan Ustaz Syed Abdillah Al Jufri
Tahun | Fakta |
1938 | Dilahirkan di Singapura |
1947 | Mendapat pendidikan awal dari Madrasah Khairiyah |
1950 | Melanjutkan pelajaran di Madrasah Al-Junied Al-Islamiah |
1958 | Mengajar kelas agama di sekolah pemerintah di Sekolah Sang Nila Utama and Sekolah Tun Sri Lanang[v] |
1970-an | Mengajar kelas tafsir di Madrasah Asriyah |
Menjadi ahli Jawatankuasa Fatwa MUIS | |
1972 – 1989 | Menganggotai ahli Lembaga Rayuan MUIS |
1980-an | Menulis buku teks agama untuk matapelajaran IRK (Pengetahuan Agama Islam) oleh Kementerian Pelajaran (MOE) untuk pelajar-pelajar sekolah menengah di Singapura |
1989 | Dilantik sebagai Penolong Pengarah, Unit Pendidikan Agama di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) |
1999 | Dilantik sebagai Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam (Pergas) |
2000 | Menjadi Mudir Madrasah Aljunied Al-Islamiah |
2003 | Meninggal dunia pada 4 Januari 2003 |
Karya Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri
Beliau juga sangat aktif dalam penulisan buku agama bermula pada tahun 1966 dan menghasilkan lebih dari 73 tulisan yang diterbitkan.[vi] Buku-buku yang ditulisnya merangkumi pelbagai subjek termasuk Fiqh kontemporari, Sejarah Nabi Muhammad S.A.W dan Ahli Bait, dan Tafsir Al-Quran. Antara buku-bukunya yang masih digunakan dalam kelas-kelas agama di Singapura sehingga ke hari ini termasuk:
• Anda Bertanya Saya Menjawab (Kemusykilan Agama) (2001). Singapura: Pustaka Nasional, 353 halaman.
Kumpulan jawapan kepada kemusykilan agama para pembaca akhbar “Berita Minggu”. Soalan-soalan dan jawapannya diolah kembali untuk memenuhi permintaan pembaca sebagai bahan rujukan.
• Pelita Al-Quran: Surah al-Baqarah (2002). Singapura: Pustaka Nasional. Cetakan Kedua, 2007. 433 halaman.
Huraian Surah al-Fatihah (pembukaan) kerana ia merupakan surah yang pertama dalam susunan al- Quran. Tafsirannya berakhir hingga ke ayat 286.
• Pelita Al-Quran Juz 30 (2011). Singapura: Pustaka Nasional, 380 halaman. Cetakan keempat.
Tafsir Al-Quran dari Juz Amma dikumpulkan dari hasil kuliah yang disampaikan oleh penulisnya di kelas-kelas ilmu tafsir buat pelajaran orang-orang dewasa lelaki dan wanita. Kandungannya telah diolah semula dengan berbagai-bagi tambahan fakta-fakta baru untuk melengkapkannya sebagai sebuah buku bacaan umum buat sekalian masyarakat supaya dapat diraih manfaatnya dan diamalkan ajarannya.
Yang ketara dari penglibatannya adalah beliau merupakan seorang yang sangat dipercayai untuk menjalankan tugas yang penting sama ada oleh guru-gurunya ataupun pemerintah Singapura kerana beliau dikenali sebagai seorang yang amanah yang akan memastikan segala tugasan dijalankan dengan baik. Beliau tegas dengan pendiriannya tetapi terbuka untuk mencapai persetujuan untuk memastikan kemaslahatan umat Islam di Singapura terpelihara.
Menurut Encik Najib Khan Surattee, salah seorang pelajar Ustaz Syed Abdillah, beliau dikenali sebagai seorang guru yang sangat menjaga keterampilan beliau serta sangat menghormati masa anak muridnya. Beliau akan selalu memulakan pengajarannya tepat pada waktunya. Beliau juga akan cuba sedaya upaya untuk menjawab sebarang persoalan yang ditanya oleh anak muridnya supaya mereka tidak dibelenggu oleh permasalahan mereka.
Jawapan yang diberikan Ustaz Abdillah selalunya padat tetapi isinya penuh dengan hikmah. Di atas sebab ini juga, beliau sering dikerumuni oleh orang awam yang ingin mendapatkan penerangan tentang urusan agama di mana pun beliau berada. Keikhlasannya dalam menjawab soalan-soalan mereka terus dikenang dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri para pelajarnya sehingga ke hari ini.
Namun begitu, penglibatan Ustaz Abdillah di dalam arena dakwah tidak sunyi dari pelbagai liku dan rintangan disebabkan oleh kepimpinan negara Singapura yang sekular. Justeru itu, hal ehwal agama turut dipantau oleh pihak pemerintah bagi memastikan keharmonian negara tetap terjamin dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan bangsa[vii] termasuklah sistem pendidikan madrasah di Singapura. Terutama, apabila timbul persoalan sama ada pelajar lulusan madrasah boleh mendapat pekerjaan yang baik dalam keadaan ekonomi berlandaskan ilmu atau Knowledge Based Economy (KBE) di Singapura.[viii]
Isu ini terus menjadi keperihatinan masyarakat dan akhirnya, pada tahun 1999, kerajaan mula membahaskan keperluan menggubal akta Pendidikan Wajib atau Compulsory Education untuk memastikan pelajar lulusan madrasah boleh berintegrasi dengan ekonomi baru. Justeru itu, isu ini dipilih kerana ianya akan sekaligus mengangkat kembali perspektif Ustaz Abdillah tentang kepentingan pendidikan madrasah di Singapura dengan menganalisa konteks serta reaksinya dalam menangani masalah ini yang dihadapinya ketika beliau menjawat jawatan Presiden Pergas.
Keperihatinannya terhadap isu ini turut mendorongnya mengambil tempat sebagai Mudir Madrasah Al-Junied untuk meningkatkan lagi kewibawaannya di mata masyarakat. Kertas ini juga akan merungkaikan sistem pendidikan madrasah serta tanggapan masyarakat pada waktu itu untuk lebih memahami perspektif beliau ketika isu ini dibentangkan.
Sejarah pendidikan madrasah di Singapura
Sejarah pendidikan madrasah di Singapura dapat dijejak semenjak tahun 1905 lagi. Madrasah As-Sibyan merupakan madrasah yang pertama di Singapura. Ia didirikan di Bussorah Street oleh sekumpulan guru agama yang berasal dari Indonesia.[ix] Tujuan utamanya ialah untuk penghafalan Al-Quran.
Kebanyakkan madrasah pada masa ini memberi fokus kepada pengajaran fardu ain atau ibadah praktikal yang harus dijalankan oleh Muslim. Sistem ini disifatkan sebagai sistem pendidikan satu hala dari guru ke murid,[x] di mana murid menerima sahaja ilmu yang diberikan.
Tidak hairan, jika ada ketidakpastian sama ada sistem pendidikan madrasah boleh menjamin masa hadapan yang baik untuk pelajarnya sudah bermula semenjak tahun 1908 lagi.[xi] Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi, seorang wartawan terkenal yang dipengaruhi pemikiran reformis Muhammad Abduh dan Rashid Rida merasakan sistem pendidikan madrasah di Singapura tidak memberi pelajarnya peluang untuk berbincang atau bertanya soalan untuk lebih memahami kandungan pelajaran mereka. Beliau akhirnya memperkenalkan sistem baru yang menggalakkan perbahasan tentang ilmu agama dengan menubuhkan Madrasah Al-Iqbal, yang merupakan madrasah pertama di Singapura yang turut mengajar matapelajaran-matapelajaran bukan agama seperti Bahasa Inggeris, Sejarah, dan Matematik.
Namun, sistem pendidikan di Madrasah Al-Iqbal ini dilihat membawa agenda perubahan (reformis) yang tidak sesuai dengan pengajaran agama yang sebenar. Disebabkan ini dan sebab-sebab yang lain, Madrasah Al-Iqbal ditutup 18 bulan setelah ditubuhkan pada tahun 1909 kerana tidak mendapat sambutan yang baik dari masyarakat setempat. Sistem ini dilihat sebagai terlalu berbeza dengan sistem pendidikan madrasah yang tradisional yang lebih disenangi penduduk pada masa itu.
Pemikiran “reformis” ini tidak lesap begitu sahaja. Madrasah Al-Maarif ditubuhkan pada tahun 1936 oleh Kiayi Muhammad Fadhlullah Suhaimi yang memperkenalkan sebuah sistem pendidikan yang moden dan tradisional pada masa yang sama. Ia juga merupakan madrasah pertama yang menerima pelajar perempuan dan menyiapkan pelajarnya untuk peperiksaan nasional peringkat GCE O dan A.[xii] Sistem pendidikan ini mendapat sambutan yang baik dari masyarakat. Ianya dilihat sebagai sebuah sistem yang mementingkan ilmu agama dan pada masa yang sama, turut menitikberatkan masa hadapan para pelajar.
Kurikulum madrasah
Pada tahun 1966, Akta Pentadbiran Undang-undang Islam atau lebih dikenali sebagai AMLA dikuatkuasakan dan madrasah mula dipantau oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang bertanggungjawab di atas segala hal-ehwal umat Islam di Singapura. Beberapa perubahan dapat dilihat termasuk pengenalan subjek bukan agama di Madrasah Al-Junied yang sudah beroperasi selama 39 tahun tanpa subjek-subjek ini.[xiii]
MUIS juga mula mengelolakan pendaftaran dan kurikulum sistem pendidikan Madrasah dengan lebih bersepadu pada tahun 1990 dan memperkenalkan Peperiksaan Sijil Thanawi Empat (PSTE) di peringkat menengah empat. MUIS turut mengikuti beberapa inisiatif Kementerian Pendidikan untuk memastikan sistem pendidikan madrasah tidak ketinggalan terutamanya dalam mempelajari ilmu teknologi yang dipelajari di sekolah pemerintah.
Meskipun bilangan madrasah sedikit, ianya terus mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat Singapura. Ini boleh dilihat daripada jumlah pendaftaran untuk murid-murid darjah satu pada tahun 1990-an yang seringkali melebihi jumlah tempat yang disediakan sebagaimana yang dilaporkan di akhbar tempatan, “On the one hand, the rise in madrasah enrolment since the mid-80s and particularly in the last few years suggests the Malay-Muslim parents are happy with the quality of these schools.” (The Straits Times, 1993, May, 4)
Namun pada masa yang sama, kebimbangan tentang kualiti pelajar madrasah sentiasa ada. Jumlah pelajar yang berhenti pelajaran separuh jalan semakin tinggi dan pelajar-pelajar ini seringkali tidak memiliki kemahiran yang diperlukan untuk menjadi guru agama atau meneruskan pelajaran di peringkat sekular.[xiv] Ini amat membimbangkan terutamanya di era ekonomi berasaskan pengetahuan[xv] dan merupakan salah satu sebab kenapa pelajar madrasah mula dilihat sebagai tidak berkelayakan pada masa itu.
Isu Pendidikan Wajib
Kebimbangan ini akhirnya diketengahkan di peringkat nasional. Menteri Pendidikan pada waktu itu, Encik Teo Chee Hean membuat perbandingan di antara pelajar nasional dengan pelajar madrasah dan mendapati secara purata bahawa pelajar nasional meraih keputusan yang jauh lebih baik dari pelajar madrasah.[xvi] Beliau juga mendapati bahawa 65 peratus pelajar madrasah tidak melengkapi pendidikan mereka di madrasah,[xvii] dan ini menimbulkan kebimbangan, iaitu mereka tidak mempunyai kemahiran untuk menyumbang kepada ekonomi Singapura.
Perkara ini kemudian menjadi asas bagi pemerintah untuk memperkenalkan polisi Pendidikan Wajib pada tahun 1999 apabila Perdana Menteri ketika itu, Encik Goh Chok Tong membincangkan tentang keperluan polisi yang mewajibkan kanak-kanak di Singapura yang berusia di antara 6 hingga 15 tahun untuk mendapatkan pendidikan di sekolah nasional sekurang-kurangnya selama enam tahun bagi memastikan pelajar-pelajar ini sekurang-kurangnya mempunyai asas ilmu sekular yang jitu sebagaimana yang dikehendaki oleh pemerintah Singapura. Natijahnya ialah madrasah sepenuh masa yang ada tidak boleh lagi beroperasi di peringkat rendah. Perkara ini disampaikan dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan,
“Sekarang ini, terdapat empat ribu anak-anak Melayu-Islam di beberapa madrasah sepenuh masa. Daripada jumlah itu, ramai yang tercicir setiap tahun. Malah, sebahagian besar tidak tamat pengajian tinggi agama. Sebab itu, saya bimbang, ramai anak-anak ini tidak akan mendapat bekalan yang cukup untuk menghadapi sekitaran baru. Saya bertambah bimbang kerana, daripada rekod sepanjang tiga tahun lalu, purata enam puluh lima peratus pelajar madrasah kita, berhenti sekolah sebelum tamat Menengah Empat. Kadar keciciran ini adalah terlalu tinggi. Pelajar yang tercicir akan berdepan dengan peluang pekerjaan yang malap. Apakah peluang dan harapan masa depan anak-anak ini?” [xviii]
Isu ini menjana respon berbelah bagi dari kalangan masyarakat Muslim di Singapura. Kebanyakan Menteri Melayu pada waktu itu menyokong polisi ini dan menyetujui cadangan ini kerana mereka turut merasakan bahawa sistem madrasah tidak boleh dan tidak mampu mencapai taraf dan kualiti yang sama dengan sekolah pemerintah. Ini juga mencerminkan pendapat setengah masyarakat Singapura.[xix] Namun, cadangan ini juga mendapat tentangan yang kuat dari pihak madrasah serta penyokong sistem pendidikan ini. Antara kebimbangan mereka termasuk pelajar-pelajar ini tidak akan mahu ke madrasah setelah belajar enam tahun di sekolah nasional dan ini akan akhirnya, menyebabkan penutupan madrasah di Singapura.
Pendirian Pergas
Pada tanggal 1 April 1999, Pergas mengeluarkan sebuah kenyataan untuk menolak cadangan Pendidikan Wajib oleh pemerintah. Pernyataan tersebut menyuarakan kebimbangan mereka yang madrasah akan akhirnya ditutup sekiranya Pendidikan Wajib dijalankan. Pernyaatan Pergas berbunyi,
“PERGAS rejects the proposal, in its present form, to implement this compulsory education if it causes the closure of schooling in primary madrasah, which to PERGAS is tantamount to the gradual and inevitable closure of the madrasah, even if not intended… Any future proposal seen as undermining this institution would certainly invite negative reaction.”[xx]
Pendirian ini mendapat sokongan kukuh dari penyokong sistem pendidikan madrasah. Ia juga memberi kesedaran kepada pemerintah untuk mengambil masa dan berbincang sebelum membuat keputusan dalam perkara ini.
Pernyataan Pergas juga telah meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadapnya sebagai sebuah institusi Islam yang boleh memperjuangkan kepentingan umat Islam di Singapura. Di bawah kepimpinan Ustaz Syed Abdillah, Pergas dilihat sebagai sebuah institusi yang berani menyuarakan keperihatinan masyarakat tempatan.[xxi]
Setelah sebulan pernyataan Pergas dikeluarkan, pemerintah Singapura mula membincangkan kemungkinan untuk madrasah dikecualikan dari Pendidikan Wajib untuk jangka masa lapan tahun. Ini untuk memberikan masa untuk madrasah-madrasah membuat persiapan supaya murid mereka boleh menduduki peperiksaan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).[xxii]
Pemerintah juga mengadakan sesi dialog secara berterusan dengan badan-badan Islam termasuk Pergas dan MUIS untuk berbincang jalan keluar terbaik yang boleh memastikan masa hadapan madrasah di Singapura akan terus terpelihara.
[i] Berita Harian (2012), Ustaz Syed Abdillah tak pernah puas dengan ilmu yang dimiliki, 30 September.
[ii] Firdaus Yahya, Wan Hussein Zoohri dan Mohd Rahman Daud (2010), Obor Ummah: Jejak Tokoh Agama Islam di Singapura. Singapore: Pergas & LBKM.
[iii] Berita Harian (2012).
[iv] Firdaus Yahya, Wan Hussein Zoohri dan Mohd Rahman Daud (2010).
[v] Dinabdullah, (2016), Biography: Habib Abdillah bin Ahmad al-Jufri. Majlis Al-Muwasolah Singapura. https://muwasolahsg.com/2016/08/18/biography-habib-abdillah-bin-ahmad-al-jufri/
[vi] Pergas (2018). Bibliografi Penulisan Asatizah Singapura Karya Warisan Sepanjang 100 tahun (1906 – 2018). Singapore: Pergas, ms. 476.
[vii] Jaclyn L. Neo (2008), “The Constitution and the Protection of Minorities: A Judicious Balance?”, Evolution of a Revolution: Forty Years of the Singapore Constitution, Thio Li-ann & Kevin Y. L Tan (eds.). New York:Routledge-Cavendish.
[viii] Lihat Charlene Tan Hwee Phio. (2009), “The reform agenda for Madrasah education in Singapore”. Diaspora, Indigenous, and Minority Education, 3(2), p. 67–80.
[ix] Chee Min Fui (2006), “The historical evolution of madrasah education in Singapore,” Secularism and Spirituality, Noor Aisha Abdul Rahman and Lai Ah Heng (eds.) Singapore: Marshall Cavendish International Pte. Ltd, p.7.
[x] Abdul Samad, J. (1999), Perkembangan Pendidikan Islam di Singapura Satu Kajian Kes Madrasah Al-Junied Al-Islamiyyah 1970-1990, Singapura: AFIA Media International, ms. 34.
[xi] Syed Zakir Hussein (2012), Keeping the Faith: Syed Isa Semait Mufti of Singapore 1972-2010, Singapore: The Straits Times Press, p. 134-135.
[xii] Chee Min Fui (2006), p.14.
[xiii] Ibid
[xiv] Mukhlis Abu Bakar (2006), Between State Interests and Citizen Rights: Wither the Madrasah?, Secularism and Spirituality, Noor Aisha Abdul Rahman and Lai Ah Heng (eds.) Singapore: Marshall Cavendish International Pte. Ltd, p.36.
[xv] Chua Beng Huat (2003), “Multiculturalism in Singapore: An instrument of social control”, Race & Class, vol.44, no.3, pp. 58-77; Hussin Mutalib (2006), “Singapore Muslims: The quest for identity in a modern city-state”, Journal of Muslim Minority Affairs, vol. 25, no.1, pp. 53-72.
[xvi] Tan Tay Keong (2006), “Knowledge has many colours: The public policy management of madrasah education”, Secularism and Spirituality, Noor Aisha Abdul Rahman and Lai Ah Heng (eds.) Singapore: Marshall Cavendish International Pte. Ltd, p.152.
[xvii] National Archives of Singapore (1999), National Day Rally Address in Malay by Prime Minister Goh Chok Tong, August, 22, dari: https://www.nas.gov.sg/archivesonline/data/pdfdoc/1999NDRmalayspeech.pdf
[xviii] Ibid.
[xix] Tan Tay Keong (2006).
[xx] Pernyataan Pergas dari lelaman PERGAS http://www.pergas.org.sg
[xxi] Edwin Lee (2008), The Unexpected Nation, Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.
[xxii] Tan Tay Keong (2006).