Tokoh Wasatiyah Tempatan - Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri & Pandangannya Tentang Pendidikan Madrasah Di Singapura (Bahagian 2) | Wasat No. 42 / Disember 2021

wasat

42-2

Tokoh Wasatiyah Tempatan – Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri & Pandangannya Tentang Pendidikan Madrasah Di Singapura (Bahagian 2)

01 December 2021 12:02 am // Written by Siti Rafidhah Mahmood Angullia Mohamed Qusairy Bin Taha

Klik di sini bagi membaca Bahagian 1 bagi artikel ini.

 

Perspektif Ustaz Syed Abdillah

Ketika isu Pendidikan Wajib ini mula dibincangkan pada tahun 1999, Ustaz Syed Abdillah baru sahaja menyandang jawatan sebagai Presiden Pergas. Beliau berpendapat polisi ini tidak harus dijalankan kerana khuatir ia akan mengakibatkan kepupusan madrasah di Singapura. Pada beliau, lebih baik sekiranya kurikulum pendidikan madrasah di peringkat rendah diubah untuk memberikan fokus yang lebih dalam pengajaran ilmu akademik dari ditiadakan langsung.

Ketegasan Ustaz Syed Abdillah serta Pergas ketika menghadapi isu ini sangat jelas dari pernyataan yang diberikan. Salah satu kenyataan ini turut mencerminkan pendirian mereka yang bercanggah dengan pendapat beberapa ahli parlimen Melayu pada waktu itu.

“To the advocates – even among the Malay MPs who opine that madrasah education can start at secondary level, PERGAS submits that they are not in a position to understand the concept of madrasah education.”[i]

Respon Ustaz Syed Abdillah serta reaksi Pergas akan dianalisa dengan lebih lanjut dengan mengenal pasti beberapa perspektif beliau tentang kepentingan pendidikan madrasah di Singapura. Ini akan dilakukan dengan mengkaji forum serta wawancara yang disertainya pada waktu itu.

1. Madrasah membina dasar kerohanian anak-anak

Antara kebimbangan yang dinyatakan oleh Ustaz Syed Abdillah ketika menghadapi isu ini adalah sekiranya pelajar-pelajar ini hanya mempalajari agama di peringkat remaja, ini mungkin menjejas dasar kerohanian dalam diri anak-anak ini dan tidak akan memberi kesan yang sama jika ianya disemai pada usia yang muda. Ini sebagaimana yang dijelaskannya di dalam forum Utuhkan Madrasah, Pendidikan Madrasah, Amanah Rasulullah yang disertainya sebagai ahli panel. 

Forum ini dianjurkan pada tahun 2000 dengan tujuan untuk memberi keyakinan kepada masyarakat yang madrasah boleh dan mampu menyediakan pelajarnya bukan sahaja untuk kejayaan di akhirat, malahan di dunia juga. Tidak hairanlah ahli panel yang turut menyertai forum ini merupakan tokoh-tokoh agama yang terkenal dan berpengaruh. Ustaz Abdillah disertai oleh Dr Haron Din dan Ustaz Ismail Kamus sebagai ahli panel serta Ustaz Fatris Bakaram sebagai moderator.

Di dalam forum itu, Ustaz Syed Abdillah menerangkan,

“Kalau kita teliti, Iqra’ merupakan ayat yang mula-mula turun, jadi mula-mula kita perlu semaikan ke dalam hati anak-anak kita itu ialah fahaman Islam, mengenal Allah s.w.t. Dari asas supaya fitrah Islamiyyah ataupun ‘nature Islam’ itu ada pada anak dari mula lagi. Kewajiban yang pertama atas manusia (adalah untuk) mengenal Allah. Jadi itu (adalah) asas penyemaian konsep kerohanian dalam diri anak itu. Bila kerohanian itu sudah ada, maka apa ilmu pun yang diberikan kepadanya itu tidak akan merosakkannya. Bahkan itu akan membuka minda dia dan mempelajari segala ilmu. Oleh sebab itu, dalam sejarah, segala asas-asas ilmu yang ada pada hari ini, telah dipelopori oleh kaum muslimin… Kalau kita mahukan pendidikan Islam itu menurut sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, maka penyemaian kerohanian itu yang pertama pada asas. Kemudian, kita binalah ilmu itu terus.”[ii]

Dari kenyataan ini, jelas bahawa Ustaz Syed Abdillah berpendapat pendidikan madrasah di peringkat rendah amat penting kerana ianya akan membina asas kerohanian di dalam diri anak-anak. Sekiranya asas ini telah dibina dan dikukuhkan sejak kecil lagi, anak itu akan boleh menerima ilmu lain yang dipelajari. Sebagaimana ayat Iqra’  merupakan ayat yang pertama diturunkan, asas ini juga harus menjadi asas yang pertama yang disemai di dalam diri anak-anak.

2. Madrasah melengkapkan pelajarnya dengan ilmu agama dan kemahiran dunia

Salah satu perkara yang sering dipertikaikan tentang kebolehan sistem madrasah adalah sama ada ianya mampu untuk melengkapkan pelajarnya bukan sahaja dengan ilmu agama tetapi juga dengan kemahiran dunia.

Untuk menyangkal persepsi ini, Ustaz Syed Abdillah menghuraikan bahawa Islam tidak tercabar dengan perubahan dunia dan tiada satu ayat pun di dalam Al-Quran yang melarang kita untuk maju, malahan Islam sangat menggalakkan umatnya untuk berfikir dan belajar. Sekiranya sejarah ilmu diteliti, kita juga akan mendapati terdapat banyak ilmu sekular yang sebenarnya dipelopori oleh orang Islam. Ini menjadi bukti bahawa Islam tidak menghalang umatnya untuk menuntut ilmu dunia.

Oleh itu, umat Islam tidak pernah dihalang untuk maju dan mempelajari apa sahaja ilmu yang bermanfaat selama ia tidak melanggar aturan agama, walaupun pendidikan madrasah bertujuan untuk mendidik anak-anak dengan ilmu agama yang mantap. Ustaz Syed Abdillah menerangkan di dalam forum yang sama bahawa anak-anak itu mungkin lebih mudah untuk menerima apa sahaja ilmu yang dipelajari dengan menyemai kerohanian yang selari dengan ajaran Islam. Beliau menegaskan,

“Apa sahaja ilmu yang boleh membawa kebaikan bagi manusia tidak dilarang. Tetapi manusia itu kalau tidak ada penambat dari mula, tidak ada penyemaian dari awal yang mana jiwa anak-anak yang kosong itu telah diisikan dengan falsafah-falsafah atau pandangan-pandangan yang bertentangan dengan Islam dari mula lagi, maka itu yang menyebabkan ada penyelewengan. Dan tentunya kita tidak kata semuanya begitu. Tetapi kita menghukum secara ‘general’ atau secara umum yang kebanyakkan manusia begitu. Apa yang dia dapat dari mulanya, itulah yang dia pegang. Selalunya begitu. Jadi sebab itulah Islam tidak menolak apa ilmu pun, dan madrasah kita boleh menerima apa ilmu yang baik tetapi berdasarkan Islam. Berdasarkan keyakinan dan keimanan. Di sebab itu, apa saja yang disebutkan di dalam Al-Quran dari hal dunia ini, tapi matlamat yang pertama mengingat bahawa pencipta dunia ini (ialah) Allah. Dan kita wajib menyembah kepada Allah. Kita wajib mengenal Allah. Walaupun kita kata dalam Al-Quran, ada anjuran untuk semua ilmu, tetapi ilmu yang pertama (adalah) mengenal Allah s.w.t.”[iii]

 Apa yang ingin disampaikan oleh Ustaz Syed Abdillah ialah meskipun Islam tidak melarang pembelajaran ilmu yang lain, kepentingan pendidikan ilmu agama pada usia yang muda tidak boleh diperlekehkan. Di atas sebab ini, madrasah di Singapura memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak kita diajar untuk mengenal Allah s.w.t semenjak awal lagi dan bukan pada usia yang lanjut. Ini kerana ilmu yang dipelajari pada usia muda secara umumnya akan membentuk pemikiran seorang individu. Ini juga sesuai dengan tuntutan agama yang menekankan makrifatullah (mengenal Allah) sebagai ilmu yang utama yang harus dipelajari seorang Muslim.

Malahan, perspektif ini sudah dipegang oleh Ustaz Syed Abdillah semenjak awal lagi sebagaimana yang diterangkannya di dalam satu wawancara bersama Lembaga Warisan Negara (NHB) pada tahun 1998,

“Dari segi dasar pendidikan Islam, dia itu tidak semestinya ukhrawi. Sebab kita ada istilah ukhrawi dan duniawi. Ukhrawi ini artinya pelajaran keakhiratan. Dulu madrasah ini hanya menjurus kepada pelajaran keakhiratan semata-mata. Hanya untuk membolehkan anak itu menjadi imam ke atau jadi guru mengaji. Tapi, padahal hakikatnya pengajaran agama itu dia menjurus kepada dua-dua ukhrawi dan duniawi. Jadi atas kesadaran itulah madrasah mengubah struktur atau (dia punya) kurikulum itu, dan atas dasar itu juga itu (ia menjadi) menarik kepada guru atau orang-orang Islam yang rasa mereka beruntung dengan adanya madrasah ini dapat dua-dua bahagian.”[iv]

Ini menurut beliau merupakan di antara salah satu sebab kenapa madrasah terus mendapat sambutan yang baik dari masyarakat. Madrasah juga sedar adanya keperluan untuk melengkapkan pelajar mereka dengan kemahiran dunia supaya mereka dapat diterima dengan baik oleh masyarakat luar.

3. Madrasah melahirkan asatizah dan ulama tempatan

Meskipun terdapat madrasah separuh masa di masjid-masjid atau institusi yang lain, keberadaan madrasah sepenuh masa tidak boleh ditandingi kerana ianya tetap menjadi sumber utama yang melahirkan golongan ulama dan asatizah tempatan. Golongan ini amat diperlukan untuk membimbing masyarakat tempatan dalam urusan agama. 

Malahan, pemahaman konteks merupakan salah satu faktor utama yang diambil kira dalam pengeluaran fatwa. Konteks kehidupan yang berbeza boleh melahirkan fatwa atau irsyad yang berbeza. Konteks ini juga memainkan peranan yang penting untuk menjawab kemusykilan agama dari masyarakat. Tambahan lagi, golongan asatizah ini turut berperanan untuk mendorong masyarakat untuk tidak hanya mengejar kehidupan di dunia sahaja. Maka tidak hairanlah jika golongan asatizah digelar sebagai “tabib kerohanian” atau “doktor kerohanian”. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ustaz Syed Abdillah di dalam forum yang sama,

“Ulama itu para waris nabi. Alhamdulillah. Sekarang ini kita dapatlah saudara-saudara kita. Di masa hadapan kalau tak ada madrasah-madrasah, tak tahu lah kita siapa yang dapat memberikan fatwa, siapa yang dapat memberikan apa jawapan-jawapan bagi agama kita dan sebagainya. Ini yang kita kena pertahankan. Seberapa boleh untuk menghasilkan tabib-tabib kerohanian. Ulama mengatakan, ini ulama dan juga ahli sufi, orang-orang yang hidup secara kerohanian ini perlu ada dalam masyarakat untuk mendidik masyarakat itu jangan sampai terlalu materialis. Jadi ini perlu, itu slogan kita.”

Oleh itu, masyarakat harus memahami bahawasanya kelahiran ulama dan golongan asatizah tempatan adalah sangat penting untuk memenuhi keperluan kerohanian sebuah masyarakat. Ustaz Syed Abdillah turut mengatakan ketika diwawancara,

“Oleh sebab itu, peranan madrasah ini sangat perlu dan tidak “out of date”, sebab dia perlu sangat dari semasa ke semasa kerana kita hendakkan pendakwah-pendakwah dan sekarang misalnya, MUIS menghadapi masalah tentang hendak menjawab kemusykilan agama yang macam-macam masalah timbul. Jadi sekarang dipilih masjid-masjid, beberapa masjid dilantik beberapa orang guru agama letakkan di sana untuk menjawab soalan-soalan masyarakat. Jadi itu bermakna kalau tidak ada lepasan-lepasan madrasah ini, susahlah kita. Sebab itu, madrasah ini perlu dipertingkatkan mutunya.”[v]

 Sokongan masyarakat terhadap pendidikan madrasah di Singapura

Antara satu masalah yang dihadapi ketika itu adalah keterbatasan jumlah pelajar yang dapat diterima oleh madrasah. Keterbatasan ini adalah berdasarkan jumlah yang dibenarkan oleh Kementerian Pendidikan Singapura yang secara purata merangkumi hanya 4% dari jumlah pelajar Islam di Singapura. Justeru itu, pelajar-pelajar yang ingin memasuki madrasah harus mengambil beberapa ujian untuk menentukan kebolehan mereka untuk mengikuti sistem ini yang memerlukan mereka untuk mempelajari lebih banyak subjek berbanding sekolah sekular.

Oleh kerana itu, lahir segolongan ibu bapa yang kecewa kerana anak mereka tidak dapat tempat di madrasah, dan ada di antara mereka yang kemudiannya tidak menyokong madrasah  selepas itu. Ustaz Syed Abdillah menekankan bahawasanya mempertahankan madrasah adalah kewajiban kita sebagai umat Islam di Singapura. Ustaz Abdillah menukil sebuah hadis Rasulullah s.a.w,

“Ini tanggungjawab kita. Jadilah anda orang yang alim, atau jadi orang yang suka belajar agama atau jadi orang yang suka mendengar-dengar saja perkara agama, atau menjadi orang yang cintakan agama, dan jangan jadi orang yang kelima (maksud hadis). Alim pun tidak, belajar pun tidak, dengar pun tak hendak, suka pun tidak. Benci pulak kepada perkara agama. (Dan maka itu, berlaku suatu kemusnahan). Musnahkan. Jadi tanggungjawab kita, sama ada kita boleh jadi orang alim. Kalau kita tidak boleh jadi orang alim, inilah 4% yang ada dalam madrasah, ini yang akan jadi orang alim. Yang lepaskan tanggungjawab fardhu kifayah kita. Jadi ulama. Kalau tak ada ini, tak ada ulama kita.”[vi]

Oleh itu, meskipun sistem madrasah hanya mampu untuk menampung jumlah pelajar yang terhad, masyarakat harus terus menyokong mereka yang mempalajari ilmu agama. Ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w yang melarang kita untuk menjadi golongan kelima yang membawa kemusnahan kepada mereka yang mencintai ilmu agama.

Analisa Perspektif Ustaz Syed Abdillah

Dari keempat-empat perspektif ini, Ustaz Syed Abdillah sangat tegas dalam menyenaraikan sebab-sebab kenapa madrasah di Singapura penting untuk kebaikan masyarakat di sini. Beliau juga mengambil peluang untuk memperbetulkan salah tanggapan masyarakat terhadap pelajar kelulusan madrasah yang dianggap tidak setaraf dengan para pelajar sekolah negara. Ini sudah pasti amat penting untuk memastikan madrasah di Singapura tidak akan pupus dek masa.

Ustaz Syed Abdillah banyak menekankan isu kerohanian pelajar madrasah yang perlu dibina semenjak usia yang muda. Ini bertepatan dengan tuntutan agama yang mementingkan makrifatullah sebagai ilmu pertama yang harus dipelajari seorang Muslim. Penyemaian ilmu ini juga akan memudahkan lagi penerimaan apa sahaja ilmu lain dalam diri pelajar tersebut.

Beliau juga turut membentangkan bukti-bukti dari Al-Quran serta ilmuwan dari zaman dahulu yang menunjukkan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya dari mempelajari ilmu dunia. Malahan, Islam sering menggalakkan umatnya untuk meneliti ciptaan Allah dan berfikir. Oleh itu, madrasah juga memahami dan mampu untuk melengkapkan pelajarnya bukan sahaja dengan ilmu agama tetapi juga dengan kemahiran dunia.

Madrasah juga berperanan untuk melahirkan ulama serta golongan asatizah tempatan yang bertauliah untuk mengeluarkan fatwa dan menjawab kemusykilan agama sesuai dengan konteks kehidupan di Singapura. Oleh sebab itu juga, keberadaan madrasah separuh masa hanya mampu untuk menyokong sistem madrasah sepenuh masa tetapi tidak dapat menggantikan sistem ini.

Sokongan masyarakat juga diperlukan untuk memastikan kesinambungan pengajaran agama yang baik di Singapura terutama sekali di sebuah negara sekular seperti Singapura. Meskipun Singapura telah berkembang dengan pesat, kerohanian penduduk di sini terpelihara dengan adanya tabib kerohanian yang sering membimbing masyarakat untuk turut mementingkan kehidupan di akhirat kelak. 

 Kesimpulan

Ustaz Syed Abdillah memainkan peranan penting dalam memelihara keberadaan madrasah di Singapura sehingga ke hari ini. Malahan, beliau juga berjaya meraih sokongan pemerintah untuk memperbaiki sistem pendidikan madrasah terutama dalam pengajaran ilmu Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sains.[vii] Hasil usaha ini dapat dilihat  sehingga ke sekarang. Pemerintah Singapura jelas lebih terbuka untuk memberikan sokongan untuk meningkatkan sistem pendidikan madrasah di sini. Sebagai contoh program International Baccalaureate yang diperkenalkan di Madrasah Al-Junied pada tahun 2013.[viii]

Persoalan tentang kemampuan pelajar madrasah pada masa dahulu telah terbukti apabila pelajar madrasah dapat mencapai prestasi yang setaraf dengan pelajar-pelajar sekolah yang lain. Ini dapat dilihat dari jumlah pelajar yang boleh meneruskan pelajaran dalam ilmu dunia.[ix] Ini bersesuaian dengan usaha madrasah-madrasah tempatan untuk melengkapkan pelajar mereka dengan ilmu dunia dan akhirat. Justeru itu, tidak hairanlah pendidikan madrasah terus mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Sehingga kini, jumlah pendaftaran yang diterima melebihi tempat yang disediakan di darjah satu. Ini menjadi testimoni kepada kualiti pelajar hasil pendidikan madrasah di Singapura. Pencapaian-pencapaian ini juga membuktikan hasil ketegasan dan usaha Ustaz Syed Abdillah dalam memastikan sistem madrasah kekal relevan sehingga ke abad 21 ini. Perspektif serta wawasan beliau dalam menangani masalah ini dengan penuh hikmah masih menjadi kayu ukur untuk tokoh agama sehingga ke hari ini.

 


Nota

[i] The Straits Times (2000), Schooling for all threatens madrasahs, 1 April.

[ii] CeramahIslamCom (2014), Utuhkan Madrasah, Pendidikan Madrasah, Amanah Rasulullah. Lihat https://www.youtube.com/watch?v=WhZepQB_ESI (20 August 2021).

[iii] Ibid.

[iv] Wawancara bersama Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri (1998). Lihat di https://www.nas.gov.sg/archivesonline/oral_history_interviews/record-details/816f7c41-115e-11e3-83d5-0050568939ad (20 August 2021).

[v] Ibid.

[vi] CeramahIslamCom (2014), Utuhkan Madrasah, Pendidikan Madrasah, Amanah Rasulullah. Lihat di https://www.youtube.com/watch?v=WhZepQB_ESI (20 August 2021).

[vii] Norshahril Saat (2015), Faith, Authority and the Malays: The Ulama in Contemporary Singapore, Singapore: Select Publishing Pte Ltd.

[viii] Sandra Davie (2013), “Two madrasahs offer students new curriculum and pathways, including IB prog.”, The Straits Times, 15 January. Retrieved from http://www.straitstimes.com/singapore/two-madrasahs-offer-students-new-curriculum-and-pathways-including-ib-prog. (20 August 2021).

[ix] Hariz Baharudin (2020), “Parliament: 35% of madrasah students pursue tertiary Islamic-related education”, The Straits Times, 14 October. Retrieved from https://www.straitstimes.com/singapore/politics/parliament-35-of-madrasah-students-pursue-tertiary-islamic-related-education (20 August 2021).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles