Surah An-Nisaa': Apa Ada Pada Nama? | Pergas Blog

newest article

surah-annisaa-ada-apa-pada-nama-1

Surah An-Nisaa’: Apa Ada Pada Nama?

15 November 2018 6:33 am // Written by Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff; Khairunnisaa Binte Abdul Rahim; Zanaria Binte Jusary;

Kita sering mendengar nama surah An-nisaa’ membacanya dan mungkin ada sebahagiannya meneliti isi kandungannya. Namun, pernahkah kita mengkaji mengapa surah ini dikaitkan dengan wanita? Sedangkan pada masa yang sama tiada pula nama surah yang dirujuk pada lelaki. Diharap rencana ini dapat mengupas latar belakangnya dan pandangan ulama tentang penamaan surah ini.

Analisa Konteks Surah An-Nisaa’

Sebagai permulaan, perlu diketahui latar belakang surah An-nisaa’ dan mengapa ia dinamakan sebagai surah An-nisaa’ .

Surah An-nisaa’ yang terdiri dari 176 ayat ini adalah surah Madaniyyah yang terpanjang sesudah surah al-Baqarah. Dinamakan surah ini sebagai An-nisaa’ kerana dalam surah ini banyak dibicarakan hal yang berhubung dengan wanita serta merupakan surah yang paling banyak membicarakan hal itu dibandingkan dengan surah-surah Al-Quran yang lain.

Surah lain yang banyak juga membicarakan perihal wanita ialah surah al-Talaq. Dalam hubungan ini, surah An-nisaa’ biasa juga disebut dengan gelaran surah An-nisaa’ al-Kubra (surah An-nisaa’ yang besar), sedang surah al-Talaq disebut dengan sebutan surah An-nisaa’ al-Sughra (Surah An-nisaa’ yang kecil) [1].

Siyaq [2] Nas: Mengapa Disebut Surah An-Nisaa’

Walaupun tidak kesemua kandungan ini berkisar atau eksklusif pada hal wanita, dan terkandung banyak masalah yang tidak terkait sama sekali dengan hal wanita, maka timbul persoalan mengapa ia tetap dinamakan sebagai surah An-nisaa’

Menurut Imam al-Zarkasyi dan al-Suyuti, antara alasan surah ini dinamakan dengan An-nisaa’ ialah kerana dalam surah tersebut terdapat banyak hukum-hukum dan ketentuan tentang wanita yang tidak terulang pada surah-surah lain. Manakala al-Qasimi pula memberi alasan lain, iaitu kerana pada surah ini dibicarakan tentang perihal wanita lebih banyak daripada surah-surah yang lain.

Pakar tafsir universiti Al-Azhar, Prof. Dr. Ibrahim Khalifah pula memberikan rumusan dalam memahami rahsia di sebalik nama sesebuah surah ialah dengan menelusuri seluruh kandungan surah secara mendalam sehingga akhirnya dapat menemukan semangat atau ruh yang terkandung pada surah tersebut. Menurutnya, ruh atau semangat itulah yang menjadi sebab penamaan sesebuah surah [3].

Semangat Dan Ruh Di Sebalik Penamaan Surah

Berdasarkan teori ini kita dapat menyimpulkan bahawa semangat atau ruh surah ini tercermin pada dua hal; pertama ialah perlindungan dan penghormatan (al-insaf), sementara yang kedua pula ialah perbaikan (al-islah). Kedua hal tersebut terlihat begitu kuat dalam pembahasan tentang wanita dan tema-tema lainnya.

Sebagai contoh dalam ayat ke-3, surah ini memberikan perlindungan bagi wanita, khususnya di saat ia seorang yatim, seperti terlihat dalam sebab pewahyuan ayat poligami. Demikian pula ketika ayat tersebut menetapkan syarat ketentuan berpoligami. Di dalam ayat ke-4 pula, ia menetapkan mahar bagi seorang lelaki ketika hendak menikahi seorang wanita sebagai tanda keseriusan dalam pertanggungjawapan terhadap wanita.

Dalam surah ini juga ditegaskan bahawa wanita berhak mendapat warisan dari orang tua dan kerabat yang terdekat. Sebelum Al-Quran diturunkan, harta warisan hanya dimonopoli oleh kaum lelaki sahaja. Sebagai bentuk perlindungan terhadap wanita, surah ini juga melarang wanita dijadikan sebagai warisan seperti layaknya harta, andai kata si suami meninggal dunia.

Ini kerana sebelum Al-Quran diturunkan, kaum wanita yang ditinggal mati suami diwarisi oleh saudara suaminya seperti halnya harta peninggalan yang lain seperti yang telah diperjelaskan dalam surah An-nisaa’, ayat ke-19 [4].

Semoga selepas mendalami latar belakang dan sebab penamaan surah ini mampu menerbitkan pula usaha memahami falsafah dan ajaran serta panduan agama pada surah ini dan melahirkan rasa cinta pada bukan sahaja untuk membaca dan memahami maknanya tetapi juga berinteraksi dan beramal dengannya.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.


Rujukan:

[1] Al-Qur’an dan Tafsirnya (2004), j.4-6, Semarang: PT. Karya Toha Putra, h.?

[2] Siyaq adalah indikator yang digunakan untuk menetapkan makna yang dimaksudkan oleh pembicara atau susunan kata. Ia adalah bingkai yang didalamnya terhimpun unsur-unsur teks dan kesatuan kebahasaan yang berfungsi menghubungkan, bukan sahaja kata, tetapi juga rangkaian kalimat serta situasi dan kondisi yang menryartainya, lalu dari himpunan keseluruhan unsur tersebut ditemukan oleh pembaca/pendengar teks, makana atau idea yang dimaksud oleh teks. Sila lihat M. Quraish Shihab (2013), Kaidah Tafsir: Syarat, Ketentuan dan Aturan Yang Patut Anda Ketahui Dalam Memahami Al-Quran. Jakarta: Penerbit Lentera Hati, h. 253-254

[3] Muchlis M. Hanafi (2008), Mengapa Disebut Surah Perempuan (Al-Nisa)? (Tulisan persendirian dan tidak dibentangkan atau diterbitkan)

[4] Ibid.

ISLAM DAN WANITA SURAH TAFSIR WANITA AL-QURAN


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

Comments:

related articles