Berakhlak Mulia Walau Diuji | Wasat No. 34 / Ogos 2020

wasat

34-3

Berakhlak Mulia Walau Diuji

01 August 2020 12:03 am // Written by Muhammad Syafiee Bin Mohamed Hassan

Penularan wabak Covid-19 menggegarkan dunia. Ia membuat negara-negara gergasi berlutut mencari huraian bagi permasalahan ini, baik dari segi mencari penawar mahupun berusaha mengekang penularannya.

Ramai mangsa telah menjadi korban. Namun yang patut menjadi kebimbangan utama bukan pada kadar jumlahnya mahupun cepatnya penularan wabak tersebut, tetapi pada sikap kita dalam menghadapi ujian ini.

Kita dapat lihat bagaimana wabak ini memberi kesan pada ekonomi, gaya hidup, daya tahan dan persepsi kita, baik di peringkat global mahupun di peringkat individu.

Sikap adalah kunci utama untuk kita harungi segala ujian berat dan pahit. Sikap juga boleh disinonimkan dengan akhlak. Rasulullah s.a.w menganjurkan agar kita berakhlak baik walaupun dalam keadaan susah melalui hadisnya, “Ibadah ketika waktu susah (fitnah) mendapat ganjaran seperti berhijrah kepadaku” (Riwayat Muslim dan Ibn Majah)

Maksud ibadah di sini merangkumi semua bentuk perbuatan seorang mukallaf yang dilakukan kerana Allah taala,[1] dan ini meliputi akhlak yang baik. Rasulullah s.a.w, pernah bersabda, “Bertakwalah kamu walau di manapun jua. Setiap yang baik akan menghapuskan yang buruk, berakhlaklah kamu dengan akhlak yang baik.” (Riwayat Al-Tirmizi)

Mengenai bersikap pemurah walaupun dalam keadaan terdesak, Rasulullah s.a.w bersabda, “Telah mendahului satu dirham di atas 100,000 dirham. Seorang lelaki yang hanya ada dua dirham mengeluarkan satu dirham untuk sedekah. Sedangkan lelaki yang satu lagi pula mempunyai harta yang banyak akan tetapi hanya mengeluarkan 100,000 dirham untuk sedekah.” (Riwayat Al-Nasa’ii dan Ahmad).

Allah taala berfirman, “Barangsiapa mengatasi kekikiran dalam jiwanya maka dia adalah orang-orang yang berjaya.” (Al-Hashr: 9)

Bagi menghuraikan tajuk ini, penulis akan membahagikan artikel ini kepada tajuk-tajuk kecil berikut;

1. Maksud dan konsep akhlak

2. Kelebihan akhlak yang baik

3. Cara dan rahsia mendidik jiwa

4. Contoh-contoh akhlak mulia walau dalam kesempitan

5. Bagaimana menghadapi ujian besar seperti wabak Covid-19?

6. Rumusan dan penutup

 

Maksud dan konsep akhlak

Akhlak adalah sesuatu keadaan yang terpahat pada jiwa seseorang secara tetap menyebabkan dia mudah untuk melakukan sesuatu perkara tanpa bersusah payah.[2] Berikut adalah contoh-contoh bagi menjelaskan lagi kefahaman;   

1. Orang bakhil yang bersedekah. Adakah dengan hanya dia bersedekah satu kali dikatakan dia orang yang pemurah? Sudah tentu tidak. Justeru, akhlak atau sikap “pemurah” bukan dinilai daripada perbuatannya.

2. Orang yang pemurah selalu bersedekah tetapi kebetulan apabila diminta untuk bersedekah, dia tidak membawa wang. Adakah kerana dia tidak bersedekah waktu itu, dia dikatakan orang yang bakhil? Sudah tentu tidak.

Dari contoh ini, kita tahu bahawa akhlak tidak dinilai hanya pada perbuatan. Namun ia dinilai pada sikap seseorang. Sikap yang telah menjadi sebahagian daripada diri orang tersebut. Sikap yang mencorakkan perbuatannya, pergaulannya, pemikirannya bahkan kehidupannya. Sepertimana sikap orang yang pemurah selalu terdorong untuk membantu orang lain, begitu juga sikap orang yang bakhil seringkali memikirkan dirinya sahaja.  

Begitu juga dengan seseorang yang bersikap memungkiri janji, walaupun pejabatnya berdekatan dengan rumahnya, beliau tetap akan datang lambat. Sama juga dengan orang kaya yang kikir, walaupun banyak hartanya tetapi dia masih lagi merasakan kekurangan.

Akhlak adalah suatu konsep yang melambangkan harga diri seseorang. Ia mencorakkan perbuatan, pertuturan dan sebagainya. Jika baik akhlaknya baiklah perbuatannya. Begitu pula jika buruk akhlaknya, buruk pula perbuatannya.

Oleh itu, akhlak menjadi timbangan yang paling berat di akhirat dan ia merupakan sebab utama Nabi diutuskan kepada umat manusia.[3]

Kelebihan akhlak yang baik

Imam Al-Ghazali mengatakan akhlak yang baik akan terhasil daripada jerih usaha seseorang hamba yang menjaga hatinya daripada keburukan. Ia adalah pintu untuk mendapatkan rahmah Allah taala. 

Akhlak yang buruk bukan sahaja membawa kepada kemungkaran dan kemurkaan Allah s.w.t., ia juga merupakan satu penyakit hati. Setiap individu berperanan penting untuk menjaga hati dan diri daripada unsur-unsur negatif kerana tiada yang mampu mengubah kita, kecuali kita sendiri yang bersifat positif hendak mengubahnya.[4]

Allah taala telah meletakkan peraturan alam bahawa barangsiapa membersihkan hatinya dengan akhlak yang baik, pasti akan berjaya. Manakala orang yang tidak memperhatikan akhlaknya sehinggakan mencemarkan hatinya, akan mengalami kesusahan.[5]

Oleh itu, Rasulullah s.a.w memuji orang yang berakhlak mulia walaupun ia menghadapi pelbagai ujian seperti sabdanya, “Tiada sesuatu perkara yang diletakkan pada timbangan amalan seseorang hamba yang lebih berat daripada akhlak yang baik.” (Riwayat Al-Tirmidzi)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Aku (Nabi Muhammad s.a.w) menjamin sebuah rumah di tepi syurga bagi sesiapa yang meninggalkan perdebatan sekalipun dia benar, dan rumah di tengah syurga bagi sesiapa yang meninggalkan kebohongan sekalipun dalam bergurau, dan rumah di atas syurga bagi orang yang berakhlak mulia.” (Riwayat Abu Daud).  

 Terdapat banyak lagi ayat Al-Quran serta hadis-hadis Nabi s.a.w berkenaan akhlak yang mulia. Namun, apa yang membuatkan akhlak terpuji begitu berat timbangannya di akhirat sehingga mengalahkan ibadah solat dan puasa? Cukupkah hanya dengan orang tersebut melakukan kebaikan dan meninggalkan yang haram, bermakna dia sudah berakhlak mulia?
 
Jika benar pendapat ini, bagaimana pula dengan orang yang ingin melakukan kebaikan tetapi terhalang? Atau orang yang melakukan keburukan kerana terpaksa? Adakah dia tidak berakhlak mulia?

Ataupun jika dia membuat kebaikan tetapi berniat buruk di sebalik kelakuannya itu? Adakah ini juga termasuk dalam maksud akhlak mulia? Jadi apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan akhlak terpuji?

 

Cara dan rahsia mendidik jiwa

Sikap atau akhlak dapat dicorakkan melalui pengalaman dan perbuatan yang sering diulang-ulang. Sebab itulah orang yang sering berbohong akan dikenali di sisi Allah taala sebagai pembohong. Begitu juga orang yang berkata jujur, dikenali di sisi Allah taala sebagai orang yang jujur.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Hendaklah kalian berlaku jujur. Sesungguhnya jujur itu membawa kepada kebaikan. Dan sesungguhnya kebaikan akan membawa ke syurga. Seseorang hamba itu apabila berkata jujur, dan sentiasa berkata jujur, maka akan ditulis “status” hamba tersebut sebagai orang yang jujur di sisi Allah taala. Jauhilah kalian daripada berkata bohong. Kerana berbohong itu akan membawa kepada keburukan. Sesungguhnya keburukan akan membawa kepada neraka. Seseorang hamba itu apabila berbohong, dan sentiasa berbohong, maka akan ditulis “status” hamba tersebut sebagai pembohong di sisi Allah taala.” (Riwayat Al-Bukhari)

Ahli Fisiologi Russia, Ivan Petrovich Pavlov ada menemukan hubungan sikap dengan perbuatan.[6] Beliau meletakkan satu eksperimen di mana anjing ini sering mengeluarkan air liur ketika mendengar bunyi tapak orang yang akan memberi dia makanan. Ini kerana hubungan erat bunyi tapak kaki tersebut dengan makanan anjing.

Daripada eksperimen ini, beliau mengeluarkan satu kaedah yang dikenali sebagai “classical conditioning”. Kaedah ini terus dikaji dan digunakan untuk mendidik sesuatu tabiat. Terdapat juga kaedah yang lain.[7] Namun keseluruhan kaedah ini berpaksikan pada hubungan antara perbuatan dengan sikap.

Sebelum penemuan ini semua, Imam Al-Ghazali telah meletakkan kaedah ini dalam kitabnya, Ihya Ulum Al-Din.[8] Bahkan beliau menambahkan bahwa perbuatan yang diulang itu, hendaklah berterusan sehingga menjadi tabiat. Tidak cukup hanya dengan merasakan kemanisan sesuatu perbuatan itu di suatu masa dan tidak pula di masa yang lain. Contohnya ialah jika seseorang itu seringkali solat, namun belum terdetik rasa kemanisan dalam solat atau hanya rasa kemanisan solat pada satu waktu tetapi tidak pula di waktu yang lain, perbuatan solat itu belum menjadi sikapnya.

Selain daripada perbuatan yang diulang untuk mendidik sesuatu akhlak, seseorang itu perlu mengetahui hakikat jiwanya. Daripada situ barulah dia mampu untuk meneliti daripada mana punca akhlak yang buruk dan cara mengatasinya.[9]

Terdapat tiga daya kekuatan pada jiwa manusia yang mempengaruhi perbuatannya:

• daya kekuatan akal

• daya kekuatan marah

• daya kekuatan syahwat.

Ketiga-tiga daya ini tidak diluputkan dari manusia. Namun, ia dapat disalurkan pada tempatnya. Alat untuk menyalurkan ketiga-tiga daya ini pada tempatnya adalah i’tidal atau sikap keseimbangan antara dua ekstrem bagi setiap daya kekuatan.

Daya kekuatan akal mempunyai dua ekstrem. Satu ekstrem menyebabkan seseorang dibodohkan. Manakala satu lagi adalah memperbodohkan orang lain.

Begitu pula dengan daya kekuatan kemarahan. Satu sudut membuat seseorang dipijak kerana hilangnya sifat marah yang dijadikan sebagai “defence mechanism”. Dari satu sudut lain pula hanya membuat kerosakan.

Sama juga dengan daya kekuatan syahwat. Yang mana bertujuan untuk menjaga kewujudan anak Adam. Jika tiada daya ini, manusia akan pupus. Dari sudut ekstrem yang lain, ia oleh menyebabkan perzinaan dan kerosakan pada keturunan manusia, jika tidak disalurkan pada tempatnya.

Apabila semua daya kekuatan ini diarahkan kepada keseimbangan, baru akan terlahir sifat yang terpuji dan empat sifat terpuji utama adalah; Hikmah (bijaksana), Syaja’ah (berani), `Iffah (menjaga kesucian diri), `Adalah (keadilan).

Dari hikmah sikap pertengahan antara dua extrim bagi daya kekuatan akal, lahir sifat pemurah, mengeratkan silaturahmi, memaafkan, memahami keadaan manusia, beradab tatasusila dan sebagainya.

Begitu juga setiap daripada syaja’ah (berani), iffah (menjaga diri), ‘adalah (keadilan) menghasilkan sifat-sifat mulia yang lainnya seperti membela yang lemah, menundukkan pandangan, amanah dan sebagainya.

Contohnya, sifat sabar. Ia adalah pertengahan pada setiap daripada daya kekuatan yang ada pada manusia. Ia membuatkan seseorang menahan marahnya, atau syahwatnya, atau ‘aqalnya untuk mendapatkan keredaan Allah taala. Dia mengawal daya kekuatan tersebut, dengan tunduk pada daya kekuatan ‘aqal yang ingin mengutamakan Allah taala, “Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu.” (Al-Nazi’at: 40)

Contoh lain ialah sikap kita terhadap kewangan seperti firman Allah taala. yang menjelaskan antara sifat orang-orang pilihanNya, “Mereka apabila mereka membelanjakan harta mereka, mereka tidak boros dan tidak pula kikir, bahkan mereka mengambil jalan tengah antara kededuanya.” (Al-Furqan: 67)

Maka itu, antara rahasia mendidik jiwa adalah membiasakan diri dengan melakukan perbuatan yang baik disertakan pengharapan pada rahmat Allah s.w.t dan mengenali diri kita. Mengenali daya kekuatan yang ada pada jiwa, sekaligus melatih diri untuk memberi kesimbangan pada setiap daya kekuatan tersebut.

 

Contoh-contoh akhlak mulia walau dalam kesempitan

Setelah mengetahui bahwa akhlak adalah suatu sikap yang sebati dengan jiwa, kita dapat lihat bahawa akhlak ini tidak akan berubah dengan perubahan keadaan. Contohnya, orang yang syahid bila diberikan peluang untuk hidup lagi, pasti dia akan berjuang dan syahid sekali lagi. Begitu pula keadaan orang yang masuk neraka, bila dikembalikan ke dunia pasti mereka akan membuat perkara yang sama.

Allah taala berfirman, “Jikalau mereka dikembalikan ke dunia pasti mereka akan kembali melakukan keburukan. Sungguh mereka adalah pendusta.” (Al-An`am: 28)

Adapun keadaan orang yang beriman, akhlak serta perbuatan mereka tidak akan berubah mengikut keadaan seperti sabda Rasulullah s.a.w, “Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangannya, sungguh mereka bergembira dengan musibah seperti mana mereka bergembira dengan kesenangan.” (Riwayat Ibn Majah)

 Motivasi utama orang yang berjaya untuk berakhlak mulia adalah mencintai Allah taala lebih daripada mencintai diri mereka sendiri dan mencintai akhirat atau hari pembalasan. Mereka juga mengetahui hakikat ujian kehidupan. Daripada keimanan yang mantap inilah, lahir sikap dan akhlak yang terpuji.

Oleh itu, apabila terdapat sesuatu perkara kebaikan, pasti Rasulullah s.a.w akan menggandingkannya dengan orang-orang   beriman di hari akhirat.

Namun, ada segelintir manusia yang tidak mempunyai kekuatan motivasi untuk berakhlak baik, sehinggakan menghasilkan tabiat yang berubah mengikut keadaan. Keadaan mereka ini digambarkan dalam firman Allah taala,

“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi; maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.” (Al-Haj: 11)

Oleh itu, kita perlu kepada perubahan sikap dan akhlak semasa menghadapi keadaan yang tidak menentu sekarang ini. Dari sikap yang berubah mengikut keadaan, kepada akhlak yang mulia yang tidak berubah mengikut perubahan zaman. Namun apakah sikap atau akhlak yang boleh kita sematkan untuk mengharungi ujian ini?

Bagaimana menghadapi ujian besar seperti wabak Covid-19?

Allah taala berfirman,

“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” (Yunus: 62-4)

Keadaan mereka yang beriman dan bertakwa akan tenang walaupun di dalam keadaan yang genting. Akhlak yang bersemadi di dalam diri sentiasa mencorakkan perbuatan mereka. Akhlak yang disirami dengan keimanan tidak akan goyang, bahkan dengan ada kejadian-kejadian ini menguatkan lagi keimanan mereka.[10]

Namun apakah persiapan bagi mengharungi ujian seterusnya khususnya situasi ekonomi yang tidak menentu setelah wabak penularan ini berkurangan?

Berikut ini beberapa perkara yang boleh diusahakan:

a) Sikap memperbanyakkan kebaikan

Allah taala berfirman, “Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula).” (Al-Rahman: 60)

Bagaimana perkara yang baik akan datang jikalau kita tidak menjemputnya dahulu? Oleh itu, perbanyakkanlah amal soleh dengan menjaga perhubungan baik kita dengan manusia juga dengan Allah taala dalam keadaan wabak dan ujian yang besar ini. 

Sematkan dalam jiwa bahawa Allah taala tidak akan mensia-siakan ganjaran orang yang berbuat baik. Tunaikan hak Allah, banyakkan Istighfar, bersedekah, menjaga hubungan antara manusia dan saling   memberikan sokongan moral dan mendoakan antara satu sama yang lain. Carilah peluang-peluang yang ada lagi bermanfaat dan jangan merasa terganggu dengan melihat keburukan yang ada.

Sikap ingin melakukan kebaikan walaupun dalam keadaan sukar ini, membuatkan kita lebih cekal untuk mengharungi cabaran dan meraih peluang. Malahan ia juga dapat mempersiapkan diri kita dengan sikap yang lebih positif bagi mengharungi keadaan setelah episod wabak ini.

b) Ikhtiar

Di sebalik memperbanyakkan amal kebaikan, kita juga dituntut untuk menjaga nikmat yang dianugerahi Allah taala sebagai tanda kesyukuran.

Antara usaha yang harus diambil dalam keadaan yang genting akibat penularan wabak ini ialah menjaga kesihatan badan dengan mengubah sikap kita terhadap pemakanan dan mengelakkan budaya pembaziran. Selesakan diri dengan diet pemakanan yang sihat, seimbang dan makan hanya ketika lapar, berhenti sebelum kenyang kerana pemakanan memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan.

Selain itu, elakkan diri dari menjadi punca penularan wabak tersebut atau punca masalah kehidupan lain. Sikap ini akan mengajarkan kita untuk mengurangkan “liability” (tanggungjawab) yang mungkin dihadapi.

Ambil iktibar daripada pengajaran hadis Nabi s.a.w, “Berkata baik ataupun diam”, kerana kita akan dipertanggungjawabkan dengan buruk yang pernah kita ucapkan. Sikap sebegini juga akan dapat membantu kita mengharungi kebanyakan aspek kehidupan lain seperti masalah kewangan, masa, hubungan kekeluargaan dan sebagainya.

c) Reda dengan takdir

Apabila hati kita dihiasi dengan akhlak terpuji, kita akan mudah berdamai dengan takdir. Yakinlah bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, dan setiap kejadian yang berkaitan dengan dunia, hanya bersifat sementara. Dan di sebalik ujian pasti ada ganjaran yang menanti.[11] Sikap ini bukan sahaja mampu memberikan kita semangat dan ketenangan untuk mengharungi ujian yang melanda,  bahkan ia dapat melahirkan dua sikap terpuji, iaitu sabar dan syukur.

 

Rumusan dan penutup

Sebagai rumusan, setiap daripada kita berkewajipan untuk menjaga sikap atau akhlak kerana kededuanya akan mencorakkan cara kita berinteraksi dengan keadaan sekeliling, baik di waktu senang atau susah.

Akhlaklah yang memartabatkan harga diri seseorang manusia dan disebabkan akhlak juga turunnya rahmat dan rezeki daripada Allah taala.

Semoga perkongsian ini dapat menjadi satu peringatan untuk kita sama-sama amalkan bagi menuju ke arah umat Islam yang seimbang lagi cemerlang – umattan wasatan.

 


 

[1] Al-Jurjani (t.t.), Al-Ta`rifat, 6th of October City: Maktabah Dar Al-Rayyan Li Al-Turath, ms. 189.

[2] Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Al-Dimasyqi (1994), Mau`izat Al-Mukminin Min Ihya’ Ulum Al-Din, Beirut: Dar Al-Nafais, ms. 268.

[3] Al-Bukhari, Adab Al-Mufrad, hadis no. 273

[4] Al-Dimasyqi (1994), Mau`izat Al-Mukminin Min Ihya’ Ulum Al-Din, ms. 265.

[5] Lihat surah Al-Syams: 9-10.

[6] Dennis Coon and John O. Mitterer (2008), Introduction to Psychology: Gateways to Mind and Behavior, Boston: Cengage Learning, ms. 220.

[7] Frances K. McSweeney and Eric S. Murphy (2014), The Wiley Blackwell Handbook of Operant and Classical Conditioning, Sussex: John Wiley & Sons, ms. 3. 

[8] Al-Dimasyqi (1994), Mau`izat Al-Mukminin Min Ihya’ Ulum Al-Din, ms. 271.

[9] Ibn Maskawaih (1981), Tahdzib Al-Akhlaq, Beirut: Maktabah Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, ms. 13-4.

[10] Lihat Al Imran: 173

[11] Lihat Al-Zumar: 10

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles