Dari Meja Penyunting - Edisi 33 | Wasat No. 33 / Jun 2020

wasat

meja-penyunting

Dari Meja Penyunting – Edisi 33

01 June 2020 12:00 am // Written by Pergas

Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.

Salam Eid Al-Fitr dan Eid Mubarak diucapkan kepada sekalian pembaca. Semoga Allah taala menerima segala amalan dan doa, mengampunkan segala dosa dan menjadikan kehidupan setelah Ramadan yang berlalu lebih baik dan diberkati.

Meja penyunting Wasat terus bersyukur kepada Allah taala yang mengizinkan ia untuk terus terbit dan bertemu dengan para pembaca walau pun berhadapan dengan situasi yang mencabar sekarang ini disebabkan wabak Covid-19.

Wasat edisi no. 33 / Jun 2020, menampilkan untuk para pembaca empat artikel yang diharap dapat memberi manfaat.

Artikel pertama bertajuk Wasatiyah Dalam Penggunaan Media Sosial, oleh Ustaz Huzaifah Amin. Artikel ini mengakui akan peranan media sosial dan keperluannya di masa kini. Namun, ia juga mengingatkan para pembaca bahawa penggunaan media sosial haruslah dipandu oleh ajaran-ajaran Islam agar ia tidak menjadi sumber maksiat kepada Allah taala.

Artikel kedua adalah sumbangan Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan, dengan tajuk Kesederhanaan Dalam Menghadapi Wabak Covid-19. Artikel ini membicarakan tentang mudarat yang wujud pada wabak Covid-19 dan kepentingan umat Islam Singapura untuk membuat penyesuaian-penyesuaian bagi memenuhi garis panduan pemerintah sesuai dengan sifat Islam yang anjal dan tuntutan wasatiyah. Artikel ini menjelaskan penyesuaian-penyesuaian yang dicadangkan seperti penutupan sementara masjid-masjid dan penangguhan solat Jumaat setiap minggu dan solat Terawih setiap malam di bulan Ramadan bukan sesuatu yang unik di Singapura tetapi kesepakatan ulama di merata dunia. Penyesuaian-penyesuaian ini sah di sisi syarak, bukan penggadaian prinsip agama.

Artikel ketiga ialah Dealing with Recurrent Claims of Apocalyptic Prophecies, oleh Ustaz Muhammad Abdul Mateen Hisham. Artikel ini membicarakan tentang kecenderungan sebahagian umat Islam terhadap isu-isu akhir zaman dan Kiamat yang menatijahkan sikap yang negatif seperti fatalisme dan pesimisime. Penulis akur bahawa mengetahui tentang akhir zaman dan Kiamat adalah sesuatu yang perlu kerana ia berkaitan dengan salah satu rukun iman yang penting. Namun penulis mengingatkan bahawa tujuan Nabi s.a.w mengingatkan umat Islam akan Kiamat dan tanda-tandanya bukanlah untuk memupuk sifat negatif seperti pesimisme dan fatalisme kerana Islam pada dasarnya adalah agama yang menganjurkan optimisme dalam hidup.

Artikel terakhir ialah Islam and Individuals with Special Needs, oleh Ustaz Muhammad Haniff Hassan. Artikel ini berhujah bahawa konsep Rahmah Bagi Sekalian Alam dalam Islam meliputi golongan yang lemah dan lain upaya. Namun aplikasinya di institusi-insititusi agama di Singapura masih jauh dari yang ideal kerana hingga kini golongan lain upaya masih terus terpinggir daripada program-program dan khidmat-khidmat yang ditawarkan. Hingga kini pun, belum ada kejelasan akan pelan dan rancangan untuk mereka. Hal ini perlu dibaiki.

Selamat membaca. Bacalah dengan nama Tuhanmu….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles