newest article

Takaful dan Insurans di Singapura (Bahagian Kedua)
15 November 2018 4:59 am // Written by Nurul Hidayah Binte Kamis;
Terdapat dua prinsip iaitu Konsep tabarruk dan Konsep wakalah.
1. Konsep tabarruk
- Merupakan antara ciri penting yang menjadi landasan syariah dalam perjanjian takaful dan sebahagian daripada akad takaful yang berasaskan prinsip mudarabah.
- Bermaksud menderma, membuat kebajikan atau mengurniakan dengan reda dengan tujuan berbakti dan membantu.
- Selari dengan konsep takaful yang bererti saling jamin-menjamin. Justeru, sistem perniagaan yang berkonsep sebegini merupakan rancangan perlindungan bersama berasaskan perpaduan, rasa tanggungjawab dan perhubungan persaudaraan antara para peserta.
- Peserta takaful yang memeteraikan perjanjian bersetuju untuk memberikan sebahagian tertentu daripada sumbangan atau caruman takafulnya untuk membantu dan menanggung peserta yang ditimpa musibah (kematian, bencana, malapetaka dan seumpamanya) sebagai balasan kepada penyertaan dalam perkhidmatan takaful secara tabarruk (Joni Tamkin Borhan, 2010: 45).
- Dalam konteks perniagaan, takaful bermaksud akad yang khusus. Wang yang ditabarrukkan oleh peserta hanya digunakan untuk membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah atau untuk manfaat para peserta takaful sahaja.
- Dalam hal ini, akad takaful menetapkan bila dan keadaan syarikat atau pengendali perniagaan takaful sebagai pemegang amanah boleh menggunakan hak dan kuasa yang diberikan oleh peserta untuk menggunakan wang yang ditabarrukkan itu.
- Dalam amalan takaful di bank-bank di Singapura, premium yang dibayar pemegang polisi disimpan di dalam ‘dana tabarruk’ (‘dana sumbangan’ – untuk tujuan yang ditetapkan). Dana ini akan digunakan untuk membayar tuntutan dan kos untuk skim operasi. Dana tersebut akan diurus dan dipantau oleh pasukan pengurus risiko dari United Overseas Insurance.
2. Konsep wakalah
- Ia merupakan pemasaran yang penting dalam takaful di mana agen pengendali takaful dapat meluaskan pasarannya dengan lebih cepat dan meluas.
- Dijalankan di Singapura untuk memastikan perkhidmatan yang lebih baik. Agen pengendali yang menjadi ‘contact point’ antara peserta dan juga syarikat, bertanggungjawab untuk memberikan penerangan dan khidmat nasihat tentang kepentingan mendapatkan perlindungan takaful dan membantu peserta dalam urusan penyertaan dan juga tuntutan manfaat. Mereka mendapat komisyen juga insentif tanpa mengambil keuntungan daripada syarikat. Justeru, sebahagian kos syarikat dan keuntungan dapat dijangka.
- Yuran wakalah (‘upfront fee’) akan dikenakan apabila model wakalah digunakan. Sumbangan kasar peserta ditolak yuran wakalah ini akan dimasukkan ke dalam akaun peserta atau dana risiko bergantung kepada jenis pelan yang disertai. Melalui yuran wakalah ini, syarikat terlebih dahulu sudah mendapat pendapatan untuk menguruskan perniagaannya dan sebahagiannya dikira sebagai pendapatan untuk mereka).
- Agen-agen takaful harus mengikuti syarat-syarat sesuatu transaksi yang dilakukan dengan mengambil kira rukun dan syarat jual beli. Selain menjaga soal etika, mereka juga harus memahami tentang konsep wakalah, takaful dan juga kontrak-kontrak yang tertera.
Produk-produk Insuran HSBC
HSBC Insurance yang mengambil alih dari Keppel Insurance pada tahun 2003 mempunyai dua produk; Takaful Warisan dan Pengurus Aset Takaful II.
1. Takaful Warisan (Pembayaran bulanan atau tahunan)
- Ditawarkan kepada pelanggan yang ingin melindungi ahli keluarga di masa hadapan agar mereka tidak dibebani dengan masalah kewangan apabila berlaku kematian pada ahli keluarga.
- Takaful warisan bertujuan untuk memberikan ketenangan fikiran dan keselesaan dari segi kewangan kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga.
- Peserta dapat meraih faedah berikut dari Takaful Warisan :
- Sumbangan fleksibel yang dimampui peserta dengan pelaburan serendah S$50 sebulan atau S$600 setahun secara tunai.
- Menikmati manfaat perlindungan hayat Takaful semasa mula melabur. Mereka boleh memilih untuk menambah perlindungan untuk dirinya seperti manfaat penyakit kritikal, manfaat wang pulangan hospital dan perlindungan kemalangan yang menyeluruh untuk keperluan perlindungan.
- Kemudahan mengeluarkan pelaburan untuk wang tunai pada bila-bila masa dengan syarat terdapat nilai tunai yang cukup di dalam pelan peserta pada masa pengeluaran.
- Perkongsian lebihan dana – hasil daripada dana tabarruk yang akan diagihkan setiap dua tahun pada permulaan bulan Ramadan.
- Menyucikan pelaburan peserta di mana sebahagian daripada dividen peserta, yang melambangkan kadar pendapatan yang tidak menurut kehendak Syarak, akan diasingkan dan didermakan kepada badan-badan kebajikan. Proses ini sejajar dengan amalan kewangan Islam antarabangsa dalam urusniaga ekuiti.
2. Pengurus Aset Takaful II (Takaful Asset Manager) (Pembayaran tunggal)
Ia merupakan pelan berkait pelaburan secara sumbangan tunggal, iaitu:
- Peserta diberi kemudahan untuk melabur dalam pelbagai jenis dana HSBC yang diluluskan Syarak dengan memilih pelabur wang mengikut selera risiko dan matlamat perancangan kewangan tersendiri.
- Pelan Pengurus Aset Takaful II memberi peserta faedah-faedah berikut:
- Sumbangan yang mampu ditanggung dan fleksibel dengan peserta melabur serendah S$9,000 menggunakan tunai atau dana daripada Skim Pelaburan Tabung Simpanan Pekerja (CPF). Peserta boleh menokok pelaburan ke dalam pelannya pada bila-bila masa.
- Perlindungan Takaful Hayat di mana keluarga peserta akan menerima faedah Takaful yakni sekurang-kurangnya 100% daripada jumlah pelaburannya jika berlaku kematian yang tidak dijangka. Faedah Takaful dibiayai melalui yuran tabarruk sebanyak S$10 daripada sumbangan tunggal peserta. Atas prinsip Takaful, tabarruk ialah derma daripada setiap peserta dalam pelan ini bagi membantu para peserta lain sekiranya berlaku kematian.
- Kecairan sumbangan peserta. Wang peserta tidak terikat kepada sebarang tempoh tetap apabila peserta melabur dalam pelan Takaful pelaburan ini. Pelaburannya untuk mendapatkan tunai boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dengan syarat pelannya mempunyai nilai tunai yang mencukupi sewaktu pengeluaran.
- Menyucikan pelaburan peserta di mana sebahagian daripada dividennya, yang melambangkan kadar pendapatan yang tidak menurut kehendak Syarak, akan diasingkan dan didermakan kepada badan-badan kebajikan. Proses ini sejajar dengan amalan kewangan Islam Antarabangsa dalam urusniaga ekuiti.
Undang-undang berkaitan dengan Takaful
- MAS (Monetary Authority of Singapore) yang tanggungjawab untuk mengawasi sektor insurans di Singapura, ditubuhkan sebagai badan undang-undang pada tahun 1971 di bawah Pihak Berkuasa Kewangan Singapura. Jabatan Insurans Kawalan (ISD) dengan MAS berfungsi sebagai badan dalam undang-undang Insurans dan membina industri insurans yang sihat dan progresif di Singapura. Undang-undang insurans mempunyai keperluan yang lengkap dalam memperluaskan lagi skop pelaburan. MAS juga diberi kuasa untuk membuat peraturan tentang instrumen kewangan dan perakaunan perkakas dan penilaian
- Singapura diakui dunia sebagai antara pusat kewangan terkemuka dan paling kompetitif, termasuk dalam bidang insurans. Namun, industri insurans dalam akaun Singapura adalah kurang dari 6 peratus daripada jumlah aset sektor kewangan. Agen insurans atau takaful di Singapura haruslah mempunyai lesen yang diperakui oleh pemerintah Singapura sebagai penasihat kewangan yang bertauliah (Financial Advisors Act) di mana lesen tersebut memberi izin dalam undang-undang bahagian 13 dalam rangka penasihat kewangan, dan ‘penasihat kewangan yang berlesen’.
- Justeru, operasi insurans konvensional dan takaful di Singapura adalah sama. Keduanya ditetapkan oleh Akta Insurans (Insurance Act) dan Akta Penasihat Kewangan (Financial Advisors Act) yang tidak boleh mengetepikan 2.5% daripada pelaburan untuk Zakat. Amat payah untuk menerima Takaful sebagai produk kewangan Syariah jika dasar prinsip kewangan Syariah iaitu zakat tidak digabungkan di dalam produk tersebut (Sadali Rasban, 2006: 140).
- Takaful di Singapura haruslah mempunyai “Zakat Friendly Device” yang secara automatik menjaga hak golongan lapan asnaf seperti maksud firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 103:
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”
Tanpa “Zakat Friendly Device”, golongan yang kaya akan bertambah kaya dan golongan yang miskin akan terus berada dalam kemiskinan. Dari itu takaful tidak ada perbezaan sama sekali dengan amalan Insurans Konvensional.
- Elemen yang penting bagi takaful iaitu“Estate Transfer Mechanism” haruslah selaras dengan undang-undang sivil dan Syariah. Elemen ini akan memindahkan tuntutan insurans kepada individu atau pihak sebagaimana yang dimaksudkan tertanggung ketika ia menyertai dalam rancangan insurans. Apa gunanya menyertai skim insurans, jika tuntutan yang dibuat tidak memenuhi maksud tertanggung dalam mendapatkan insurans. Contohnya, seseorang menyertai dalam skim insurans untuk memberikan kemudahan dari segi kewangan untuk isteri dan anak perempuannya apabila dia meninggal. Akan tetapi seperti yang kita ketahui, niat memainkan peranan penting dalam perlakuan seseorang individu seperti yang dinyatakan di bawah ini .
Undang-undang Akta 1:
“Hal-hal yang ditentukan sesuai dengan niat”
Undang-undang ini diambil dari surah al-Syura ayat 20 yang bermaksud:
“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakiNya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”
- Insurans syariah harus dapat memenuhi maksud tertanggung sesuai dengan syarak selaras dengan tujuan syariah. Kegagalan melakukannya bererti insurans tidak berbeza dari insurans konvensional (Sadali Rasban, 2006: 152).
- Dalam insurans Takaful hari ini, baik di Singapura mahupun Malaysia, tidak terdapat “Zakat Friendly Device” dan “Real Estate Mechanism”. Tanpa kedua-dua elemen itu, amatlah sukar untuk menerima bahawa takaful adalah insurans Syariah. Itu hanya insurans lain yang dibenarkan sesuai dengan Syariah.
Kesimpulan
- Takaful merupakan sistem yang baru di Singapura. Namun ia membuktikan bahawa Islam merupakan sebuah agama yang syumul dan sistematik. Walaupun matlamat takaful adalah sama dengan insurans konvensional, iaitu untuk membantu pihak yang ditimpa musibah di dalam suatu kumpulan, namun prinsip yang dijalankan adalah bersih daripada riba dan menzalimi pihak lain.
- Ulama’ bersepakat menyatakan perlindungan kepada anggota masyarakat bagi menghadapi kemungkinan bencana, boleh disediakan selaras dengan kehendak Syariah adalah melalui sistem takaful. Berdasarkan prinsip ‘aqilah, al-qasamah dan akad muwalah, sistem takaful membuktikan keadilan kepada peserta dan pengendali takaful. Pengendali takaful tidak boleh menggunakan wang bayaran peserta tanpa kebenaran mereka. Setiap keuntungan bagi syarikat takaful berdasarkan kebijaksanaan dan keusahawanan pengurus syarikat untuk mengendalikan syarikat agar terus mendapat keuntungan tanpa mengambil sebarang keuntungan daripada wang peserta.
- Walaupun syarikat insurans telah lama dijalankan di seluruh dunia termasuk Singapura, syarikat takaful masih belum dapat menandingi syarikat insurans konvensional meskipun sistem takaful menawarkan banyak manfaat untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.
Rencana ini dipetik dari kajian ilmiah penulis yang bertajuk “Takaful dan Insurans Konvensional serta Aplikasinya di Singapura”.
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.
Rujukan :
- Al-Quran
- Aly Khorsid. (2004). Islamic Insurance : A Modern Approach to Islamic Banking. New York : Taylor & Francis.
- Asma Ab. Rahman et. al. (2008). Sistem Takaful di Malaysia : Isu-Isu Kontemporari. Kuala Lumpur : Universiti Malaya.
- Engku Rabiah Adawiah Tengku Ali. (2010). Panduan Asas Takaful : Panduan Tentang Falsafah dan Prinsip Takaful Berdasarkan Shariah. Kuala Lumpur : CERTS Publications Sdn. Bhd.
- Habibullah Khan & Omar K. M. R. Bashar. (2008). Islamic Finance : Growth and Prospects in Singapore.
- Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM). (2010). Asas Takaful Panduan-Panduan. Kuala Lumpur : Islamic Banking and Finance Institute Malaysia.
- Junaidah Ahmad Ghazali. (2009). Dewan Ekonomi, Mei Jilid 16. Selangor Darul Ihsan : Dawama Sdn Bhd.
- Mohd. Zamri Yasin. (2008). Sejarah Penubuhan dan Penglibatan Orang-Orang Bukan Islam di Malaysia. Kuala Lumpur : Syarikat Takful Malaysia Berhad.
- Muhammmad Hisyam Mohammad. (2008). Kad Kredit Islam : Penggunaan Konsep Takaful oleh Warga Asing di Malaysia. Tesis Prasiswazah, Jabatan Syariah dan Ekonomi. Akademi Pengajian Syariah, Universiti Malaya.
- Muhammad Al-Sayyid Yusuf. (2008). Tafsir Ekonomi Islam Konsep Ekonomi Al-Quran. Johor Darul Takzim : Perniagaan Jahabersa.
- Sadali Rasban. (2006). Personal Wealth Management For Muslims (PWMM). Singapore : HTHT Advisory Services Pte Ltd.
- Zaharuddin Abd. Rahman. (2010). Wang Anda dan Islam : Halal dan Haram dalam Kewangan dan Perbankan. Selangor Darul Ihsan : True Wealth Sdn. Bhd.
- Zuriah Abdul Rahman et. al. (2009). Takaful the 21st Century Insurance Innovation. Shah Alam : McGraw-Hill Sdn. Bhd.
KEWANGAN ISLAM SINGAPURA TAKAFUL MASYARAKAT PERSPEKTIF ISLAM ISLAMIC FINANCE

