wasat

Islam Sederhana Arab Saudi: Sumbangan Yang Terbatas?
01 October 2018 1:29 am // Written by Syed Huzaifah Bin Othman Alkaff
Salah satu perdebatan asas di dalam wacana kesederhanaan adalah pentakrifan maknanya. Masyarakat Muslim berusaha untuk menentukan makna ‘kesederhanaan dalam Islam’ agar sesuai dengan konteks sosial mereka sendiri. Seperti kes di Arab Saudi, usaha kesederhanaan mereka ketika ini berkait rapat dengan perkembangan sosioekonominya. Oleh itu, ia tidak menyeluruh kerana ia wujud dalam kekangan struktur politik negara. Ia juga tidak berasaskan teologi – walaupun ia berdiri atas nilai-nilai Islam.
Kesederhanaan dalam Islam memerlukan asas teologi untuk mentakrifkannya kerana konsep ini pada asasnya merupakan satu konsep keagamaan. Oleh itu, sumbangan untuk mentakrifkan kesederhanaan dalam Islam berasaskan konteks keadaan masyarakat sahaja tidak wajar dan tidak berkesan tanpa asas teologi.
Berita dan laporan mengenai usaha Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman (MBS) untuk membebaskan negaranya daripada fahaman Islam yang tegar kepada “Islam sederhana” menimbulkan persoalan dan wacana mengenai usaha baru di Arab Saudi ini.
Putera Mahkota MBS akur dengan sikap tidak bertoleransi yang berlaku dalam masyarakatnya sendiri dan telah berikrar untuk menyederhanakan wacana agama masyarakatnya.[2]
Dalam hujahnya, Arab Saudi sebelum ini bukanlah sebuah negara Islam tegar sebaliknya hanya menjadi seperti sekarang ini dalam beberapa dekad yang lalu terutama sekali selepas kejadian-kejadian pada 1979.[3] Beliau menambah bahawa para pemimpin Arab Saudi sebelum ini tidak mampu menangani peristiwa-peristiwa geopolitik pada masa itu dan beliau melihat sikap ultrakonservatif beragama hanyalah satu respon yang bersifat reaksioner terhadap peristiwa-persitiwa itu.
Beliau juga menyedari bahawa idea ultrakonservatif telah menghalang perkembangan sosioekonomi negara, terutama dalam memenuhi keperluan generasi muda. Mereka dibelenggu masalah pengangguran yang tinggi walaupun memegang kelayakan pendidikan tinggi.[4]
Untuk menangani masalah ini, perlu bagi Arab Saudi untuk beralih dari setakat bergantung kepada minyak kepada mempelbagaikan ekonomi mereka. Ini bermakna perlu bergantung kepada ekonomi bukan minyak atau bukan berasaskan tenaga yang akan membuka ruang untuk lebih banyak pelaburan asing dan menerima kehadiran mereka di Arab Saudi.[5]
Ini juga merupakan sebahagian daripada kempen Wawasan Arab Saudi 2030 yang merangkumi perancangan rapi bagi pembaharuan tadbir urus Arab Saudi dan keadaan sosio-ekonomi.
Perubahan dasar peringkat domestik dan agama
Dalam percubaan Putera Mahkota MBS untuk menyederhanakan wacana Islam Saudi, beliau merubah dasar domestik dan agama negara. Beliau melupuskan kuasa penangkapan dari Majlis Penggalak Kebaikan dan Pencegah Kemunkaran dan membendung fungsi-fungsinya yang terlalu mengawal;[6] beliau melantik ulama yang berfahaman lebih sederhana ke dalam Majlis Ulama Tertinggi[7]; beliau membenarkan perhimpunan awam seperti konset muzik dan tayangan filem.[8]
Beliau juga membatalkan satu isu yang telah merosakkan reputasi hak asasi negaranya dengan memansuhkan pengharaman ke atas para pemandu wanita[9] yang telah menjadi satu petanda penting tahap ultrakonservatif masyarakat Arab Saudi sebelum ini.
Usaha ini bertujuan untuk meliberalkan dan memodenkan Arab Saudi dengan harapan untuk membuka dan mengubah Arab Saudi menjadi sebuah pusat kuasa pelaburan antarabangsa, dengan mewujudkan persekitaran yang lebih mesra perniagaan dan mampu menarik jumlah besar modal global.[10]
Manifestasi usaha ini jelas kelihatan di dalam video pemasaran projek Megacity Vision mbs2030 Neom 10,[11] yang menggambarkan peranan wanita dan menekankan kemewahan dan keterbukaan sosial. Ia menggambarkan betapa pentingnya pembaharuan gaya hidup rakyat Saudi dan menyegerakan perubahan dinamik agama serta sosioekonomi masyarakat Arab Saudi.
Perubahan dasar domestik Arab Saudi, terutama sekali dari sudut agama, membolehkan Putera Mahkota MBS mengubah polisi-polisi negara yang bersifat ultrakonservatif yang telah lama berakar dalam masyarakatnya. Inilah yang menjadi motivasi di sebalik usaha beliau untuk menyederhanakan Islam di negara itu.
Islam Sederhana ala Arab Saudi: Seberapa jauh?
Putera Mahkota MBS berkata langkah yang beliau ambil adalah untuk mengembalikan Arab Saudi ke era sebelum tahun 1979 di mana beliau mendakwa ia lebih terbuka dan sederhana.
Walau bagaimanapun, idea ultrakonservatif – yang sering dikaitkan dengan Ibn Abdul Wahhab – telah berakar dalam masyarakat Arab sejak pakatan Ibn Abdul Wahhab-Saud yang mencipta dan mengatur kepemimpinan keagamaan dan politik Arab Saudi. Pakatan ini terus dipelihara oleh keturunan Ibn Abdul Wahhab iaitu keluarga besar Al Al-Shaykh. Walaupun terdapat perubahan dalam dasar domestik dan agama, sifat ultrakonservatif Arab Saudi masih terus teguh terutama yang berkaitan dengan undang-undang dan hubungan dengan agama lain.
Amalan-amalan ultrakonservatif yang masih berterusan, termasuk prinsip lelaki sebagai penguasa dalam keluarga, menggambarkan Syiah dan Sufi Islam menggunakan istilah-istilah yang jelek di dalam buku-buku, undang-undang yang mentakrifkan ateis sebagai pengganas dan menasihatkan orang Islam supaya tidak bergaul dengan orang-orang ‘kafir’ seperti orang Yahudi dan Kristian.[12]
Kajian sebuah badan hak asasi manusia bukan kerajaan, Human Rights Watch, mengenai buku-buku teks agama yang dihasilkan oleh Kementerian Pendidikan Arab Saudi dalam tahun 2016-2017 menyimpulkan bahawa rasa benci terhadap orang-orang yang berbeza iman[13] telah disemai ke dalam diri para pelajar serendah gred pertama di sekolah Arab Saudi.
Pandangan ultrakonservatif dan eksklusif ini dibina atas doktrin Wahhabi. Walaupun bentuk asal doktrin ini tidak mengajak kepada keganasan, ia telah diguna pakai sebagai asas untuk membentuk konsep ‘agama lain’ sebagai musuh. Inilah teras pembentukan asas kekerasan kumpulan pengganas seperti IS dan Al Qaeda.
Doktrin ini kemudiannya berkembang menjadi retorik anti-Syiah, anti-Iran dan anti-Barat yang mengukuhkan lagi asal sifat ultrakonservatif dan eksklusifnya. Seterusnya, muncul pula dari doktrin ini ajaran kafir-mengkafirkan yang memberi justifikasi bagi melakukan kekerasan dan pertumpahan darah.
Semua doktrin-doktrin di atas kemudiannya dieksport keluar dari Arab Saudi ke pelbagai negara Islam lain di mana ia membawa hasil yang sama, iaitu keganasan agama, tiada sikap bertolak ansur dan pemikiran ekslusivisme.[14] Ini adalah antara faktor bagaimana persekutuan keluarga Saud dengan idea Wahhabi memainkan peranan mereka dalam pembangunan jihadisme dan keganasan global.
Putera Mahkota MBS melihat perkara ini dan usaha terakhirnya dalam memperbetulkan keadaan adalah untuk menghantar mesej kuat tentang kedudukan Saudi sebagai sekutu Barat dalam usaha anti-keganasan global.[15] Keupayaan beliau mewujudkan kesederhanaan ini mewakili hasratnya untuk tidak hanya mengubah minda rakyat bagi memodenkan dan meliberalkan Arab Saudi, tetapi juga untuk meyakinkan persekutuan globalnya bahawa Arab Saudi tidak lagi menginginkan idea ultrakonservatif yang berperanan dalam membangkitkan fahaman radikal dan jihadisme.
Usaha mewujudkan kesederhanaan yang ingin dicanangkannya ialah yang berpusat pada nilai-nilai Islam yang sederhana, bertolak ansur, cemerlang, berdisiplin, ekuiti, ketelusan, sifat ihsan serta nilai-nilai positif kebersamaan yang lain[16] yang telah wujud sekian lama dalam tradisi agama Islam. Ini jelas ditonjolkan dalam usahanya untuk membangunkan sebuah masyarakat progresif dan moden, terutamanya dengan generasi muda di dalam kempen Wawasan 2030.
Namun, persoalannya adalah sejauh mana beliau boleh menerajui usaha tersebut demi untuk memenuhi matlamat ini?
Keterbatasan dalam Islam Sederhana ala-Arab Saudi
Struktur politik Arab Saudi merupakan faktor pertama dan paling mencabar dalam usaha-usaha Putera Mahkota MBS mewujudkan kesederhanaan.
Kerajaan Arab Saudi dibangunkan berpaksikan dua tiang yang didirikan oleh pakatan Ibn Abdul Wahhab-Saud: keluarga Al-Saud yang mengurus urusan politik, dan keluarga Al Al-Shaykh (dari tradisi Ibn Abdul Wahhab) yang mengendalikan urusan agama.[17] Sistem ini telah dipelihara selama lebih dari 250 tahun, di mana masyarakatnya sendiri telah diterapkan dengan pemahaman tentang susunan politik-agama negara itu. Walaupun seorang ulama yang mengikut idea Wahhabi muncul dalam program berita televisyen Arab Saudi dan melarang pembunuhan orang awam serta mengecam langkah Osama bin Laden yang mewajarkan serangan 9/11 sebagai jihad, ramai pemuda warga Arab Saudi menghubungi stesen televisyen tersebut dan menentang ulama berkenaan. Mereka memberikan alasan bahawa serangan 9/11 adalah sebahagian daripada jihad yang benar terhadap Barat.[18]
Keluarga besar Al Al-Shaykh dianggap sebagai panduan agama kerajaan dan mereka terkenal sebagai orang-orang yang begitu mematuhi idea-idea Ibn Abdul Wahhab. Walaupun dengan adanya usaha-usaha Putera Mahkota MBS sekarang ini, keluarga besar Al Al-Shaykh tetap berpegang teguh pada isu-isu penting dan terus menggunakan kuasa mereka dalam pembentukan dasar-dasar agama kerajaan. Contoh terkini adalah larangan menziarahi Gua Hira’ yang dikenakan ke atas jemaah haji. Ia mencerminkan fahaman ultrakonservatif yang masih berterusan kerana menilai ziarah sedemikian berkemungkinan besar membawa kepada kesesatan.[19]
Contoh ini menunjukkan betapa sukarnya untuk Putera Mahkota MBS melangkah jauh dalam usaha beliau mewujudkan kesederhanaan kerana keluarga besar Al-Shaykh selaku tunggak kedua negara yang kuat, terus bertindak sebagai benteng terhadap dasar-dasar agama yang ultrakonservatif di dalam negara.
Identiti nasionalis kerajaan juga termasuk ciri-ciri keagamaannya yang sudah berakar umbi dalam fahaman Wahabi. Dasar-dasar asing mereka juga mencerminkan hal yang sama. Industri minyak yang berkembang pesat pada tahun 1970-an dan persaingan politik antara Arab Saudi dengan Iran yang bermazhab Syiah telah membawa kepada banyak pembangunan masjid-masjid yang dibiayai oleh Arab Saudi serta kegiatan agama yang meluas di seluruh dunia, yang mana sering dilihat sebagai percubaan untuk menyebarkan ajaran fahaman Wahhabi.[20]
Cara sedemikian memastikan bahawa Arab Saudi dapat mengekalkan kedudukan mereka sebagai pusat agama di Timur Tengah dan rujukan utama mengenai Islam di peringkat global. Kesan ini masih dirasakan hari ini. Sebagai contoh, Arab Saudi telah menerima pajakan sewa bebas selama 99 tahun bagi Masjid Besar di Brussels sebagai pertukaran bagi harga minyak yang lebih murah untuk Belgium. Ini termasuk membenarkan imam yang disokong Arab Saudi untuk berkhidmat kepada masyarakat Islam di Brussels. Sungguhpun demikian, masjid tersebut menarik balik imam-imam tersebut kerana menyebarkan ajaran yang dikaitkan dengan fahaman Wahhabi, yang dipercayai membawa kepada penyebaran ideologi-ideologi radikal. Selaras dengan usaha menampilkan Islam Sederhana, Putera Mahkota MBS menerima secara baik keputusan yang dibuat oleh Brussels.[21]
Namun, telah banyak sekolah-sekolah sudah ditubuhkan dan para pendakwah Wahhabi dikirim di merata dunia. Sekolah-sekolah dan para pendakwah tersebut menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap ajaran-ajaran fahaman Wahhabi yang di selindung di sebalik nama Salafi.
Meskipun dengan adanya perubahan pada dasar-dasar asing Arab Saudi, perkembangan geopolitik di rantau itu akan tetap menyulitkan keadaan Arab Saudi. Penglibatannya yang berterusan dalam perang di Yaman menunjukkan motivasi politik yang dipegang oleh Arab Saudi untuk mengekalkan dirinya sebagai kuasa besar agama di rantau itu. Ini sudah beberapa kali dibukitkan seperti peristiwa Mekah ditawan, kebangkitan Ikhwanul Muslimin, penyebaran jihadisme ke peringkat global, perang saudara di Syria dan yang terbaru, perikatan yang dipimpin oleh Arab Saudi dalam perang di Yaman.
Contoh-contoh ini menunjukkan kecenderungan Arab Saudi untuk mengukuhkan identiti mereka sebagai kuasa besar politik dan agama yang termasuk menegaskan ciri-ciri serta jenama Islam mereka sendiri. Lantaran itu, agak sukar untuk mengharapkan perubahan besar dalam dasar-dasar asing Arab Saudi atau bagaimana ia melihat dirinya di peringkat global.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa gagasan ultrakonservatif dari fahaman Wahhabi menjunjung nilai-nilai yang kuat kepada dakwaan Arab Saudi sebagai kuasa besar agama di pentas global. Walaupun kalau diperhatikan Arab Saudi mengambil pendekatan lebih liberal terhadap perkembangan-perkembangan geopolitik terkini seperti contoh Arab Spring, ia masih fokus kepada perubahan di peringkat domestik dan bukan di peringkat antarabangsa.
Ketiga-tiga cabaran utama yang dihadapi oleh Putera Mahkota MBS dalam usahanya menggalak fahaman Islam Sederhana tidak berupaya membolehkan beliau untuk pergi lebih jauh – sekurang-kurangnya buat masa ini.
Keterbatasan disebabkan oleh struktur asal Arab Saudi akan menghambat percubaan Putera Mahkota MBS untuk “menyederhanakan” Islam Arab Saudi. Oleh itu, kesederhanaan Islam Arab Saudi bukanlah satu konsep yang lengkap mahupun holistik walaupun cuba didirikan di atas prinsip Islam.
Walaupun usaha Putera Mahkota MBS didorong oleh objektif politik dan sosioekonomi, sumbangannya kepada wacana kesederhanaan masih kurang. Ini boleh dikaitkan dengan kekurangan penyertaan oleh sarjana-sarjana agama yang berpegang pada fahaman sederhana dalam membangunkan idea tersebut kerana bidang agama di negara itu masih dikuasai oleh para ulama konservatif dari keluarga besar Al Al-Shaykh.
Usaha-usaha lain menyederhanakan Islam
Arab Saudi bukanlah satu-satunya negara yang cuba untuk menwujudkan Islam Sederhana. Terdapat usaha-usaha yang dilakukan oleh masyarakat Islam di seluruh dunia untuk membentuk Islam Sederhana dengan menyesuaikan pemahaman tentang Islam mengikut konteks kehidupan umat Islam hari ini. Sesetengah usaha mencakupi serantau, sementara sesetengah yang lain melibatkan komuniti yang khusus.
Usaha terbesar ialah Perisytiharan Amman yang melibatkan 552 tandatangan dari 84 buah negara.[22] Walaupun ia tidak dilabel sebagai usaha untuk “menyederhanakan” Islam, ia menawarkan tiga aspek yang menunjukkan bentuk Islam yang sederhana: 1) menerima pelbagai mazhab fiqah terkemuka dan teologi termasuk Syiah, Ibadi dan Zahiri. Ini bermakna, tidak boleh mengisytiharkan mereka sebagai murtad atau menumpahkan darah, kehormatan dan harta mereka. Dalam masa yang sama, tidak dibenarkan untuk mengisytiharkan mana-mana kumpulan lain yang mengisytiharkan diri mereka sebagai Muslim dan percaya kepada Tuhan sebagai seorang yang murtad atau bukan Islam; 2) Mengaku bahawa kesamaan antara pelbagai mazhab adalah sangat ketara, dan perbezaannya hanya berkaitan dengan isu-isu sampingan, yang menurut Perisytiharan Amman disifatkan sebagai rahmat; 3) Menekankan bahawa seseorang individu perlu memenuhi pelbagai kelayakan peribadi yang diperlukan oleh setiap mazhab Islam dan mematuhi metodologi sesebuah mazhab sebelum mengeluarkan fatwa.[23]
Usaha yang kedua ialah, Surat Terbuka Untuk Baghdadi. Walaupun dianggap sebagai usaha melawan ideologi pelampaun, ia telah menyumbang kepada usaha “menyederhanakan” Islam disebabkan pembentangan idea dan sikap sederhana di dalam agama dibandingkan idea ultrakonservatif dan kekerasan kumpulan pengganas, IS, yang diketuai oleh Abu Bakr Al-Baghdadi.
Surat Terbuka itu telah menetapkan 24 prinsip dan nilai agama dalam pelbagai isu.[24] Antaranya ialah perhambaan, hak asasi wanita, perkara-perkara di dalam hukum agama dan banyak lagi.
Ini bertujuan untuk mencerminkan Islam yang benar dan yang mempunyai asas, prinsip dan nilai yang tinggi, tidak seperti “Islam” yang dimanipulasikan oleh kumpulan pengganas itu. Oleh itu, cara ini juga menunjukkan bentuk usaha lain untuk “menyederhanakan” Islam. Walaupun berbeza dengan Perisytiharan Amman, kedua-dua usaha menjunjung nilai-nilai yang sama, iaitu toleransi, inklusif, mengelak kebencian dan ketaksuban agama.
Usaha yang terbaru untuk “menyederhanakan” Islam adalah Perisytiharan Marrakesh 2016. Ia memberi fokus kepada pemeliharaan hak-hak kumpulan-kumpulan agama minoriti di negara-negara yang majoritinya Muslim.
Perisytiharan ini menggabungkan nilai-nilai yang digambarkan dalam Piagam Madinah yang diisytiharkan oleh Nabi Muhammad (s.a.w) sendiri. Ia menuntut agar semakan semula dilakukan ke atas apa-apa bahan atau kurikulum pendidikan yang menggalakkan pencerobohan dan ekstremisme. Ia juga menggalak di setiap peringkat, baik dari akar umbi mahupun kerajaan (top-down and ground-up), untuk memastikan keadilan terhadap kumpulan agama minoriti di negara-negara Islam. Selain menyingkap kembali kebersamaan di dalam hidup secara bermasyarakat, seperti yang telah diamalkan berkurun dan berabad lamanya, ia dapat memulihkan kepercayaan antara masyarakat berlainan agama.[25] Paling penting, pengisytiharan ini menegaskan supaya agama tidak digunakan untuk menyerang hak-hak kumpulan agama minoriti di negara-negara Islam.[26] Usaha ini juga mewakili nilai-nilai yang dipegang oleh Perisytiharan Amman dan Surat Terbuka Untuk Baghdadi. Semua usaha ini boleh dianggap sebagai melambangkan usaha “menyederhanakan” Islam.
Dari segi usaha negara pula, usaha “menyederhanakan” Islam di Malaysia telah dicemari dengan tentangan daripada golongan-golongan tegar yang memegang kuasa politik. Cabaran di Malaysia adalah dalam konservatisme yang kian meningkat di kalangan penduduk yang dirangsang oleh pendekatan autoritarian kerajaan dalam isu-isu agama.[27]
Usaha G25, iaitu sekelompok bekas penjawat awam dan diplomat tinggi, untuk menerbitkan sebuah buku yang mempromosikan Islam sederhana telah diharamkan oleh kerajaan. Buku bertajuk Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy telah ditulis untuk mengatasi sikap tidak bertolak ansur yang disokong atas nama agama dan dengan sokongan negara. Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi, telah menandatangani larangan itu atas alasan ia “mungkin memudaratkan ketenteraman awam” dan “mungkin mencetuskan pelbagai pendapat awam”.[28] Oleh itu, usaha kesederhanaan di Malaysia menjadi begitu terbatas.
Di Singapura, usaha mewujudkan kesederhanaan dilakukan di pelbagai peringkat sejak tahun 2004.[29] Masyarakat Islam di Singapura, khususnya para agamawan, terus mengembangkan kesusasteraan akademik mengenai perkembangan konsep Islam sederhana. Melalui penerbitan buku, pendidikan awam, persidangan akademik dan forum, konsep Islam yang sederhana dibangunkan secara khusus untuk menggalak pandangan-pandangan inklusif yang menekankan sejarah kehidupan bermasyarakat yang telah membangunkan sebuah negara.[30] Di samping itu, pemerintah Singapura telah mengambil banyak tindakan keras terhadap para pendakwah asing yang dianggap menyebarkan mesej eksklusif dan tidak bertolak ansur.[31] Ismail Menk dari Zimbabwe, Haslin Baharim dari Malaysia dan Encik Yusuf Estes telah diharamkan daripada menyampaikan ajaran agama di Singapura kerana berpegang pada pandangan-pandangan yang mengancam masyarakat Singapura yang hidup berbilang agama. Dengan cara ini, usaha kesederhanaan di Singapura menyerupai usaha Perisytiharan Marrakesh, di mana tumpuan utama diberikan kepada peranan masyarakat Islam yang hidup di tengah-tengah masyarakat majmuk.
Ternyata, usaha-usaha yang dijalankan bersama mempunyai harapan lebih cerah untuk membangunkan konsep Islam Sederhana yang lebih menyeluruh, manakala usaha sendiri oleh sesebuah negara cenderung mengikuti ciri-ciri masyarakatnya sendiri.
Konsep kesederhanaan di dalam Islam yang diusahakan sesebuah negara akan wujud dalam batasan politik dan sosioekonomi negara tersebut. Walaupun terdapat pelbagai cara untuk “menyederhanakan” Islam, semua usaha itu menekankan nilai-nilai yang sama, iaitu nilai-nilai Islam – tidak terhad kepada – keamanan, toleransi dan belas ihsan serta menolak ketaksuban, kebencian dan keganasan terhadap masyarakat lain atau terhadap diri mereka sendiri.
Kesimpulannya
Secara keseluruhannya, konsep kesederhanaan di dalam Islam boleh berbeza-beza, bergantung kepada keterbatasan yang ada di sesebuah negara.
Bagi Arab Saudi, usaha untuk menentukan Islam Sederhana bergantung kepada struktur politik dan tuntutan sosioekonominya. Sejauh mana pun usaha Arab Saudi untuk menggalak jenama global Islam Sederhana, konsep negara itu terikat pada faktor-faktor sosioekonominya. Oleh itu, tidak mencukupi untuk sekadar memahami definisi Islam Sederhana Arab Saudi sebagai gambaran konsep yang menyeluruh yang diharapkan oleh wacana kesederhanaan.
Walaupun konsep Islam sederhana sedang dibangunkan, usaha Arab Saudi untuk “menyederhanakan” Islam berbanding idea-idea ultrakonservatif akan terus berdepan cabaran demi cabaran dari doktrin dan undang-undang yang tegar. Putera Mahkota MBS perlu mempergiat usahanya dan cuba untuk berunding dengan keluarga besar Al Al-Shaykh bagi memperhalusi fatwa-fatwa, peraturan dan doktrin agama negara mereka. Ini termasuk doktrin Al-Wala’ Wa Al-Bara’, undang-undang fitnah (blasphemy laws), undang-undang hudud dan retorik kebencian (hate rhetoric).
Tugas dan usaha sulit ini menjadi bertambah rumit oleh isu sektarianisme dan konflik antara agama dan sesama Muslim yang berlarutan. Walaupun beberapa cabaran yang ada tidak dapat dihuraikan disebabkan faktor geopolitik, masih ada yang dapat diatasi dan boleh dikawal menerusi interpretasi kreatif dan sesuai dengan konteks, seperti yang dilihat pada usaha-usaha lain yang dibincangkan dalam usaha membangunkan Islam yang sederhana.
Artikel ini telah diterjemahkan dari Syed Huzaifah Alkaff dan NurulHuda Yussof (2018), “Saudi Arabia’s Moderate Islam: A Restrained Contribution?”. Eurasiareview. https://www.eurasiareview.com/26052018-saudi-arabias-moderate-islam-a-restrained-contribution-analysis/ [di akses 1 September 2018]
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.
Rujukan:
[1] Artikel ini telah diterjemahkan dari Syed Huzaifah Alkaff dan NurulHuda Yussof (2018), “Saudi Arabia’s Moderate Islam: A Restrained Contribution?”. Eurasiareview. https://www.eurasiareview.com/26052018-saudi-arabias-moderate-islam-a-restrained-contribution-analysis/ [di akses 1 September 2018].
[2] Martin Chulov (2017), “I Will Return Saudi Arabia To Moderate Islam, Says Crown Prince”, The Guardian, https://www.theguardian.com/world/2017/oct/24/i-will-return-saudi-arabia-moderate-islam-crown-prince [di akses 1 Mei 2018].
[3] Yury Barmin (2018), “Can Mohammed Bin Salman Break the Saudi-Wahhabi Pact?”, Al Jazeera, https://www.aljazeera.com/indepth/opinion/mohammed-bin-salman-break-saudi-wahhabi-pact-180107091158729.html [di akses 1 Mei 2018].
[4] Rick Noack (2017), “Saudi Arabia Wants to Return To ‘Moderate Islam’. Skeptics Say It’s A Marketing Ploy”, The Washington Post, https://www.washingtonpost.com/news/worldviews/wp/2017/10/25/saudi-arabia-vows-to-return-to-moderate-islam-but-critics-wonder-what-it-will-look-like/?noredirect=on&utm_term=.49d94a0141e3 [di akses 1 Mei 2018].
[5] Ibid.
[6] Barmin (2018), Online.
[7] Ibid.
[8]Ibid.
[9] The Straits Times (2018), “Saudi Arabia Says to Lift Driving Ban On Women From June 24”, https://www.straitstimes.com/world/middle-east/saudi-arabia-says-to-lift-driving-ban-on-women-from-june-24 [di akses 1 Mei 2018].
[10] Noack (2017), Online.
[11] Ibid.
[12] James M. Dorsey (2018), “Bangladesh Looks to Saudi Arabia In A Twist of Irony”, The New Arab, https://www.alaraby.co.uk/english/comment/2018/4/24/bangladesh-looks-to-saudi-arabia-in-twist-of-irony [di akses 1 Mei 2018].
[13] Ibid.
[14] Ibid.
[15] David Kilgour (2018), “Reforming Saudi Arabia”, The Epoch Times, https://www.theepochtimes.com/reforming-saudi-arabia_2489038.html [di akses 1 Mei 2018].
[16] Vision 2030 (2018), http://vision2030.gov.sa/en/node/259 [di akses 1 Mei 2018].
[17] Kilgour (2018), Online.
[18] David Dean Commins (2009), The Wahhabi Mission and Saudi Arabia, London: I. B. Tauris, ms. 6.
[19] Ruzaini Rashid (2018), “Arab Saudi Larang Lawatan Ke Jabal Thur Jabal Noor Semasa Umrah”, BERITA Mediacorp. https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapore/arab-saudi-larang-lawatan-ke-jabal-thur-jabal-noor-semasa-umrah/4008106.html [di akses 1 Mei 2018].
[20] Commins (2009), ms. 152-3.
[21] Alissa De Carbonnel and Stephen Kalin (2018), “Giving Up Control of Brussels Mosque, Saudi Arabia Sends a Signal”, U.S. News, https://www.usnews.com/news/world/articles/2018-02-12/giving-up-control-of-brussels-mosque-saudi-arabia-sends-a-signal [di akses 1 Mei 2018].
[22] The Grand List of Endorsements of the Amman Message and Its Three Points (2018), ammanmessage.com, http://ammanmessage.com/grand-list-of-endorsements-of-the-amman-message-and-its-three-points/ [di akses 1 Mei 2018].
[23] The Three Points of the Amman Message (2018), ammanmessage.com, http://ammanmessage.com/the-three-points-of-the-amman-message-v-2/ [di akses 1 Mei 2018].
[24] Council on American Islamic Relations (2014), “Open Letter to Baghdadi”, http://lettertobaghdadi.com/14/english-v14.pdf [di akses 1 Mei 2018].
[25] Marrakesh Declaration (2016), “Executive Summary of The Marrakesh Declaration on The Rights of Religious Minorities in Predominantly Muslim Majority Communities”, http://www.marrakeshdeclaration.org/files/Bismilah-2-ENG.pdf [di akses 1 Mei 2018].
[26] Ibid.
[27] Shannon Teoh (2017), “Moderate Islam Key to Malaysia”, The Straits Times, https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/moderate-islam-key-to-malaysia [di akses 1 Mei 2018].
[28] The Straits Times (2017), “Malaysia Government Sparks Anger with Ban on Moderate Islam Book”, https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/malaysia-govt-sparks-anger-with-ban-on-moderate-islam-book [di akses 1 Mei 2018].
[29] Pergas (2004), Moderation in Islam, Singapore: PERGAS.
[30] Pergas (2004).
[31] Yunita Ong (2017), “2 Muslim Preachers Banned from Singapore”, The New Paper. http://www.tnp.sg/news/singapore/2-muslim-preachers-banned-singapore [di akses 1 Mei 2018].